Tuesday, November 17, 2009

Pacakkan batu asas sekukuhnya

Rasa rendah diri apabila berhadapan dengan adik-adik dalam Kem Kepimpinan anjuran R-Tis Consultant. Hebat sungguh adik-adik ini kerana semuanya adalah pimpinan dari enam buah kolej matrikulasi seluruh Malaysia. Semangat mereka ingin berjuang menegakkan Islam sungguh luar biasa. Itulah semangat anak muda.

"Akak mendoakan kalian terus diberi kekuatan untuk melakukan perubahan di matrik masing-masing," Doa saya untuk mereka.

Namun, apa yang lebih penting ingin saya tekankan batu asas yang perlu dipacakkan.

Sebelum hari program, saya mengikuti mesyuarat penyelarasan program kem tersebut. Saya katakan cukup menarik apabila para peserta perlu mengadakan persembahan qasidah dan berselawat dalam program kepimpinan ahli gerakan Islam semua matrik ini.

Qasidah adalah puji-pujian ke atas rasulullah saw sebagai menyatakan kecintaan dan kerinduan kepada baginda. Hal ini berterusan di zaman para sahabat radiallahu'ahum, di mana para penyair di zaman itu sentiasa mengalunkan bait-bait indah mentakzimkan nabi, sebagai tanda kecintaan dan kesanggupan untuk mempertahankan kebenaran ajaran yang dibawa rasulullah.

Begitulah seterusnya para pencinta baginda dari zaman berzaman terus menerus mengungkap syair-syair yang indah ke atas baginda. Imam al-Bushiri rahimahullah juga merakamkan kecintaan kepada baginda dengan bait-bait yang menusuk jiwa dan mengandungi barakah. Nukilan beliau masyhur disebut qasidah Burdah.

Sesungguhnya qasidah Burdah dan lainnya adalah satu wasilah yang disusun oleh para ulama' yang memiliki hikmah untuk menghidupkan jiwa-jiwa yang mati. Dengan barakahnya, nescaya hati yang mati dapat dihidupkan dengan kecintaan pada baginda, lantaran bait-baitnya yang mempunyai penawar zahir dan batin.

Iya, memang benarlah ia menghidupkan hati-hati yang mati. Kerana di saat saya agak ingin jatuh ditimpa dugaan, seolahnya satu semangat baru meresap dalam diri menghidupkan hati ini sewaktu mendengar adik-adik tersebut mengalunkan qasidah.

Dan buktinya, apabila semangat cintakan perjuangan benar-benar tumbuh segar dalam diri saya sewaktu dalam perjalanan ke Baitul Qura'. Ingin saya sampaikan kepada sahabat-sahabat saya dari kampus lain di sana supaya kebangkitan mereka dihidupkan semula dengan rasa cinta dalam diri yang kukuh. Kecintaan kepada Allah, pada rasul-Nya, pada jalan perjuangan, dan pada ummah, namun, segalanya tidak kesampaian untuk disampaikan.

Dan dalam waktu yang sama, apa yang digarapkan di dalam kem ini adalah Cinta Allah dan Cinta Rasulullah yang juga merupakan tema program.



Saya terfikir kenapa tema programnya seperti ini. Maksud saya kenapa tidak program kepimpinan ahli gerakan ini mempunyai tema program seperti "Memacu gerakan, Mengislah Ummah" atau lain-lain yang bersifatkan kepada gerakan Islam itu sendiri.

Maka, jawapannya adalah supaya dalam diri setiap pejuang, mujahid dan mujahidah itu, kecintaan kepada Allah dan Rasul yang dipasakkan terlebih dahulu. Dan dengan itu, kefahaman terhadap kenapa perlunya berada di jalan perjuangan benar-benar dapat meresap dalam diri masing-masing. Cukup Allah dan rasul dalam diri setiap pejuang apabila mereka berjuang.

Perjuangan yang dirantaikan dari rasulullah saw sendiri cukup hanya berpaksikan Al-quran dan sunnah nabi, tidak kepada yang lain, hatta dalam perkara yang diijtihadkan.

Setiap jalan perjuangan itu bermula dengan diri para pejuang itu sendiri.

Maka, perbaikilah dirimu wahai mujahid/ah, akhlakmu, sikapmu, tingkahlakumu, ibadatmu dan segalanya yang berkaitan dengan dirimu.
Imam Hassan Al-Banna pernah berpesan:

"Jadilah burung yang terbang. Bersayapkan taaruf, berarahkan tafaahum, berparuhkan takaful. Terbanglah sejauh yang mungkin, supaya banyak tangan-tangan yang menumpang terbang bersama."

1 comment:

Ahmad Zulfadhli Zulkefli said...

saudari jadi fasi ker dalam program nie?.. =)

psst: Hi! Salam ziarah. Jom xchange link & sila komen entri blog saya di http://putraalmaliki.via.my/ . TQ.