Wednesday, June 29, 2011

Special Request dari Si Dia

“Orang yang tak nak bahagia akan selalu merungut, hanya meminta itu ini dan ego”

Kata-kata seorang tokoh ilmuan Selangor yang dikenali ramai.

Kata-kata yang saya selalu ingat. Panjang saya memikirkan kata itu dan sentiasa bermuhasabah supaya dijauhkan daripada perbuatan-perbuatan yg tidak mengizinkan saya untuk bahagia.

Ah, bahagia itu hanya dengan agama!

Itulah kesimpulan sebenar.

Air mata yg sering membasahi tika mana kasih sayang Allah S.W.T datang menyapa. Kasih sayangNya tidak datang dalam bentuk kesenangan dan bahagia semata-mata, tetapi juga dalam bentuk ujian.

“Dan janganlah kamu mengaku beriman sebelum kamu diuji,” Surah Al-Ankabut (ayat 2)

Kerana apa? Kita masih di dunia. Tiap ketika dan dalam tahap mana sekalipun kita akan diuji. Ketika masih bayi, kita diuji mahukan susu dan ditukar lampin. Menginjak sedikit masa ke alam kanak-kanak, kita diuji mahukan barang permainan dan masa bermain tidak kira masa. Dan seterusnya ke alam remaja dan dewasa.

“Rasa macam nak jadi budak kecil semula, tak perlu fikir masalah,”

Pernah saya berfikir begitu ketika sedang menangis sewaktu ditimpa ujian yang dirasa berat suatu ketika dulu tetapi rupanya mengenalkan saya kepada Pencipta, agama dan jemaahNya.

Masa tetap terus berlalu. Dan masa semakin mencemburui, meninggalkan sisa-sisa usia yang semakin pendek untuk beramal mengejar redha dan syurga Dia.

Tingkatan iman di hati mengukir keberadaan ujian yang Allah titipkan di sisi kita. Kemiskinan, kesakitan, kerunsingan dan kesempitan.

Sabar, redha dan bersangka baik.

Kata-kata dan ayat yang ringkas, namun, membuatnya? Dengan penuh kepayahan, seribu satu pengorbanan dan akhirnya Allah titipkan kemenangan dan kebahagiaan. Yakinlah…

“Anggaplah semuanya ibarat semilir angin lalu yang berlalu... Menenangkan pelupuk emosi dan teruslah berlari kepada Nya, mendakap erat dalam pelukan Nya agar setiap ujian yang hadir semakin membuat kita dekat dengan Nya.”

Hati yang berdukacita pasti akan dibelai lembut dan penuh didikan oleh Penciptanya. Kerana Dia sentiasa mahu beri yang terbaik buat kita. Bukankah setiap masa kita menyebut “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”?

Permulaan kalimah inilah yang meyakinkan kita bahawa kasih sayangNya melangkau apa pun hatta kasih sayang seorang ibu.

Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar .” Ayat 153, Surah al-Baqarah.

Tika hati mula terasa perit, percepatkanlah langkah yang mula kelihatan longlai mengambil wudhu. Kerana disitu, ketenangan sedikit sebanyak mula menapak. Kemudian, bersolatlah. Solat dan sabar ini pasti akan menolong. Cuma hanya kita sebagai insan yang kerdil ini sahaja tidak tahu bila dan bentuk bagaimana ‘pertolongan’ Allah itu datang.

Di dalam solat, merintih dan berharaplah sepenuhnya pada Allah. Fokuskan pada kalimah ini dengan penuh rasa rendah diri dan tawaduk kita sebagai hambaNya yang cukup dhoif.

“Hanya kepada Engkau sahajalah kami sembah, dan hanya kepada Engkau sahajalah kami MEMINTA PERTOLONGAN” Ayat 5, Al-Fatihah.

Dan special request Allah kirimkan supaya kita sabar, redha dan bersangka baik.



Dengan mata yang bengkak kerana kerap kali menangis, saya suakan coklat ke mulut. Keceriaan saya kembali sebentar dengan izinNya supaya tidak berterusan menangis. ^_^

No comments: