Sunday, November 1, 2009

Antara Mahu dan Malu dalam Menulis

Umpama barang perhiasan yang berharga. Andai tidak digilap dan dibersihkan, maka berhabuklah ia. Kemungkinan boleh berlaku kerosakan.

Maka, sebenarnya setiap diri dari kita mempunyai bakat menulis tidak kira berbentuk ilmiah, luahan perasaan atau berbentuk kreatif. Andai terus digilap bakat tersebut, maka bersinarlah penulisan kita sebagai salah satu medium dakwah, tarbiyah atau siasah.

Separuh hari yang berlalu semalam bersama Kak Ummi Hani Abu Hassan atau nama penanya Ummu Hani Abu Hassan memberikan pelbagai input dan message dalam bidang penulisan. Terlalu teruja saya ingin mengeluarkan segala input untuk dijadikan output kepada pembaca blog saya yang tidak seberapa ini. Tambahan pula, tuan presiden begitu kuat membuat provokasi terhadap saya supaya menulis. Maka, cabarannya saya sahut.

Biar saya mulakan dengan sedikit latar belakang info mengenai pengarang Ummu Hani Abu Hassan. Anak sulung daripada 11 orang adik-beradik kepada penulis terkenal, Abu Hassan Morad. Beliau telah menghasilkan 5 buah novel karya kreatif dan lebih 40 buah cerpen dan artikel berbentuk ilmiah yang banyak disiarkan di dalam media-media akhbar dan majalah.

Pernah menjadi wartawan kepada Majalah Anis selama setahun sewaktu belajar di Universiti Malaya dalam bidang pengajian dakwah(major) dan media (minor). Sekarang sedang mengikuti mengambil ijazah sarjana dalam bidang usuluddin di UM disamping menjadi wartawan sambilan di Galeri Ilmu Sdn. Bhd. dan penerbit/penulis di AMN Publication Enterprise. Cukup sekadar itu saya menceritakan mengenai beliau.

Boleh layari http://ummuhani.com untuk maklumat lanjut mengenai penceramah.

Bidang penulisan sebenarnya untuk lebih kita nampak adalah terbahagi kepada dua iaitu penulisan kreatif dan penulisan ilmiah. Saya pasti penulisan kreatif ini biasanya sinonim dengan golongan wanita dan penulisan ilmiah ini sinonim dengan golongan lelaki.

Saya melihat penulisan kreatif ini perlukan kepada imaginasi yang tinggi dan ruang lingkupnya meliputi aspek nilai dakwah dan tarbiyah. Manakala, penulisan ilmiah lebih kepada nilai siasah, namun masih boleh dimasukkan aspek nilai dakwah dan tarbiyah.

Penulisan yang baik

Penulis yang baik adalah yang banyak membaca dan banyak menulis. Kalau dengan hanya banyak membaca juga akan boleh diasah bakat menulis yang terpendam. Suka saya katakan, jangan jadikan penulisan kita seperti diari harian. Ini adalah kerana ia kurang memberi input pada masyarakat. Dalam erti hidup pada memberi, biarkan penulisan kita ada unsur nasihat, boleh sedarkan dan fahamkan masyarakat tentang sesuatu.

Bagi penulisan ilmiah, saya gariskan kepada 5 W dan 1 H yang perlu ada dalam penulisan kita. Fakta yang diperolehi perlu betul, tepat dan sahih. Ini boleh diperolehi daripada media massa, akhbar atau go to the right person (interview). Jangan sekali-kali kita tersilap fakta dalam menulis kerana boleh membuatkan penulisan menjadi cacat, orang marah atau yang lebih buruk, kita boleh disaman.

"Hai orang-orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa satu berita, periksalah dengan teliti, agar kamu menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaan yang menyebabkan kamu menyesali perbuatanmu." Al-Hujurat:6

Tidak tahu nak mula dari mana?



Yang pasti permulaan sebelum menulis perlukan cukup maklumat diperoleh. Dalam ingin menaip atau menggerakkan mata pena, tiba-tiba terasa tidak tahu hendak mula dari mana kerana tidak pernah menulis sebelum ini. Maka, penyelesaiannya adalah seperti seorang pelajar sekolah Tahun 3.

Kenapa saya berkata begitu? Sewaktu kita berada didalam tahun 3, kita telah ada subjek Bahasa Malaysia (Penulisan). Cikgu-cikgu di sekolah pastinya mengajar kita bagaimana membuat karangan yang baik. Antara permulaan sebelum membuat karangan, rangkakan isi-isi yang ingin dimasukkan. Kalau sudah ada rangka yang baik, boleh dimulakan dengan membuat intro. Dan akhirnya, setelah intro yang baik sudah ada, penulis boleh terus kembangkan isi-isi yang ada untuk menjadi badan yang cantik.

Mudahkan, mudahkan, mudahkan...

Kita menulis untuk orang membca. Jadi, seharusnya mudahkan orang tahu apa yang kita hendak cerita dari intro sampai kepada penutup. Segala ejaan, tanda bacaan dan binaan ayat perlu diperhatikan semula lagi-lagi penulisan seorang mahasiswa. Periksa semula supaya ianya berkualiti. Gunakan ayat yang pendek dan mudah untuk dibaca.

Apabila membuat suatu pernyataan, perlulah disokong kenyataan itu dengan bukti dan pengukuhan. Sampaikan sahaja penulisan kita berdasarkan versi diri kita. Cantikkan flow ayat yang ditulis atau dengan kata lain linkkan satu perenggan dengan perenggan yang lain dengan baik.

Untuk lebih baik, gambar-gambar boleh dimasukkan berserta dengan caption di bawah untuk memudahkan pembaca menganalisa pembacaan kita.

Kesimpulannya?

Ingin menjadi penulis yang hebat, perlu ada rasa MAHU dan BERANI. Kerana kalau tidak disertakan rasa berani disebalik kemahuan kita ingin menulis, maka MAHU itu akan runtuh dek kerana malu untuk menulis memberikan sesuatu kepada masyarakat. Jadikan penulisan kita sebagai salah satu medium dakwah.




Itulah antara yang saya dan bersama beberapa orang sahabat peroleh di dalam bengkel penulisan tersebut disamping pelbagai kisah masyarakat di sekeliling yang dicedok oleh Kak Ummu diceritakan kepada kami.

Sungguh, masyarakat kita terlalu sakit!
Menulislah untuk memberi sesuatu kepada mereka.
Sampaikanlah walau sepotong ayat...

2 comments:

Farid Albariti said...

isk3.. kerdil rasanya bila bc artikel ni...

Teruskan....

jom jadi penawar!!!

wanita mustanir said...

Assalamualaikum, fifah

terima kasih untuk info ini..
Ia benar-benar membantu..

syukran jzkllh