Friday, December 18, 2009

Ini Langkahku

Warna sebiji objek berbentuk bola yang berada di ufuk langit menceriakan suasana. Matahari itu terus bersinar, tidak pernah berhenti walau sesaat dengan kehendak dan izin-Nya. Burung-burung terus berterbangan membunyikan kicauan mereka tanda ingin mencari rezeki di pagi hari.

Tahun 1430H telah melabuhkan tirainya. Jendela tahun 1431H telah dibuka. Umat Islam di seluruh dunia pasti meraikannya. Mungkin ada yang bersifat ala kadar atau mungkin ada yang bersemangat dengan segala azam baru. Azam baru yang mungkin diperbaharui dari tahun lepas atau azam yang benar-benar baru untuk tahun ini.

Seorang hamba Allah yang kerdil yang berdiri di tepi jendela turut tidak ketinggalan. Menganyam kembali segala impian dan angan-angan yang ingin dilaksanakan tahun ini. Namun, dia menganyam dalam keadaan matanya berair, dek kerana ada 'duri' yang terkena sewaktu perjalanan kehidupannya akhir tahun 1430H.

Luka yang terkena itu cuba diubati dan dirawatnya, namun darahnya masih lagi mengalir hingga sekarang. Langkahnya menjadi perlahan dan tidak bersemangat gara-gara luka yang hadir itu. Namun hakikatnya, ubat kepada luka tersebut ada di sisi. Tetapi seolahnya tangan dia tidak kuat untuk menggapai ubat dan merawat luka tersebut.

Dia terasa keseorangan, persis seorang musafir yang berkelana keseorangan dalam mencari matlamat hidup sebagai seorang manusia. Impian yang ingin digapainya juga hampir kabur dari pandangan.

Dia benar-benar putus asa dalam saat bekalannya kian habis dan lukanya masih berdarah. Namun, dalam kesamaran dan impiannya yang hampir kabur dari pandangan, ada sesuatu yang menghulurkan pertolongan dan bantuan.

Iya, itulah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dia memberi segala rahmat dan kasih sayang-Nya. Dia memberikan kalamullah sebagai ubat untuk luka tersebut. Segala luka yang hadir itu adalah pelukan kasih sayang-Nya. Tidak ada kesakitan yang didatangkan-Nya tanpa ubat disisi.

Hakikatnya, kesakitan itu adalah nikmat dan kurniaan-Nya kerana tidak semua merasai nikmat kesakitan. Bersyukurlah kerana Allah akan menambah nikmat-Nya selagi mana hamba-Nya itu bersyukur.

Kepada para pejuang agama Allah,

Bangkitlah walau luka tidak henti-henti berdarah
Berpegang teguhlah pada kalamullah
Pasakkan tekad dan niat dalam diri
Kerana Allah sedang menemukan kita dengan hikmah yang tercicir
Teruskanlah langkahmu di jalan-jalan yang penuh duri itu.

ALLAHUAKBAR!!

No comments: