Tuesday, November 17, 2009

Pacakkan batu asas sekukuhnya

Rasa rendah diri apabila berhadapan dengan adik-adik dalam Kem Kepimpinan anjuran R-Tis Consultant. Hebat sungguh adik-adik ini kerana semuanya adalah pimpinan dari enam buah kolej matrikulasi seluruh Malaysia. Semangat mereka ingin berjuang menegakkan Islam sungguh luar biasa. Itulah semangat anak muda.

"Akak mendoakan kalian terus diberi kekuatan untuk melakukan perubahan di matrik masing-masing," Doa saya untuk mereka.

Namun, apa yang lebih penting ingin saya tekankan batu asas yang perlu dipacakkan.

Sebelum hari program, saya mengikuti mesyuarat penyelarasan program kem tersebut. Saya katakan cukup menarik apabila para peserta perlu mengadakan persembahan qasidah dan berselawat dalam program kepimpinan ahli gerakan Islam semua matrik ini.

Qasidah adalah puji-pujian ke atas rasulullah saw sebagai menyatakan kecintaan dan kerinduan kepada baginda. Hal ini berterusan di zaman para sahabat radiallahu'ahum, di mana para penyair di zaman itu sentiasa mengalunkan bait-bait indah mentakzimkan nabi, sebagai tanda kecintaan dan kesanggupan untuk mempertahankan kebenaran ajaran yang dibawa rasulullah.

Begitulah seterusnya para pencinta baginda dari zaman berzaman terus menerus mengungkap syair-syair yang indah ke atas baginda. Imam al-Bushiri rahimahullah juga merakamkan kecintaan kepada baginda dengan bait-bait yang menusuk jiwa dan mengandungi barakah. Nukilan beliau masyhur disebut qasidah Burdah.

Sesungguhnya qasidah Burdah dan lainnya adalah satu wasilah yang disusun oleh para ulama' yang memiliki hikmah untuk menghidupkan jiwa-jiwa yang mati. Dengan barakahnya, nescaya hati yang mati dapat dihidupkan dengan kecintaan pada baginda, lantaran bait-baitnya yang mempunyai penawar zahir dan batin.

Iya, memang benarlah ia menghidupkan hati-hati yang mati. Kerana di saat saya agak ingin jatuh ditimpa dugaan, seolahnya satu semangat baru meresap dalam diri menghidupkan hati ini sewaktu mendengar adik-adik tersebut mengalunkan qasidah.

Dan buktinya, apabila semangat cintakan perjuangan benar-benar tumbuh segar dalam diri saya sewaktu dalam perjalanan ke Baitul Qura'. Ingin saya sampaikan kepada sahabat-sahabat saya dari kampus lain di sana supaya kebangkitan mereka dihidupkan semula dengan rasa cinta dalam diri yang kukuh. Kecintaan kepada Allah, pada rasul-Nya, pada jalan perjuangan, dan pada ummah, namun, segalanya tidak kesampaian untuk disampaikan.

Dan dalam waktu yang sama, apa yang digarapkan di dalam kem ini adalah Cinta Allah dan Cinta Rasulullah yang juga merupakan tema program.



Saya terfikir kenapa tema programnya seperti ini. Maksud saya kenapa tidak program kepimpinan ahli gerakan ini mempunyai tema program seperti "Memacu gerakan, Mengislah Ummah" atau lain-lain yang bersifatkan kepada gerakan Islam itu sendiri.

Maka, jawapannya adalah supaya dalam diri setiap pejuang, mujahid dan mujahidah itu, kecintaan kepada Allah dan Rasul yang dipasakkan terlebih dahulu. Dan dengan itu, kefahaman terhadap kenapa perlunya berada di jalan perjuangan benar-benar dapat meresap dalam diri masing-masing. Cukup Allah dan rasul dalam diri setiap pejuang apabila mereka berjuang.

Perjuangan yang dirantaikan dari rasulullah saw sendiri cukup hanya berpaksikan Al-quran dan sunnah nabi, tidak kepada yang lain, hatta dalam perkara yang diijtihadkan.

Setiap jalan perjuangan itu bermula dengan diri para pejuang itu sendiri.

Maka, perbaikilah dirimu wahai mujahid/ah, akhlakmu, sikapmu, tingkahlakumu, ibadatmu dan segalanya yang berkaitan dengan dirimu.
Imam Hassan Al-Banna pernah berpesan:

"Jadilah burung yang terbang. Bersayapkan taaruf, berarahkan tafaahum, berparuhkan takaful. Terbanglah sejauh yang mungkin, supaya banyak tangan-tangan yang menumpang terbang bersama."

Sunday, November 15, 2009

Kesatlah air mataMU

Hati digigit seribu tanda tanya. Melihatkan sahabat saya nan satu terus menghilangkan diri tika waktu selepas hari peperiksaan. Saya hanya membiarkan.

"Mungkin ada hal agaknya," monolog hati saya.

Kertas peperiksaan seterusnya datang yang juga adalah kertas terakhir saya. Ah, kertas terakhir ini saya tidak mampu untuk jawab. Hanya Allah yang tahu ujian yang teramat berat yang saya lalui. Namun, seolah-olah ada cahaya kekuatan datang bersama ujian yang datang. Saya kini menjadi lebih matang, sabar dan tabah. Itulah kenikmatan yang dianugerahi-Nya.

Namun, saat saya terus bertarung dengan ujian yang datang, rupanya sahabat saya turut sama mengalami ujian.

Dia terus menghilangkan diri lagi tika waktu kertas peperiksaan kami terakhir habis.

Sahabat yang selalu disisi saya,

Sahabat yang selalu bersama saya tika batu ujian menghempap,

Sahabat yang paling banyak tahu kisah saya,

Sahabat tempat saya bergelak ketawa bersama,

Sahabat yang sangat memahami saya,

Sahabat yang turut sama-sama mengalirkan air mata apabila salah seorang daripada kami didatangi duka,

Saya terlalu sayang akan sahabat nan seorang ini.

Tetapi hati saya dibayangi rasa bersalah kerana saya baru mengetahui akan satu kisah ini. Kisah kehilangan seseorang yang teramat bermakna dalam hidup dia sebagai anak.

Kenapa saya baru tahu hari ini??

Sedangkan kita selalu bersama tiap waktu hatta dalam dewan kuliah, mengaji kuliah tajuk makanan bersama. Walaupun kadang kita mengantuk bersama-sama apabila cara penyampaian pensyarah memberikan kuliah kurang menarik.

Rupanya, sejak dari tingkatan 4, dia telah kehilangan seseorang yang melahirkan dan menyusukan dia.

Tetapi, kenapa saya baru tahu hari ini??

Dalam saat yang tinggal hanyalah ayah yang dikasihi. Tapi...

"Fifah, sebab awak orang pertama yang tanya saya, ujian apa yang dapat waktu ym hari tu..Jadi saya bgtau awak sbg org pertama. Saya slalu blk jhor tiap kali lpas exam habis sbb ayah saya sakit..dah seminggu tak sedar. Sekarang kat ICU..doakan saya..mntk shbt2 doakan jgk.." Saya menerima sms dari dia.

MasyaAllah, cukup hebat ujian yang Engkau berikan pada sahabat yang saya sayang ini. Dalam waktu telah kehilangan, ujian datang lagi. Dan, saya tidak dapat membayangkan andai ayah yang dikasihi turut pergi bersama-sama dengan ibumu. Na'uzubillah...

"Fifah..ayah saya x sedar lg skrg kt ICU..Organ dlm badan ayah masuk kuman.." Itulah jawapan yang saya dapat lagi berkenaan ayahmu.

Dalam waktu saya menerima ujian yang datang bertalu-talu, rupanya sahabat disisi saya lebih hebat ujian-Nya.

Saya terlalu hina dan kerdil disisi Allah. Namun, mungkin salah satu doa-doa sahabatmu ini Allah perkenankan.

"Ya ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sungguh, terlalu hebat ujian yang Engkau berikan pada sahabat yang aku sayang ini. Berikanlah kekuatan yang paling utuh pada sahabatku ini. Engkau Maha Mengetahui yang terbaik buat sahabatku ini. Sembuhkanlah tubuh ayahnya. Namun, andai Engkau ingin mengambil ayahnya dalam waktu ini, berikanlah sahabatku ini kekuatan yang paling utuh. Redha dan tabahkan hatinya menerima apa sahaja yang Engkau berikan. Ya Allah, rabbul Izzati, gantikan segala perkara yang telah berlaku ini dengan perkara yang lebih baik. Kerana Engkaulah sebaik-baik Perancang hidup kami. Engkaulah sebaik-baik Pencatur hidup kami. Hanya pada-Mu kami berserah da bertawakal..."

Saya akan terbang ke Johor bersama-samamu dalam waktu terdekat ini sahabatku...

Monday, November 9, 2009

Jalan ini bukanlah tiketnya

Pintu almari dikuak perlahan. Beberapa helai baju diambil. Safiyah segera berkemas pulang ke kampung setelah kertas peperiksaan yang pertamanya habis. Ibu dan ayahnya yang mengerjakan haji selama 40 hari menjadikan Safiyah tabah menjaga adik-adiknya seramai tujuh orang di kampung.

Namun, kepalanya masih juga sesak. Tiga kertas peperiksaan yang berbaki membuatkan Safiyah terpaksa berulang-alik dari kampus ke Johor demi adik-adik yang disayangi.

"Kak, mak long minta duit. Dia kata nak belikan barang-barang dapur. Beras dengan susu adik dah habis,"

Sebelum ibu dan ayah Safiyah bertolak ke Tanah Suci, mereka telah mengamanahkan Safiyah supaya menjaga segala harta benda dan duit simpanan yang berada di tangannya. Andai adik-adiknya yang seramai sembilan orang termasuk tujuh orang yang berada di rumah inginkan duit, maka merengeklah mereka pada kakak sulung mereka.

Safiyah menghulurkan beberapa helai not merah untuk dibelanjakan. Dengan patuhnya, adik yang baru berumur 10 tahun memberikan duit tersebut kepada mak longnya.

"Ah, macam mana ni? duit belanja rumah tinggal sedikit," Safiyah mengeluh apabila melihat hanya tinggal beberapa helai not hijau dalam tempoh ibu dan ayahnya akan pulang ke tanah air selama 20 hari lagi.

"Ya Allah, cukupkanlah rezeki kami dengan kurniaan dan rahmat-Mu," hanya doa yang mampu Safiyah panjatkan pada Ilahi.

Safiyah pulang semula ke kampus untuk kertas peperiksaannya yang kedua. Dia rasa bersyukur dengan jarak masa yang agak panjang di antara kertas peperiksaannya yang pertama dan kedua. Tuhan yang Maha Mengetahui memberikannya peluang melaksanakan amanah di rumah.

Dalam ingin melangkah pulang ke kampus, tiba-tiba adik-adiknya menahan dan bercerita perihal perangai mak longnya. Hanya linangan air mata menemani tatkala mendengarnya. Jauh dari ibu dan ayah menunjukkan air muka sebenar perangai mak longnya.

"Kak, beras dengan susu adik habis dalam RM 30 tapi duit baki mak long tak bagi balik pun, " adik mengadu. Walaupun hanya RM 20 baki duitnya, namun dengan duit itulah buat belanja adik-adik di rumah.

"Kenapalah mak long sanggup buat macam ni? Ambik kesempatan pada adik-adik..." Hanya air mata mampu menemani tanda kekuatan seorang perempuan.

"Kenapa kau tak jaga adik-adik kau ni?? Diorang berselerak duduk rumah nenek. Menyusahkan kitaorang je. Dah tu, kereta ayah kau tu..rosakkan??jual je.. Daripada tersadai kat luar tu lebih baik jual je..." Bak kata mak borek, anak rintik. Anak sulung mak long berleter melihatkan kerenah adik-adik yang kadang-kadang agak nakal ditambahkan dengan kereta ayah yang rosak.

Safiyah benar-benar berasa geram, marah dan sedih dengan perangai mak long dan keluarganya. Ibu dan ayah meminta tolong pada mereka tetapi hanya kata-kata pahit yang dilemparkan. Amanah yang diberikan oleh ibu ayah tidak terlaksana ditambah dengan kerenah mereka yang seolah-olah membenci pada kami sehingga ingin mengambil kesempatan terhadap kami.

"Ya Allah..." Safiyah hanya mampu merintih lagi agar dikuatkan iman dan ditenangkan hati.

Pulang ke kampus, Safiyah mampu tersenyum dan bergurau senda bersama sahabat-sahabat di rumah yang mereka sewa bersama. Mereka adalah benar-benar sahabat yang sejati yang memahami diri Safiyah yang ditimpa ujian dan dugaan.

"Salam, apa kabar iman? Adik-adik ustzh mcm mana? mak long buat lagi ke perangai die?" Satu message yang diterima oleh Safiyah dari tunangnya tatkala sedang khusyuk menelaah buku mengulangkaji pelajaran.

"Wslm, alhmdulillah shat. Adik-adik ana pun ok. Cuma biasalh ade yg merengek x thn dgn prangai mak long. Adik ana crita ade lg diorg bising2, " Message dibalas. Entah kenapa hati Safiyah rasa berbunga apabila menerima sms tersebut. Mungkin disebabkan bakal suaminya itu baginya adalah seorang yang penyayang dengan banyak mengambil tahu akan kehidupannya.

"Ustzh byk2 dktkan diri dgn Allah. Byk2 doa dgn ujian yg dtg ni. Yg penting jgn lupa qiamulail spya dikuatkan hati," Hati terus berbunga dengan tazkirah yang diberikan oleh seseorang yang bermakna dalam kehidupannya. Tunangnya itu adalah hasil perkenalan mereka di kampus. Melalui orang tengah dan beberapa prosedur yang dilalui, mereka ditemukan sehinggalah disatukan oleh ibu dan ayah kedua-dua belah pihak.

Ucapan salam diberikan melalui sms setelah azan maghrib hampir berkumandang. Malam terus berlalu sehingga ke jam 5.00 pagi.

Jam loceng dari telefon bimbit menyala namun Safiyah tidak terjaga dari tidur untuk berqiamulail. Setelah 15 minit berlalu, nombor seseorang yang bermakna dalam hidup Safiyah tertera di telefon bimbitnya memberikan panggilan. Tanda ingin mengejut Safiyah dari lena yang panjang supaya berqiamulail.

"Salam ustzh, bangkitlh wahai mujahidah! Dekatkan diri dgn Allah spya dberi kekuatn dgn berqiam." Satu message datang menyusul kemudian setelah panggilan tadi habis.

Safiyah akhirnya terjaga dari tidurnya setelah 10 minit berlalu. Dia terus berqiamulail bermunajat pada Allah supaya terus diberi kekuatan dan istiqamah dengan jalan juang yang dipilihnya.

Setelah siap bersolat subuh dan membaca mathurat, Safiyah melihat dan membaca message dan miss call yang tertera di telefon bimbitnya.

Entah kenapa tiba-tiba imannya bersuara menidakkan apa yang telah berlaku itu tidak sepatutnya berlaku. Tunangnya itu belum halal lagi bagi dirinya. Hatinya tidak sedap dengan semua ini. Masakan boleh seorang yang masih bukan muhrim bagi dirinya mengejutkan Safiyah berqiamulail.

Sepanjang hari tersebut, Safiyah diam seribu bahasa memikirkan apa yang berlaku dan memuhasabah dirinya. Sahabat serumahnya pelik melihat kelakuan Safiyah yang kebiasaannya ceria bersama sahabat-sahabatnya tetapi pada hari itu diam seribu bahasa. Seorang sahabat baik Safiyah, kak Humaira yang tinggal sebumbung di rumah sewa yang sama mendekatinya.

"Safiyah kenapa ni? senyap je dari tadi. Akak tengok tadi macam nangis pun ada. Safiyah ada masalah ke?," kak Humaira menegurnya sambil ingin berkongsi masalah yang Safiyah alami.

Safiyah merenung anak mata kak Humaira seolah-olah mencari petunjuk dengan apa yang dilaluinya kini. Sesaat kemudian, Safiyah menangis tersedu-sedu dengan kepalanya yang diletakkan di riba kak Humaira.

Kak Humaira hanya mampu mengusap kepala Safiyah yang dianggap seprti adiknya sendiri. Dia hanya membiarkan Safiyah menangis sehingga puas. Setelah tangis Safiyah agak reda, dia pun menceritakan segala yang berlaku antara dia dan tunangnya pada kak Humaira.

Kak Humaira yang lebih senior bakal melangsungkan pernikahannya setelah peperiksaan mereka berakhir. Safiyah melihat kak Humaira sangat hebat menjaga pergaulan dan adab-adab bertunang sebagai seorang muslim.

"Safiyah, akak faham perasaan awak. Berperang dengan kehendak sendiri sedangkan syariat yang dijunjung perlu kita tegakkan dalam diri. Hanya orang yang Allah pilih je akan lalui ujian sewaktu tempoh menunggu sebelum pernikahan ni. Dan akak tahu ia amat susah."

"Jangan disebabkan dosa-dosa yang kita lakukan, maka perhubungan ini Allah putuskan di tengah jalan atas sebab tangan-tangan kita sendiri. Kita muslimat yang kena betul-betul kuat ingatkan diri sendiri dan peringatkan tunang kita. Walaupun tak jumpa, tapi jangan selalu sangat message terutama kejut qiam sebab itu antara bibit-bibit menghampiri zina hati."

"Tapi kak, saya tak kuat untuk semua ini. Setiap hari saya doa diberi kekuatan tapi tetap lupa sampai selalu message. Dan sekarang, saya terlalu mengharapkan petunjuk Ilahi." Safiyah meluahkan apa yang terbuku dihatinya.




"Ingat Safiyah, jalan pertunangan yang kita tempuhi bukanlah tiketnya untuk bebas bermessage. Syaitan dan sekutu-sekutunya bijak mencorakkan bisikan dan godaan mereka. Kita akan rasa betul tapi sebenarnya itu adalah permainan syaitan dalam menggoda anak Adam. Syaitan hanya akan menangis apabila pernikahan berlaku."

"Bagi akak, masalah hati adalah perkara yang paling susah kita nak kawal. Dan yang paling penting Safiyah, takutlah pada Allah. Allah yang mempertemukan kamu berdua tapi jangan sampai kita berpaling tadah pada Dia dengan berulamkan dosa-dosa sewaktu perhubungan yang tidak halal ini berlangsung. Berkat sebuah pernikahan dan rumah tangga terletak pada waktu tempoh menunggu sebelum bernikah. Doalah moga perhubungan kamu berdua Allah redha. Sabarlah ye dik." kak Humaira terus menasihatkan Safiyah bagaikan air yang mencurah-curah.

Safiyah merasa terlalu hina dan kerdil di hadapan kak Humaira dan apatah lagi di hadapan Penciptanya. Dengan langkah yang lemah, Safiyah melangkah mengambil wudhu' untuk bersujud dihadapan penciptanya. Dia bersolat taubat dan istikharah supaya mohon diberi petunjuk dan kekuatan pada dirinya yang teramat lemah.

"Ya Allah, hanya pada-Mu aku mengucapkan syukur atas sezarah iman yang Kau campakkan ini sehingga membuat aku terjaga dari lena. Ampunkan dosa-dosa kami ya Allah. Aku mohon taubat pada-Mu. Ya Allah, pada-Mu aku mengharap, berikanlah kami berdua kekuatan dan petunjuk untuk jalan mujahadah ini. Kami mengharapkan redha-Mu untuk perhubungan kami berdua. Engkau permudahkanlah jalan yang sukar bagi perhubungan kami. Penuhkanlah hati kami dengan hanya cinta dari-Mu ya Allah. Kentalkan hati kami dalam menempuh bisikan dan godaan syaitan laknatullah sepanjang perhubungan kami yang tidak halal lagi ini sehingga sampai masanya. Hanya pada-Mu ya Allah, kami berserah dan memohon petunjuk." Safiyah berdoa di penghujung solat sunatnya. Dia merintih menangis lagi tersedu-sedu dalam solatnya.

Keesokan harinya, Safiyah menelefon orang tengah yang menguruskan perhubungan mereka sambil menceritakan masalah yang berlaku. Orang tengah tersebut menyampaikan hasrat Safiyah kepada tunangnya supaya mengurangkan berhubung diantara satu sama lain. Cukup atas urusan-urusan jemaah dan gerak kerja. Urusan berkenaan soal masa depan diuruskan oleh ibu ayah Safiyah dan tunangnya.

Safiyah mengucapkan rasa syukur atas apa yang telah berlaku. Dia mengharapkan ada sinar dan harapan yang cerah pada masa hadapan tanpa ada debu-debu dosa yang mengiringi...

Saturday, November 7, 2009

Produk terbaik daripada Pemimpin

Sepanjang satu semester ini, saya perlu menghasilkan satu produk makanan yang baru untuk subjek Pembangunan Produk Makanan saya. Pelbagai cerita suka dan duka yang dilalui memberikan pengajaran dan pelajaran dalam berhadapan dengan "mereka" (masyarakat di luar sana). Namun, apa yang lebih penting saya telah memahami kaedah yang terbaik untuk menghasilkan produk makanan. Dan praktikalnya perlu diaplikasikan.

Nah, ini mungkin soal produk makanan jasadiyah. Saya merasakan method atau kaedah untuk menghasilkan produk jiwa kepada "mereka" juga mempunyai prosedur yang sama. Maka, ini adalah eksperimen yang saya jalankan bersama dengan satu badan gerakan Islam dan produk ini perlu benar-benar terhasil secara solid dan berkualiti.

Objektif Eksperimen: Menghasilkan masyarakat yang benar-benar menjalankan kehidupan dengan berpaksikan Islam sebagai Ad-Deen sehinggalah terbentuknya Daulah Islamiyah dan seterusnya Khilafah Islamiyah.

Prosedur eksperimen:

Pertama

Sebelum menghasilkan produk yang baru, maka perlunya kepada pembentukan organisasi kepimpinan dalam menjadi peneraju untuk menghasilkan produk. Organisasi inilah yang akan menjadi golongan pemikir kepada penghasilan produk.




Untuk menjadi golongan pemikir yang baik, maka perlunya kepada brainstorming. Brainstorming sangat-sangat diperlukan untuk menghasilkan produk yang benar-benar mengikut keperluan dan kehendak "mereka". Jangan disebabkan syok sendiri, kita menghasilkan produk yang tidak memenuhi keperluan dan kehendak "mereka". Maka, inilah pentingnya membumikan strategi dan method dalam mengaturcara agenda tarbiyah, dakwah dan siasah.

Brainstormer yang baik perlu kepada minda dan otak yang sentiasa berputar dan ligat memikir kaedah dan prosedur terbaik menghasilkan produk yang benar-benar membumi. Dan ini memerlukan kaedah yang baik membaca pemikiran dan kehendak "mereka".

Tidak cukup sekadar membaca pemikiran "mereka", idea-idea yang dihasilkan perlu idealistik kerana itulah minda seorang PEMIMPIN. Tidak cukup sekadar idealistik, maka elemen realistik juga diperlukan kepada pembinaan idea-idea itu.

Jika idea yang dihasilkan itu tidak realistik, maka ia tidak akan membumi kepada kehendak dan keperluan "mereka". Manakala, jika idea itu tidak idealistik, maka, idea yang dihasilkan itu bukanlah daripada seorang pemimpin. Kerana pemimpin itu perlukan pemikiran 'out of the box' dan mencapah.

Pemikiran yang idealistik dan realistik juga boleh digilap dengan 'membaca' pemikiran para pemimpin kita. Tidak kira pemimpin dalam atau luar negara.

Iya!! Disinilah bermulanya kelahiran pemimpin-pemimpin mahasiswa Islam untuk negara dan dunia.

Brainstorming yang mantap perlukan kepada konsep syura. Saya ingin katakan jangan sekali-kali lari dari pengaplikasian syura. Kelak akan terbitnya bibit-bibit kebinasaan dalam proses menghasilkan produk. Rasulullah SAW yang maksum itu juga masih melakukan syura dengan para sahabatnya dalam agenda-agenda yang penting.

Kedua

Bukan setakat menjadi golongan pemikir, tetapi peneraju kepada penghasilan produk ini juga perlu melakukan struktur pelan khas menyusun seluruh pekerja-pekerja bawahan dalam setiap sektor dan jabatan mengikut kemahiran-kemahiran yang ada pada mereka. Letakkan mereka di posisi-posisi yang betul dan tepat supaya tidak berlaku pekerja lelap dan makan gaji buta.

Ketiga

Prosedur yang saya letakkan di aras terakhir inilah yang paling penting. Letakkan seluruh pergantungan dan tawakal kepada Rabbul Izzati. Qiamulail dilakukan secara istiqamah. Solat dhuha dan bacaan Al-Quran tidak ditinggalkan. Pasakkan seluruhnya kepada Allah dalam soal meminta petunjuk dan diberi kekuatan.



Kerana ombak badai dan duri-duri tidak pernah lari daripada seorang pemimpin. Jatuh bangun seorang pemimpin adalah perkara biasa. Kesatuan hati kesemua peneraju produk dan pekerja-pekerja bawahan perlu benar-benar terikat.

Kesimpulan eksperimen:
1. Islam itu akan tertegak kembali.
2. Perjuangan perlu diteruskan walau kemenangan masih Allah tangguh.
3. Kesemua peneraju produk dan pekerja-pekerja bawahan perlu penuhi syarat-syarat kemenangan Islam

Sunday, November 1, 2009

Antara Mahu dan Malu dalam Menulis

Umpama barang perhiasan yang berharga. Andai tidak digilap dan dibersihkan, maka berhabuklah ia. Kemungkinan boleh berlaku kerosakan.

Maka, sebenarnya setiap diri dari kita mempunyai bakat menulis tidak kira berbentuk ilmiah, luahan perasaan atau berbentuk kreatif. Andai terus digilap bakat tersebut, maka bersinarlah penulisan kita sebagai salah satu medium dakwah, tarbiyah atau siasah.

Separuh hari yang berlalu semalam bersama Kak Ummi Hani Abu Hassan atau nama penanya Ummu Hani Abu Hassan memberikan pelbagai input dan message dalam bidang penulisan. Terlalu teruja saya ingin mengeluarkan segala input untuk dijadikan output kepada pembaca blog saya yang tidak seberapa ini. Tambahan pula, tuan presiden begitu kuat membuat provokasi terhadap saya supaya menulis. Maka, cabarannya saya sahut.

Biar saya mulakan dengan sedikit latar belakang info mengenai pengarang Ummu Hani Abu Hassan. Anak sulung daripada 11 orang adik-beradik kepada penulis terkenal, Abu Hassan Morad. Beliau telah menghasilkan 5 buah novel karya kreatif dan lebih 40 buah cerpen dan artikel berbentuk ilmiah yang banyak disiarkan di dalam media-media akhbar dan majalah.

Pernah menjadi wartawan kepada Majalah Anis selama setahun sewaktu belajar di Universiti Malaya dalam bidang pengajian dakwah(major) dan media (minor). Sekarang sedang mengikuti mengambil ijazah sarjana dalam bidang usuluddin di UM disamping menjadi wartawan sambilan di Galeri Ilmu Sdn. Bhd. dan penerbit/penulis di AMN Publication Enterprise. Cukup sekadar itu saya menceritakan mengenai beliau.

Boleh layari http://ummuhani.com untuk maklumat lanjut mengenai penceramah.

Bidang penulisan sebenarnya untuk lebih kita nampak adalah terbahagi kepada dua iaitu penulisan kreatif dan penulisan ilmiah. Saya pasti penulisan kreatif ini biasanya sinonim dengan golongan wanita dan penulisan ilmiah ini sinonim dengan golongan lelaki.

Saya melihat penulisan kreatif ini perlukan kepada imaginasi yang tinggi dan ruang lingkupnya meliputi aspek nilai dakwah dan tarbiyah. Manakala, penulisan ilmiah lebih kepada nilai siasah, namun masih boleh dimasukkan aspek nilai dakwah dan tarbiyah.

Penulisan yang baik

Penulis yang baik adalah yang banyak membaca dan banyak menulis. Kalau dengan hanya banyak membaca juga akan boleh diasah bakat menulis yang terpendam. Suka saya katakan, jangan jadikan penulisan kita seperti diari harian. Ini adalah kerana ia kurang memberi input pada masyarakat. Dalam erti hidup pada memberi, biarkan penulisan kita ada unsur nasihat, boleh sedarkan dan fahamkan masyarakat tentang sesuatu.

Bagi penulisan ilmiah, saya gariskan kepada 5 W dan 1 H yang perlu ada dalam penulisan kita. Fakta yang diperolehi perlu betul, tepat dan sahih. Ini boleh diperolehi daripada media massa, akhbar atau go to the right person (interview). Jangan sekali-kali kita tersilap fakta dalam menulis kerana boleh membuatkan penulisan menjadi cacat, orang marah atau yang lebih buruk, kita boleh disaman.

"Hai orang-orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa satu berita, periksalah dengan teliti, agar kamu menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaan yang menyebabkan kamu menyesali perbuatanmu." Al-Hujurat:6

Tidak tahu nak mula dari mana?



Yang pasti permulaan sebelum menulis perlukan cukup maklumat diperoleh. Dalam ingin menaip atau menggerakkan mata pena, tiba-tiba terasa tidak tahu hendak mula dari mana kerana tidak pernah menulis sebelum ini. Maka, penyelesaiannya adalah seperti seorang pelajar sekolah Tahun 3.

Kenapa saya berkata begitu? Sewaktu kita berada didalam tahun 3, kita telah ada subjek Bahasa Malaysia (Penulisan). Cikgu-cikgu di sekolah pastinya mengajar kita bagaimana membuat karangan yang baik. Antara permulaan sebelum membuat karangan, rangkakan isi-isi yang ingin dimasukkan. Kalau sudah ada rangka yang baik, boleh dimulakan dengan membuat intro. Dan akhirnya, setelah intro yang baik sudah ada, penulis boleh terus kembangkan isi-isi yang ada untuk menjadi badan yang cantik.

Mudahkan, mudahkan, mudahkan...

Kita menulis untuk orang membca. Jadi, seharusnya mudahkan orang tahu apa yang kita hendak cerita dari intro sampai kepada penutup. Segala ejaan, tanda bacaan dan binaan ayat perlu diperhatikan semula lagi-lagi penulisan seorang mahasiswa. Periksa semula supaya ianya berkualiti. Gunakan ayat yang pendek dan mudah untuk dibaca.

Apabila membuat suatu pernyataan, perlulah disokong kenyataan itu dengan bukti dan pengukuhan. Sampaikan sahaja penulisan kita berdasarkan versi diri kita. Cantikkan flow ayat yang ditulis atau dengan kata lain linkkan satu perenggan dengan perenggan yang lain dengan baik.

Untuk lebih baik, gambar-gambar boleh dimasukkan berserta dengan caption di bawah untuk memudahkan pembaca menganalisa pembacaan kita.

Kesimpulannya?

Ingin menjadi penulis yang hebat, perlu ada rasa MAHU dan BERANI. Kerana kalau tidak disertakan rasa berani disebalik kemahuan kita ingin menulis, maka MAHU itu akan runtuh dek kerana malu untuk menulis memberikan sesuatu kepada masyarakat. Jadikan penulisan kita sebagai salah satu medium dakwah.




Itulah antara yang saya dan bersama beberapa orang sahabat peroleh di dalam bengkel penulisan tersebut disamping pelbagai kisah masyarakat di sekeliling yang dicedok oleh Kak Ummu diceritakan kepada kami.

Sungguh, masyarakat kita terlalu sakit!
Menulislah untuk memberi sesuatu kepada mereka.
Sampaikanlah walau sepotong ayat...