Monday, November 9, 2009

Jalan ini bukanlah tiketnya

Pintu almari dikuak perlahan. Beberapa helai baju diambil. Safiyah segera berkemas pulang ke kampung setelah kertas peperiksaan yang pertamanya habis. Ibu dan ayahnya yang mengerjakan haji selama 40 hari menjadikan Safiyah tabah menjaga adik-adiknya seramai tujuh orang di kampung.

Namun, kepalanya masih juga sesak. Tiga kertas peperiksaan yang berbaki membuatkan Safiyah terpaksa berulang-alik dari kampus ke Johor demi adik-adik yang disayangi.

"Kak, mak long minta duit. Dia kata nak belikan barang-barang dapur. Beras dengan susu adik dah habis,"

Sebelum ibu dan ayah Safiyah bertolak ke Tanah Suci, mereka telah mengamanahkan Safiyah supaya menjaga segala harta benda dan duit simpanan yang berada di tangannya. Andai adik-adiknya yang seramai sembilan orang termasuk tujuh orang yang berada di rumah inginkan duit, maka merengeklah mereka pada kakak sulung mereka.

Safiyah menghulurkan beberapa helai not merah untuk dibelanjakan. Dengan patuhnya, adik yang baru berumur 10 tahun memberikan duit tersebut kepada mak longnya.

"Ah, macam mana ni? duit belanja rumah tinggal sedikit," Safiyah mengeluh apabila melihat hanya tinggal beberapa helai not hijau dalam tempoh ibu dan ayahnya akan pulang ke tanah air selama 20 hari lagi.

"Ya Allah, cukupkanlah rezeki kami dengan kurniaan dan rahmat-Mu," hanya doa yang mampu Safiyah panjatkan pada Ilahi.

Safiyah pulang semula ke kampus untuk kertas peperiksaannya yang kedua. Dia rasa bersyukur dengan jarak masa yang agak panjang di antara kertas peperiksaannya yang pertama dan kedua. Tuhan yang Maha Mengetahui memberikannya peluang melaksanakan amanah di rumah.

Dalam ingin melangkah pulang ke kampus, tiba-tiba adik-adiknya menahan dan bercerita perihal perangai mak longnya. Hanya linangan air mata menemani tatkala mendengarnya. Jauh dari ibu dan ayah menunjukkan air muka sebenar perangai mak longnya.

"Kak, beras dengan susu adik habis dalam RM 30 tapi duit baki mak long tak bagi balik pun, " adik mengadu. Walaupun hanya RM 20 baki duitnya, namun dengan duit itulah buat belanja adik-adik di rumah.

"Kenapalah mak long sanggup buat macam ni? Ambik kesempatan pada adik-adik..." Hanya air mata mampu menemani tanda kekuatan seorang perempuan.

"Kenapa kau tak jaga adik-adik kau ni?? Diorang berselerak duduk rumah nenek. Menyusahkan kitaorang je. Dah tu, kereta ayah kau tu..rosakkan??jual je.. Daripada tersadai kat luar tu lebih baik jual je..." Bak kata mak borek, anak rintik. Anak sulung mak long berleter melihatkan kerenah adik-adik yang kadang-kadang agak nakal ditambahkan dengan kereta ayah yang rosak.

Safiyah benar-benar berasa geram, marah dan sedih dengan perangai mak long dan keluarganya. Ibu dan ayah meminta tolong pada mereka tetapi hanya kata-kata pahit yang dilemparkan. Amanah yang diberikan oleh ibu ayah tidak terlaksana ditambah dengan kerenah mereka yang seolah-olah membenci pada kami sehingga ingin mengambil kesempatan terhadap kami.

"Ya Allah..." Safiyah hanya mampu merintih lagi agar dikuatkan iman dan ditenangkan hati.

Pulang ke kampus, Safiyah mampu tersenyum dan bergurau senda bersama sahabat-sahabat di rumah yang mereka sewa bersama. Mereka adalah benar-benar sahabat yang sejati yang memahami diri Safiyah yang ditimpa ujian dan dugaan.

"Salam, apa kabar iman? Adik-adik ustzh mcm mana? mak long buat lagi ke perangai die?" Satu message yang diterima oleh Safiyah dari tunangnya tatkala sedang khusyuk menelaah buku mengulangkaji pelajaran.

"Wslm, alhmdulillah shat. Adik-adik ana pun ok. Cuma biasalh ade yg merengek x thn dgn prangai mak long. Adik ana crita ade lg diorg bising2, " Message dibalas. Entah kenapa hati Safiyah rasa berbunga apabila menerima sms tersebut. Mungkin disebabkan bakal suaminya itu baginya adalah seorang yang penyayang dengan banyak mengambil tahu akan kehidupannya.

"Ustzh byk2 dktkan diri dgn Allah. Byk2 doa dgn ujian yg dtg ni. Yg penting jgn lupa qiamulail spya dikuatkan hati," Hati terus berbunga dengan tazkirah yang diberikan oleh seseorang yang bermakna dalam kehidupannya. Tunangnya itu adalah hasil perkenalan mereka di kampus. Melalui orang tengah dan beberapa prosedur yang dilalui, mereka ditemukan sehinggalah disatukan oleh ibu dan ayah kedua-dua belah pihak.

Ucapan salam diberikan melalui sms setelah azan maghrib hampir berkumandang. Malam terus berlalu sehingga ke jam 5.00 pagi.

Jam loceng dari telefon bimbit menyala namun Safiyah tidak terjaga dari tidur untuk berqiamulail. Setelah 15 minit berlalu, nombor seseorang yang bermakna dalam hidup Safiyah tertera di telefon bimbitnya memberikan panggilan. Tanda ingin mengejut Safiyah dari lena yang panjang supaya berqiamulail.

"Salam ustzh, bangkitlh wahai mujahidah! Dekatkan diri dgn Allah spya dberi kekuatn dgn berqiam." Satu message datang menyusul kemudian setelah panggilan tadi habis.

Safiyah akhirnya terjaga dari tidurnya setelah 10 minit berlalu. Dia terus berqiamulail bermunajat pada Allah supaya terus diberi kekuatan dan istiqamah dengan jalan juang yang dipilihnya.

Setelah siap bersolat subuh dan membaca mathurat, Safiyah melihat dan membaca message dan miss call yang tertera di telefon bimbitnya.

Entah kenapa tiba-tiba imannya bersuara menidakkan apa yang telah berlaku itu tidak sepatutnya berlaku. Tunangnya itu belum halal lagi bagi dirinya. Hatinya tidak sedap dengan semua ini. Masakan boleh seorang yang masih bukan muhrim bagi dirinya mengejutkan Safiyah berqiamulail.

Sepanjang hari tersebut, Safiyah diam seribu bahasa memikirkan apa yang berlaku dan memuhasabah dirinya. Sahabat serumahnya pelik melihat kelakuan Safiyah yang kebiasaannya ceria bersama sahabat-sahabatnya tetapi pada hari itu diam seribu bahasa. Seorang sahabat baik Safiyah, kak Humaira yang tinggal sebumbung di rumah sewa yang sama mendekatinya.

"Safiyah kenapa ni? senyap je dari tadi. Akak tengok tadi macam nangis pun ada. Safiyah ada masalah ke?," kak Humaira menegurnya sambil ingin berkongsi masalah yang Safiyah alami.

Safiyah merenung anak mata kak Humaira seolah-olah mencari petunjuk dengan apa yang dilaluinya kini. Sesaat kemudian, Safiyah menangis tersedu-sedu dengan kepalanya yang diletakkan di riba kak Humaira.

Kak Humaira hanya mampu mengusap kepala Safiyah yang dianggap seprti adiknya sendiri. Dia hanya membiarkan Safiyah menangis sehingga puas. Setelah tangis Safiyah agak reda, dia pun menceritakan segala yang berlaku antara dia dan tunangnya pada kak Humaira.

Kak Humaira yang lebih senior bakal melangsungkan pernikahannya setelah peperiksaan mereka berakhir. Safiyah melihat kak Humaira sangat hebat menjaga pergaulan dan adab-adab bertunang sebagai seorang muslim.

"Safiyah, akak faham perasaan awak. Berperang dengan kehendak sendiri sedangkan syariat yang dijunjung perlu kita tegakkan dalam diri. Hanya orang yang Allah pilih je akan lalui ujian sewaktu tempoh menunggu sebelum pernikahan ni. Dan akak tahu ia amat susah."

"Jangan disebabkan dosa-dosa yang kita lakukan, maka perhubungan ini Allah putuskan di tengah jalan atas sebab tangan-tangan kita sendiri. Kita muslimat yang kena betul-betul kuat ingatkan diri sendiri dan peringatkan tunang kita. Walaupun tak jumpa, tapi jangan selalu sangat message terutama kejut qiam sebab itu antara bibit-bibit menghampiri zina hati."

"Tapi kak, saya tak kuat untuk semua ini. Setiap hari saya doa diberi kekuatan tapi tetap lupa sampai selalu message. Dan sekarang, saya terlalu mengharapkan petunjuk Ilahi." Safiyah meluahkan apa yang terbuku dihatinya.




"Ingat Safiyah, jalan pertunangan yang kita tempuhi bukanlah tiketnya untuk bebas bermessage. Syaitan dan sekutu-sekutunya bijak mencorakkan bisikan dan godaan mereka. Kita akan rasa betul tapi sebenarnya itu adalah permainan syaitan dalam menggoda anak Adam. Syaitan hanya akan menangis apabila pernikahan berlaku."

"Bagi akak, masalah hati adalah perkara yang paling susah kita nak kawal. Dan yang paling penting Safiyah, takutlah pada Allah. Allah yang mempertemukan kamu berdua tapi jangan sampai kita berpaling tadah pada Dia dengan berulamkan dosa-dosa sewaktu perhubungan yang tidak halal ini berlangsung. Berkat sebuah pernikahan dan rumah tangga terletak pada waktu tempoh menunggu sebelum bernikah. Doalah moga perhubungan kamu berdua Allah redha. Sabarlah ye dik." kak Humaira terus menasihatkan Safiyah bagaikan air yang mencurah-curah.

Safiyah merasa terlalu hina dan kerdil di hadapan kak Humaira dan apatah lagi di hadapan Penciptanya. Dengan langkah yang lemah, Safiyah melangkah mengambil wudhu' untuk bersujud dihadapan penciptanya. Dia bersolat taubat dan istikharah supaya mohon diberi petunjuk dan kekuatan pada dirinya yang teramat lemah.

"Ya Allah, hanya pada-Mu aku mengucapkan syukur atas sezarah iman yang Kau campakkan ini sehingga membuat aku terjaga dari lena. Ampunkan dosa-dosa kami ya Allah. Aku mohon taubat pada-Mu. Ya Allah, pada-Mu aku mengharap, berikanlah kami berdua kekuatan dan petunjuk untuk jalan mujahadah ini. Kami mengharapkan redha-Mu untuk perhubungan kami berdua. Engkau permudahkanlah jalan yang sukar bagi perhubungan kami. Penuhkanlah hati kami dengan hanya cinta dari-Mu ya Allah. Kentalkan hati kami dalam menempuh bisikan dan godaan syaitan laknatullah sepanjang perhubungan kami yang tidak halal lagi ini sehingga sampai masanya. Hanya pada-Mu ya Allah, kami berserah dan memohon petunjuk." Safiyah berdoa di penghujung solat sunatnya. Dia merintih menangis lagi tersedu-sedu dalam solatnya.

Keesokan harinya, Safiyah menelefon orang tengah yang menguruskan perhubungan mereka sambil menceritakan masalah yang berlaku. Orang tengah tersebut menyampaikan hasrat Safiyah kepada tunangnya supaya mengurangkan berhubung diantara satu sama lain. Cukup atas urusan-urusan jemaah dan gerak kerja. Urusan berkenaan soal masa depan diuruskan oleh ibu ayah Safiyah dan tunangnya.

Safiyah mengucapkan rasa syukur atas apa yang telah berlaku. Dia mengharapkan ada sinar dan harapan yang cerah pada masa hadapan tanpa ada debu-debu dosa yang mengiringi...

10 comments:

SYNtaX said...

Semoga Safiyah terus kuat mengharungi perjalanan hidup. Dekatkan diri dengan Allah =)

Ummu Muslim said...

Ya Robb, perteguhkanlah imanku dan iman sahabat-sahabatku...kerana Islam itu hanya dapat ditegakkan oleh mereka yang benar-benar santun imanNya kepadaMu...amiinnn

ehsanhalim said...

salam,

nti yg tulis ke cerpen ni?

ana nak minta izin utk copy n letak dalam blog.

Afifah bt Jaafar said...

to ehsanhalim

wslm
iye, ana tulis sndri

ana persilakan kalu nk copy n paste

I THINK U CAN KNOW ME.. said...

Salam Sayang..
ap2 yang berlaku dalam kehidupan kita, semuanya adalah TARBIYAH..
Untuk mendapat KEMANISAN IMAN dan REDHA ALLAH bukanlah suatu yang mudah..bahkan memerlukan KEYAKINAN DAN MUJAHADAH YANG TINGGI..
INSYA ALLAH!
~sayang fifah selalu...~
nk jdk mcm k.humairah bley??:)

~SZI~ said...

emm..pkare ni slalu blaku..
bg yg paham, xpe.. bg yg x paham., mula laa kata bukan2...
err,paham x apa yg sy ckp?
kalu x paham, x pe
cukuplah Allah je yg memahami ^_^..

Hamba Allah said...

Salam...
Utk menjelaskan kenyataan ~SZI~ di atas,
segalanya yg ad di dunia ini tl dijelaskan di dlm Al-Quran.
baik scr terangan, mahupun secara berkias(tdak terang).
Bagi, yg fhm, alhamdulillah...
Bagi yang x faham, ana saran anda utk cri jln supaya faham..
Bkn apa, kdg2 kita perlukan jwpn dr mereka yg thiqqah, baru la kita dpt menerima apa yg ingin dismpaikan.
Kpd penulis, teruskan mengarang.
Karya anda mampu menarik org2 yg mls membc seperti saya(kantoi!) utk terus membaca hingga ke penghujung cerita..
Wassalam...

Afifah bt Jaafar said...

alhamdulillah
mg kt sama2 mngarang utk memberi..
t.kasih kpd smua pembaca..
hrap kt smua amik iktibar crita ni..

walong said...

salam ; sebuah kisah yg baik utk dijadikan renungan kepada insan2 yg mula berjinak dgn alam perkahwinan, betulkan niat, ikhlaskan hati dan tawakal kpd Allah. memang x dpt dinafikan dalam fasa pertunangan ni buk digaan ug terpaksa dilalui. Ingatlah untk mendapat sesuatu ybg baik memerlukan pengorbanan yg tinggi..wassalam...

mient said...

cerpen yg penuh dg pengajaran ntuk kta...sma2 kta mghayatinya...a great piece of writing!.....