Thursday, June 23, 2011

'Hiruk-piruk' kehidupan kita

Setiap yang bergelar muslim wajib mengetahui, belajar dan mengamalkan tiga perkara penting dalam kehidupannya. Tiga perkara itu meliputi akidah, ibadah dan akhlak bagi membentuk dirinya menjadi mukmin yang berkualiti dan seterusnya menjadikan Islam sebagai cara hidupnya.

Secara asasnya, tajuk-tajuk yang perlu dibincangkan bagi mempelajari fardhu ain dalam akidah, ibadah dan akhlak adalah:-
1. Akidah
a. Mengucap dua kalimah syahadat
b. Rukun Islam
c. Rukun Iman

2. Ibadah
a. Beristinjak
b. Membersihkan anggota badan, pakaian dan tempat daripada najis
c. Berwuduk
d. Cara Bertayammum
e. Cara mandi wajib
f. Azan dan Iqamat
g. Solat Fardhu
h. Solat Jenazah
i. Puasa

3. Akhlak
a. Adab terhadap ibu bapa
b. Perkahwinan (Untuk Pelajar Tingkatan Lima Sahaja)
c. Ihsan
d. Kewajipan Menutup Aurat
e. Batas Pergaulan Dalam Islam

Mari kita lihat gambar dibawah:-



Ibarat menanam biji benih sebuah pokok, akar akan keluar terlebih setelah disiram dengan air. Kemudiannya, daun mula kelihatan dan batangnya mula memanjang disepanjang tumbesaran. Pertumbuhan daun-daun mula bertambah bilangannya dari sehari ke sehari. Setelah cukup tempoh matangnya, maka buah-buah mula tumbuh. Inilah nikmat yang dijadikan untuk manusia dan binatang yang dapat memakannya.

1.0 Akidah

Berdasarkan gambar dan perumpamaan diatas, itulah yang perlu dilakukan disepanjang kehidupan kita sebagai seorang mukmin. Akidah perlu ditanamkan sekukuhnya. Kerana tanpa akidah yang kukuh, ibadah dan akhlak yang dilakukan tidak dapat bertahan lama.

Akidah yang perlu dipelajari meliputi mengucap dua kalimah syahadat, rukun islam dan rukun iman. Akidah yang pada kalimah asalnya adalah aqada dan pada maksud bahasanya adalah ikatan atau simpulan. Menurut maksud istilahnya pula, akidah bermaksud ikatan yang tidak akan putus dan keyakinan yang penuh pada Allah S.W.T. sebagai Tuhan yang Maha Esa.

Mengucap dua kalimah syahadat perlu disebut dengan lidah, membenarkan dengan hati, difahami pada maksudnya ketika membaca dan mengamalkan dengan anggota tubuh badan dalam seluruh kehidupan seorang mukmin.



AKU BERSAKSI BAHAWA TIADA TUHAN YANG DISEMBAH MELAINKAN ALLAH DAN AKU BERSAKSI BAHAWA NABI MUHAMMAD ITU PESURUH ALLAH

Kalimah syahadat yang wajib diimani terdiri daripada dua iaitu:-
1. Syahadat Tauhid: Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah.
2. Syahadat Rasul: Aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah.

Setiap orang yang bergelar muslim dan mukmin wajib mempelajari dan mempraktikkan rukun islam dan rukun iman dalam kehidupannya.

Rukun islam mempunyai lima iaitu terdiri daripada mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan ramadhan, menunaikan zakat dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan.

Rukun iman mempunyai enam iaitu terdiri daripada beriman kepada Allah S.W.T, beriman kepada malaikat, beriman kepada kitab, beriman kepada rasul, beriman kepada hari akhirat dan beriman kepada qada’ dan qadar.

Rukun islam dan rukun iman ini perlu dipelajari dan dihayati dengan terperinci setiap satunya. Orang mukmin wajib mempelajari kepentingan dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Islam itu cantik dan mudah mengatur langkah dan perjalanan penganutnya.

2.0 Ibadah

Ibadah yang dilakukan dalam sehari-hari perlu dilakukan mengikut langkah-langkah yang ditunjukkan oleh baginda rasulullah saw. Hanya dengan cara yang betul, ibadah kita diterima oleh Allah S.W.T dan seterusnya diberikan pahala bagi meraih ganjaran syurgaNya. Dengan akar (akidah) yang telah kukuh, maka batang dan ranting (ibadah) akan membesar dengan sempurna.

Secara asasnya, perkara-perkara ibadah yang perlu dipelajari dalam fardhu ain adalah beristinjak, membersihkan anggota badan, pakaian dan tempat daripada najis, berwuduk, cara bertayammum, cara mandi wajib, azan dan iqamat, solat fardhu, solat jenazah dan puasa.

Perkara-perkara ibadah perlu dipelajari dengan terperinci. Beristinjak ialah bersuci daripada najis selepas membuang air kecil ataupun air besar. Perkara penting yang perlu difahami dengan terperinci dalam beristinjak adalah adab-adab qadha hajat, tempat yang haram untuk buang air dan makruh buang air.

Islam adalah suci dan penganutnya juga perlu sentiasa suci membersihkan anggota badan, pakaian dan tempat daripada najis. Di dalam tajuk ini, bahagian najis yang terdiri perlu diketahui iaitu najis mukhaffafah, najis mutawassitah dan najis mughallazah. Jenis-jenis air suci yang boleh digunakan adalah air mutlak, air mutanajjis, air mustakmal, air musyammas dan air mutaghayyir.

Solat fardhu hanya akan sah apabila berwudhuk dengan sempurna. Di dalam berwudhuk, antara perkara yang perlu dilakukkan supaya wudhuk kita sah adalah memenuhi syarat-syarat berwudhuk, fardhu berwudhuk, cara berwudhuk dan perkara makruh ketika berwudhuk.

Apabila dalam keadaan tanpa air, adalah perlu bertayammum bagi menggantikan wudhuk dan mandi. Cara bertayammum ialah menyapukan debu ke muka dan kedua tangan sampai ke siku menggunakan debu suci dengan beberapa syarat. Dalam bertayammum, cara-caranya yang perlu dipelajari adalah syarat-syarat tayammum, sunat tayammum, rukun tayammum, cara bertayammum dan perkara yang membatalkan tayammum.

Mandi wajib adalah salah satu ibadah yang wajib dipelajari. Di dalam tajuk ini, perkara-perkara yang perlu dipelajari adalah sebab-sebab yang mewajibkan mandi wajib, rukun mandi wajib, sunat-sunat mandi wajib dan tidak ketinggalan cara mandi wajib dengan sempurna.

Walaupun ibadah ini mungkin kadang-kala sahaja dilakukan, tetapi ibadah azan dan iqamat tetap perlu diketahui dan dipelajari. Bagi seorang lelaki, wajib bagi orang lelaki mengetahui cara melaksanakan azan dan lafaz azan yang betul. Manakala, cara menjawab azan dan iqamah perlu diketahui oleh semua orang tidak kira lelaki dan perempuan.

Antara rukun islam terpenting yang perlu dipelajari adalah solat fardhu lima waktu sehari semalam. Masyarakat kini kurang memandang kepentingan mempelajarinya dengan betul. Solat wajib dilakukan dengan betul berdasarkan tiga rukun penting iaitu rukun qalbi, rukun fi’li dan rukun rukun qauli. Ini membawa maksud seluruh solat yang dilakukan perlu memenuhi rukun yang berasaskan hati (khusyuk), rukun yang berasaskan perbuatan anggota badan (pergerakan anggota badan) dan rukun yang berasaskan kepada sebutan dan bacaan.

Jika solat fardhu tidak dilakukan berdasarkan tiga rukun penting ini, maka akhlak seseorang akan rosak dan seterusnya masyarakat dan negara kian hancur kerana hanya berpunca dari solat.



“Bacalah serta ikutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada Al-Quran, dan dirikanlah Solat. Sesungguhnya Solat itu mencegah daripada perbuatan yang Fahsya’ dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar. Dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan” [Al-Ankabut 29: 45]

Di dalam solat fardhu, terdapat pelbagai perkara yang wajib diketahui. Perkara-perkara itu adalah syarat-syarat solat, rukun solat, makruh dalam solat, sujud sahwi, sujud tilawah, perkara yang membatalkan solat, waktu-waktu solat fardhu, lafaz niat dalam solat, cara mengerjakan solat, bacaan doa qunut dalam solat subuh dan doa selepas solat fardhu.

Solat jenazah adalah fardhu kifayah. Ini bererti apabila telah dilakukan oleh sebahagian orang, maka orang lain telah terlepas daripada tanggungjawab tersebut. Di dalam solat jenazah, perincian perkara yang perlu dipelajari bagi mengerjakan solat jenazah adalah hukum solat jenazah, syarat-syarat solat jenazah, rukun-rukun solat jenazah, waktu yang diharamkan solat jenazah dan cara solat jenazah.

Rukun islam yang ketiga perlu difahami dengan teliti agar mudah untuk melaksanakannya. Puasa wajib dilakukan ketika bulan ramadhan menjelang. Dalil pensyariatan puasa terdapat dalam surah Al-Baqarah, ayat 183. Lafaz niat puasa ramadhan, syarat-syarat sah puasa, perkara-perkara yang membatalkan puasa dan hikmah berpuasa perlu diketahui dan dipelajari.

3.0 Akhlak

Buah (akhlak) yang cantik dan manis hanya akan tumbuh daripada pokok yang subur dan kuat. Baja (ilmu) dan air (amal) perlu selalu diberi agar pokok itu dapat menghasilkan buah yang banyak dan segar.

Oleh yang demikian, pelbagai perkara perlu difahami ketika mempelajari akhlak sebenar sebagai seorang muslim dan seterusnya mengamalkannya. Orang islam perlu menjaga dua hubungan ketika hidupnya di dunia iaitu hubungan dengan Allah S.W.T dan hubungannya sesama manusia.

Perkara pertama yang perlu dipelajarinya dalam membina akhlak muslim bagi memelihara hubungan dengan Allah S.W.T adalah mengetahui dan mengamalkan konsep ihsan dalam setiap apa jua yang dilakukkannya dalam kehidupan seharian. Ihsan ialah melakukan ibadat kepada Allah dengan sebaik-baiknya seolah-olah kamu melihat Allah dan sesungguhnya Allah melihat kamu. Sifat utama dan konsep sebenar dalam ihsan perlu difahami.

Dalam memelihara hubungan sesama manusia, perkara pertama yang perlu dipelajari adalah adab terhadap ibu bapa. Ibu yang telah mengandung dan melahir perlu dihormati dan ditaati. Demikian juga pada bapa yang telah membesarkankan kita perlu dihormati dan ditaati.

Di zaman arus modenisasi kini, masyarakat sekarang semakin menuju ke zaman jahiliyah. Faktor utama yang dapat dilihat kebanyakannya berpunca dari rasa tanggungjawab dalam menutup aurat dan menjaga batas pergaulan yang dihadkan dalam islam. Hikmah daripada dua pensyariatan ini bukan untuk mengekang dan mengongkong, tetapi adalah untuk menjaga orang islam kerana Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang terhadap hamba-hambaNya.

Kewajipan menutup aurat perlu difahami pada hukumnya berdasarkan dalil-dalil yang terdapat di dalam Al-Quran dan hadith rasulullah s.a.w. had aurat yang dibataskan terhadap lelaki dan perempan perlu diketahui. Dan apa yang lebih penting adalah mengetahui hikmah disebalik pensyariatan menutup aurat kerana tiada satu pun syariatNya yang sia-sia.

Hubungan sesama muslim yang berlainan jantina perlu dibataskan dengan had-had yang dianjurkan oleh Islam. Antara yang perlu dipelajari adalah maksud disebalik istilah ‘mahram’ dan ‘ajnabi’. Individu muslim juga perlu menghayati kesan buruk akibat daripada pergaulan bebas yang tidak tentu hala.

Fardhu ‘ain merupakan perkara penting serta asas dalam mengerjakan amal ibadah kepada Allah S.W.T, kerana dengan memahaminya itu, justeru rasa percaya diri, kemantapan dalam beribadah akan semakin kuat.

No comments: