Saturday, October 31, 2009

Sistem Huruf kepada Nombor bagi lepasan SPM

Ketika kecil-kecil dulu, sistem pemarkahan ujian atau peperiksaan bermula dari zaman tadika lagi lebih kepada huruf. Kanak-kanak suka kalau di kertas peperiksaannya, ada huruf A ataupun A+++. Ditambahkan pula dengan tanda-tanda bintang di atas kertas. Pasti seronok.




Sehinggakan meningkat ke sekolah rendah dan sekolah menengah, kita masih bermain dengan huruf-huruf dari aspek pemarkahan. Maka, siapa yang mendapat gred A yang banyak, dialah jaguh kampung ketika itu. Ini semua meningkatkan momentum para pelajar untuk berusaha gigih mendapat A sebanyak mungkin. Tetapi, persoalannya adakah dengan mendapat 'A' yang banyak, bekalan ilmu didada semakin banyak dan pelajar tersebut mampu menghadam segala ilmu dengan baik?

Mungkin para pelajar itu cukup sekadar belajar untuk melepaskan batuk di tangga. Hanya belajar supaya lepas segala bentuk ujian dan peperiksaan. Kemudian, segala buku-buku dan nota-nota ditolak tepi. Inilah yang dikatakan 'exam oriented'. Pendidikan dan pembelajaran hanya berpaksikan kepada peperiksaan dan ujian.

Kini, sistem yang digunakan ditukar supaya kelihatan lebih gah. Saya menyatakan berdasarkan perubahan yang dilakukan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi melalui berita Bernama semalam. Perubahan yang saya katakan adalah menukar sistem pemarkahan gred kepada merit bagi semua lepasan SPM yang akan ke menara gading.

"Sistem ini diperkenalkan untuk memilih yang terbaik di kalangan terbaik bagi memasuki IPTA supaya ada perbezaan contohnya antara A+ dengan A dengan A-,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya semalam. Ini memberi maksud pihak Jabatan Pengajian Tinggi ingin mencari "cream of the cream" dikalangan pelajar-pelajar sekarang.




Melalui sistem baru itu, pelajar yang mendapat A akan dikategorikan kepada A+, A dan A- dengan merit masing-masing 18, 16 dan 14, katanya. Beliau berkata, gred 3B ditukar kepada B dengan merit 12, 4B kepada B(10), 5C kepada C (lapan), 6C kepada C (enam), 7D kepada D (empat), 8E kepada E (dua) dan 9G kepada G dengan merit sifar.

Saya melihat sudut positifnya apabila perkara ini terjadi. Ini akan melahirkan mahasiswa/i yang lebih berintelektual kerana kiri kanannya, hanya ada buku-buku dan nota-nota bersama. Mereka tidak akan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan gejala-gejala sosial kerana ingin mengejar merit.

Institusi pusat-pusat pengajian tinggi sekarang telah kebanjiran dengan mahasiswa/i dalam pelbagai bidang. Tetapi, Key Performance Index (KPI) bagi keseluruhan tahap mahasiswa/i dari pelbagai aspek masih mengecewakan.

Saya menyahut perubahan ini dilakukan, namun bagi saya perlu ada penambahan dan pembaikan dari segi pemarkahan sistem merit ini. Praktikal kepada segala ilmu yang dipelajari perlu diperbanyakkan di samping sudut kokurikulum dan aspek sahsiah yang tidak dilupakan. Kita tidak mahu pelajar-pelajar yang lahir dari lepasan SPM rupa mereka menjadi seperti professor-professor dengan berkaca mata besar. Kerana kesemuanya terlalu menjadi ulat buku untuk mengejar markah merit yang banyak.

Biarlah markah merit yang ada pada pelajar-pelajar SPM dinilai dari keseluruhan aspek iaitu baik dari sudut akademik, kokurikulum dan sahsiah. Pemupukan sahsiah adalah yang paling penting supaya kita tidak mahu melahirkan pemimpin-pemimpin negara yang otaknya kelihatan bersih dengan keintelektualan mereka menjana idea membangunkan negara tetapi tangan-tangan mereka hitam dengan jenayah-jenayah yang dilakukan samada rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

Mudah-mudahan mahasiswa/i yang lahir pada masa akan datang adalah "cream of the cream" bermula dengan lepasan SPM sesi 2009 ini.

No comments: