Sebuah 'Keluarga' yang ditimpa gelora
Ibaratnya kita satu keluarga. Ada datuk, pakcik saudara dan ayah. Tidak dilupakan nenek, makcik saudara dan ibu. Ada masa mereka bahagia dan kadang hubungan keluarga itu retak sedikit berikutan kurang interaksi yang baik dan kasih sayang yang ditunjukkan. Masalah dalaman berlaku menyebabkan pergaduhan terjadi dikalangan ahli keluarga lelaki, di antara datuk, pakcik dan ayah.
Masalah yang terjadi adalah kerana ada antara pakcik saudara yang buat 'kepala sendiri' dalam keputusan berkaitan keluarga yang sangat penting.
Maka, tanpa syura keluarga, datuk terus mengeluarkan arahan supaya pakcik saudara yang membuat 'kepala sendiri' ini dikeluarkan dari rumah mereka. Keputusan dibuat berikutan tidak mahu pakcik saudara ini menyebabkan keluarga mereka hancur berkecai.
Ayah hanya mendiamkan diri, seolah-oleh redha dengan perangai dan tingkah laku kurang elok yang dipaparkan oleh pakcik saudara sehingga menyebabkan kesan buruk pada masyarakat sekitar yang memerhati. Kebahagiaan yang selama ini keluarga itu kecapi sedikit demi sedikit retak.
Ibarat sebuah rumah
Saya pernah mengatakan, ibarat sebuah rumah, kalau retak yang ada masih boleh dibaiki dan ditampal, maka lakukanlah hal tersebut. Tidak mungkin kita terus berpindah dari rumah tersebut kalau hanya retak yang kecil berlaku.
Realiti Sebenar
Segala cerita di atas, saya ibaratkan untuk realiti kejadian sebenar yang berlaku kepada satu-satunya Gerakan Islam kita di Malaysia, Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Tuan Guru Nik Abdul Aziz b Nik Mat telah mengeluarkan kenyataan berkaitan kehendaknya supaya muktamar khas luar biasa gerakan ini diadakan bagi menyelesaikan beberapa isu pimpinan yang bermasalah berikutan kes yang telah dilakukan oleh Dr Hassan Ali, exco kerajaan negeri Selangor dan Dr Mustafa Ali kerana dikatakan pro-kerajaan perpaduan.
Namun, kehendak suci Tok guru kita ini tidak disalurkan dengan baik kerana tiada perbincangan dengan ajk Pas Pusat terlebih dahulu, malah tidak melalui Majlis Syura sebelum disiarkan di dalam blog Tok guru.
Presiden, Tuan Guru Haji Abdul Hadi pula dikatakan hanya senyap dan berdiam diri lagi-lagi berikutan dengan kes dua pimpinan yang pro-kerajaan perpaduan ini.
Segala permasalahan yang berlaku ini memberikan impak yang buruk terutama kepada pengundi-pengundi di luar sana. Entah apa persepsi mereka sekarang terutama mereka yang seperti lalang. Apabila kita berjaya menjuarai isu, mereka bersama kita, dan apabila masalah seperti sekarang berlaku, mereka ditiup angin ke seberang. Qudwah hasanah kita kepada masyarakat gagal.
Maka, apabila 'atuk', 'pakcik' dan 'ayah' telah bertelagah, si 'anak' patut bersuara dengan permasalahan yang terjadi ini, memberikan pendapat dan jika lebih hebat lagi, menyedarkan kembali mereka semua supaya kembali kepada matlamat asal iaitu ALLAH dan RASUL.
Siapa si 'anak'?
Saya berpendapat 'si anak' itu adalah ahli gerakan mahasiswa. Teguran dan nasihat dalam sebuah keluarga bukan setakat dari orang dewasa, malahan anak yang masih muda turut sama perlu sentiasa menegur dan memberi nasihat kepada orang dewasa.
Saya mengharapkan masalah di dalam 'keluarga' ini tidak berpanjangan dan ahli gerakan mahasiswa perlu ada satu momentum kepada pimpinan di atas agar matlamat asal kembali berpasak dalam diri setiap pimpinan dan ahli.
Jangankan kerana retak dalam 'keluarga' ini, anak-anak muda lari malah tidak memikirkan langsung masalah yang berlaku di antara orang-orang tua dan dewasa ini.
No comments:
Post a Comment