Saturday, August 22, 2009

Ghairahkanlah dunia untuk Islam

Apa khabar Ramadhan sahabat-sahabat semua setelah kita berpuasa 1 hari??

Mungkin ada yang baik, ada yang tidak...Yang pasti moga rahmat dan kasih sayang dari Allah S.W.T sentiasa menemani sahabat-sahabat semua.

Bercerita mengenai 1 Ramadhan semalam, Program Gerak Usahawan Siswa 2009 yang saya hadiri benar-benar membuka mata saya. Anjuran fakulti tempat saya menuntut ilmu bersama KFC Holding, AYAMAS dan beberapa syarikat lain.Program yang dipengarahkan oleh Dr Azizan Ahmad menghadirkan bakal-bakal jutawan setiap syarikat yang hadir.

Teruja mendengar En Romli Ishak, Pengarah Urusan, Granulab Sdn Bhd (syarikat Tulang Sintetik) membentangkan kertas kerja perkongsian pengalaman sebagai seorang usahawan yang berjaya. Bukan teruja disebabkan beliau adalah seorang usahawan, tetapi teruja kerana beliau adalah penggerak Islam yang sangat komited dengan perjuangan Islam sejak dari alam kampus dan kini adalah usahawan yang berjaya. Segala gerak kerja Islam pernah beliau lalui termasuklah demonstrasi, malah hampir dibuang universiti kerana ingin menegakkan kebenaran.

Tetapi siapa tahu, sekarang beliau adalah seorang yang berpangkat dan berkedudukan. Perniagaan beliau dimulakan dari kosong. Hanya meminta bantuan syarikat sahabat-sahabat beliau yang banyak duit. Akirnya, rezeki yang dikurniakan Allah banyak dapat diinfaqkan pada jalan perjuangan Islam. Subhanallah...

Berpersatuan memberikan banyak kelebihan kepada beliau dalam alam pekerjaan. Walaupun hanya mengambil kos pengajian Biologi tetapi beliau mampu memberi ceramah mengenai Tulang Sintetik (tulang ganti untuk pesakit-pesakit yang patah tulang) seperti seorang doktor. Masyarakat memandang tinggi pada beliau. Itulah yang diperlukan sebagai seorang penggerak Islam. Meng'izzahkan Islam dalam diri.

Mengingati sirah Saidatina Khadijah, yang cukup-cukup kaya sebagai seorang saudagar pedagang hingga mampu menginfaqkan seluruh hartanya untuk Islam.

"Perumpamaan orang yang mnginfaqkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui," Surah Al-Baqarah, ayat 261

Ghairahkanlah dunia untuk Islam. Bukan sekadar hanya cukup-cukup makan dalam berjuang. Biar cita-cita dunia kita melambung tinggi bahkan lebih dari itu untuk agama Allah.

Teringat usrah bersama k.hanisah bercerita mengenai graduan-graduan yang baru sahaja selesai konvokesyen. Duit yang ada kadang hanya cukup-cukup makan dan kadang tidak cukup untuk menghadiri program-program. Usrah kami mengambil iktibar tidak cukup hanya setakat semangat, idea-idea dan lain-lain untuk berjuang, malah perlu ada wang ringgit untuk mudah bergerak ke sana ke mari dan keperluan lain.



Biarlah kita menjadi seorang usahawan yang bertaqwa dan berjaya, mengambil dari sunnah Rasulullah S.A.W.

Hadith Riwayat Tarmizi:
"Sembilan persepuluh sumber rezeki (boleh diperolehi) melalui perniagaan"

Namun, awas semua!! Hanya iman dan taqwa yang mampu manjaga diri kita apabila berharta kerana antara ujian-ujian dunia yang ada salah satunya dari harta yang kita miliki. Jangankan apabila kita telah berharta, bolot segala rumah, kereta dan harta-harta lain hanya untuk kepentingan diri. Cukuplah segala harta yang ada untuk Islam.



Moga satu hari nanti, produk makanan yang saya cipta memasuki pasaran. Doa-doakan... InsyaAllah...

~Salam Ramadhan semua~

Monday, August 17, 2009

Takutlah seperti Umar wahai para pemimpin

Sebuah kisah seorang khalifah yang dikatakan oleh para ulama' sebagai khalifah kelima iaitu Umar b Abd Aziz walaupun pada masa itu khilafah islam keempat, Khilafah Turki Uthmaniyah telah jatuh. Beliau juga merupakan cicit kepada khalifah Islam yang kedua iaitu Umar Al-Khattab. Tegas beraninya semua orang tahu.

Tertarik dengan secebis kisah hidup Umar b Abd Aziz. Fatimah bt Abd Malik, isteri Umar b Abd Aziz , ditanya mengenai ibadah suaminya. Ia menjawab, "Demi Allah, dia bukanlah termasuk orang yang paling banyak solat dan puasanya. Tetapi, demi Allah, aku tidak melihat ada orang yang lebih takut kepada Allah melebihi takutnya Umar. Suatu waktu, dia berzikir kepada Allah di tempat tidurnya dan tiba-tiba dia menggigil seperti menggigilnya burung pipit kerana takutnya kepada Allah.



Sehingga aku (isteri Umar b Abd Aziz) berkata dalam hati, "Esok pagi, manusia akan bangun dari tidur tanpa memiliki khalifah kerana khalifahnya meninggal dunia disebabkan takutnya kepada Allah,"

Subhanallah...
Maha Suci Allah yang mengurniakan ketakutan pada Dia sebegitu rupa pada Umar b Abd Aziz yang menjadi khalifah selepas Khalifah Sulaiman b Abd Malik.

Cuba kita dengar pula kisah yang satu lagi. Kisah zaman kini yang diceritakan oleh bekas perdana menteri kita yang berwibawa dan berkredibiliti ini, Tun Dr Mahathir Mohamad.



--> "Apabila ada sesuatu kesalahan dilakukan, tidak dapat tidak rakyat akan dapat tahu... kita tidak boleh sembunyikan.

"Sebab itu kalau hendak jadi ahli politik ataupun pemimpin, jangan terlibat dengan benda-benda yang tidak baik," katanya.

Sehari selepas kenyataan Dr Mahathir itu, muncul pula berita dalam sebuah akhbar tempatan yang melaporkan calon Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir, Rohaizat Othman dipecat dari Majlis Peguam.

Prosiding pemecatannya dibuat di bawah Seksyen 103D Akta Akta Profession Guaman 1976. Seksyen tersebut melibatkan salah laku seseorang peguam.

"Kesalahan itu adalah tanggungannya sendiri dan tidak melibatkan orang lain kerana Rohaizat sendiri yang dinamakan oleh pihak pengadu dan bukan rakannya.

"Rohaizat dipecat pada 7 Mac tahun lalu dan beliau mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi berikutan keputusan Majlis Peguam itu, di mana mahkamah juga menolak rayuannya pada 12 Ogos tahun ini," akhbar The Edge semalam melaporkan kenyataan Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan.

Ragunath berkata, kesalahan yang dilakukan itu melibatkan wang pemegang amanah Koperasi Pekebun Getah dan tidak ada akaun untuknya.

"Apabila lembaga menyiasat perkara ini dan perintah dibuat, tidak dipulangkan kepada pemegang amanah melibatkan wang berjumlah RM140,000.

"Walaupun anda membayarnya, tetapi kesalahan telah dilakukan dan ia merupakan kesalahan yang serius kerana ia melibatkan transaksi dengan wang pelanggan.

"Jika anda tidak bersalah, anda tidak akan didapati bersalah oleh ahli jawatankuasa disiplin dan tuduhan di bawah Seksyen 103D sama seperti salah laku jenayah," katanya lagi.

Takutlah seperti Umar kalau hendak menjadi calon ADUN Permatang Pasir.

Itu secebis kisah dalam negara yang kita sayangi ini. Kita dengar pula kisah dari kampus UKM.

Baru sehari Pesta Konvo yang ke-37 berlalu. Cukup meriah dan gemilang sepertimana pesta tahun-tahun yang sebelumnya. Syabas diucapkan kepada Mohd Nasir b Mohd Nazri, Presiden PMUKM dan juga selaku Exco Konvokesyen dan Hubungan Alumni.



Beliau telah benar-benar mencipta nama atas penganjuran Pesta Konvo kali ini apabila tema PMUKM kali ini iaitu "Aspirasi Sepakat, Transformasi Gemilang" berjaya diraih.

Kenapa saya berkata begitu??

Sebab saya sangat tertarik apabila pres kita menjemput pelbagai artis negara kita untuk menggemakan Perbukitan Ilmu ini dengan 'suara-suara' mereka. Itulah TRANSFORMASI GEMILANG yang ahli jawatankuasa Pesta Konvo terbitkan demi membawa ASPIRASI SEPAKAT.

Tepuk dada, tanyalah imanmu wahai para pemimpin UKM!! Lakukan TRANFORMASI GEMILANG berdasarkan quran dan sunnah demi memartabatkan ASPIRASI UKM secara SEPAKAT.

Thursday, August 13, 2009

Kehidupan umpama pokok

Andai diperhatikan pada sebatang pokok...
Asalnya daripada biji benih yang kecil. Kemudian membesar menjadi sebatang pokok yang muda dan akhirnya matang apabila mencapai usia yang sepatutnya. Masa terus berputar dan akhirnya pokok tersebut mati apabila tempoh masanya berakhir dengan melihatnya ciri-ciri fizikalnya yang menjadi warna coklat.




Begitulah kehidupan manusia sebenarnya. Daripada kita lahir menjadi seorang bayi...membesar samada hanya menjadi seorang manusia atau menjadi seorang insan yang mukmin seperti termaktub dalam Al-Quran. Dan sampai satu masa, manusia itu mati apabila malaikat yang ditakuti itu datang..malaikat izrail.. Roh dijemput samada dalam keadaan baik ataupun buruk tidak kira masa hatta di atas katil.

Kita selalu takut mendengar kematian tetapi sejauh mana persiapan kita menghadapinya??fikir-fikirkan...

Tiga kematian orang terdekat dengan saya sepanjang minggu ini...

Pada hari selasa, luluh jantung apabila mendapat khabar berita daripada adik mohd nasai bin ab azais (adik ex-kmpk). Ibunya meninggal dunia setelah mendapat darah daripada seorang penderma. Tetapi ajal tetap ajal. Ibu nasa'i tetap kembali ke rahmatullah. Sebak rasanya kerana saya dapat rasa apa yang nasa'i alami cukup-cukup berat. Moga kesabaran sentiasa menjadi pendamping dan diberi kekuatan yang cukup-cukup utuh.

Pada keesokan harinya, hari rabu. Adik saya lagi seorang mendapat ujian yang sangat berat buat dirinya. Ayahnya baru meninggal dunia awal tahun lepas. Dan kini, pada hari rabu, ibunya juga kembali ke rahmatullah. Terkedu tidak terkata kerana adik muhammad asyraf b abd jamil (fpi/1) hilang kedua-duanya pada tahun yang sama. Minta kepada sahabat-sahabat yang ingin meringankan beban adik asyraf, boleh sumbangkan terus melalui tabung derma kilat ISIUKM.

Hari ini, khamis, satu lagi roh insan yang cukup-cukup banyak menyumbang pada Islam dalam bentuk hiburan nasyid kembali juga ke rahmatullah. Beliau adalah Ustaz Asri Ibrahim, vokalis kumpulan Rabbani. AL-FATIHAH. Terbayang-bayang bekerja bersama-sama beliau dalam Konsert Antara Dunia '09 anjuran GAMIS pada 1 Ogos yang lepas. Beliau cukup-cukup komited dalam perjuangan menegakkan Islam melalui hiburan. Moga Allah menerima amalan kita semua semasa di dunia ini.

Renungkanlah pokok-pokok di tepi jalan sewaktu berjalan-jalan samada berjalan kaki, menaiki motor atau kereta kerana di situ terdapat 1001 hikmah bahawa kehidupan manusia juga seperti pokok yang akan mati satu hari nanti...BERSIAPLAH!!

Wednesday, July 29, 2009

Sensori Ummah --> [1 Ogos]

Andai ikut subjek saya iaitu Penilaian Sensori Makanan, sensori bermaksud pengukuran dan penilaian terhadap makanan. Pemilihan, latihan dan saringan diperlukan untuk menjadi seorang ahli panel sensori yang baik. Ia adalah penting untuk menganalisa makanan dengan baik dari segi rasa, bau dan tekstur. Deria hidung, mata dan lidah digunakan disamping sentuhan.

Tetapi persoalan yang lebih besar timbul macam mana nak jadi AHLI PANEL SENSORI UMMAH yang baik. Segala masalah, isu-isu dan persoalan ummah diketahui. Enam langkah yang perlu diambil adalah menerima --> mengenal --> tumpuan --> mengingat --> menghurai --> menilai.

Menerima dan mengenal masalah ummah dengan membaca akhbar dan laman-laman web.[Tapi, susahnya nak baca?? Tak ada masa...banyak assignment, gerak kerja dan macam-macam lagi.]-mungkin ada dikalangan kita yang terdetik...

Tumpuan dan mengingat perlunya kepada mengingat fakta bukan pandai-pandai menghurai dengan fakta yang salah. Akhirnya telefon berkarat yang terjadi. Menyampaikan dalam keadaan orang yang terakhir dapat maklumat yang sama dan tepat dengan orang yang paling awal.

Menghurai dan menilai dalam konteks menganalisa dan menyampaikan maklumat melalui pelbagai medium seperti blog, akhbar, risalah dan sebagainya. Adakah dengan mengkritik, menyokong, membantah, simpati dan lain-lain?

Golongan mahasiswa terutamanya perlu menjadi ahli panel sensori ummah yang paling baik kerana kita adalah ANAK MUDA. Maka, latihlah dirimu untuk menjadi ahli panel sensori ummah yang baik kerana anak muda adalah bakal pemimpin negara dan dunia. Segala persoalan ummah perlu diketahui hatta binatang ternakan, tumbuhan dan tanah-tanah yang Allah amanahkan manusia untuk menjaganya.

Ada apa dengan 1 Ogos??

Mungkin ada yang tahu dan dengan tindakan, ada yang tahu tanpa tindakan (sekadar masuk telinga kanan, keluar telinga kiri), ada yang tidak tahu dan ada yang sipi-sipi tahu tanpa rasa untuk tahu lebih dengan tindakan.

Mahasiswa yang cakna dengan isu kezaliman di Malaysia pastinya akan tahu apa yang akan berlaku hari sabtu ini. Demo Membantah ISA di Istana Negara. Kezaliman yang dimanipulasi oleh sesetengah pihak semata-mata untuk menjaga keamanan negara.

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=21944&Itemid=1

Ada apa lagi dengan 1 Ogos??

Terkilan dengan sesetengah da'ei yang katanya tidak minat dengan konsert. Dakwah yang macam mana perlu digunakan andai tiada alternatif kepada hiburan songsang yang membanjiri negara kita? Bumikanlah dakwah kerana mad'u tidak mencari da'ei. Da'ei yang baik yang perlu dekati mad'u.

Maka turunlah beramai-ramai ke Konsert Antara Dunia '09 (KAD '09) bertempat di Stadium Melawati, Shah Alam. Infaqkan diri, masa, tenaga dan wang ringgit sebanyak RM 10 untuk ISLAM.

Tingkatkan prestasi untuk ISLAM!

Friday, July 17, 2009

Erti Sebuah USRAH

Rata-rata mahasiswa/i sekarang ramai dah kenal apa itu usrah. Bukan mahasiswa/i sahaja, bahkan masyarakat di luar sana. Kalau dulu, ada yang takut tatkala mendengar perkataan 'usrah'. Seolah-olah masuk ke satu lubuk yang ada kegiatan bawah tanah. Tapi hakikatnya usrah adalah suatu keperluan buat umat dewasa kini. Kerana dengannya, satu ikatan yang tidak dapat digambarkan terjalin. Antara Tuhan dan hamba, bahkan antara sesama hamba-Nya.

Dalam mempersoalkan sejauh mana konsep usrah, ramai yang faham usrah adalah suatu halaqah, duduk dalam bulatan yang kadang-kadang tidak relevan dengan suasana kini. Sejauh mana, semua naqib/ah menjalankan ketiga-tiga rukun usrah yakni ta'aruf, tafahum dan takaful.

Proses ta'aruf berjalan dalam sepanjang masa bukan terhad pada waktu usrah sahaja. Sekadar berkongsi sesuatu. Tidak dapat digambarkan apabila 'tafahum' dan 'takaful' berjalan seiring dalam usrah kita.

Seinfiniti penghargaan yang tidak terhingga buat ketiga-tiga anak usrah saya.

Nurfarhana bt Mohd Apandi (fst/2)
Izzah Syazwani bt Ahmad (fst/2)
Nornastasha Azida bt Anuar (fst/2)

Beban yang cukup berat dapat diringankan dengan bantuan adik-adik ini. Tidak tergambar rasa syukur dan gembira. Itulah nikmat erti sebuah USRAH.

Seorang naqib/ah adalah pencetus kepada anak-anak usrah mereka bukan hanya memberi dan terus menyuap. Tetapi pencetus kepada setiap pergerakan mereka yakni bahan bacaan apa yang dibaca, gerak kerja, amalan fardi dan lain-lain lagi.

Ukhwah yang dicetus perlulah lahirnya dari hati, maka akan terciptalah ikatan hati yang cukup-cukup indah untuk dinikmati. Tidak kira dari naqib/ah atau anak usrah sendiri.

Saya seru diri saya dan sahabat-sahabat yang bergelar naqib/ah, jangan jadikan usrah seperti kuliah untuk pengisian. Tetapi zahirkanlah usrah sepertimana maksudnya iaitu 'keluarga'. Sepertimana kita berada di rumah bersama keluarga, maka seperti itulah konsep 'keluarga' perlu diaplikasikan dalam usrah.



Saling berkasih-sayang, saling topup antara satu sama lain tidak kira dalam apa jua bentuk sekalipun.

Usrah yang dibawa perlu ada suatu matlamat. Antara salah satunya yang digembar-gemburkan oleh pihak GAMIS adalah Negarawan Muslim. Tidak mustahil anak-anak usrah yang dilahirkan menjadi seorang perdana menteri, ulama' dan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

Terima kasih kepada kakak naqibah saya, NUR HANISAH MOHD NOR AFANDI yang bergelar seorang pendidik tika waktu sekarang.

Nikmatilah U.S.R.A.H

Monday, July 6, 2009

Pasakkan diri bumikan dakwah

Bukan sekadar kita sebagai yang bergelar mahasiswa hanya duduk di dewan-dewan kuliah dan d bilik di kolej. Tapi apabila bergelar mahasiswa, maka tanggungjawab yang perlu dilakukan perlu LEBIH kerana kita adalah anak muda. Anak muda yang sifatnya sentiasa berkobar-kobar melakukan sesuatu.

Bacalah kisah Sultan Muhammad Al-Fateh pada ketika umur beliau 19 tahun, beliau berjaya menakhluki Kota Konstantinopel. Pada saat beliau diamanahkan oleh ayah beliau untuk mengepalai bahtera tentera menawan Kota Konstantinopel, ada suara-suara belakang yang tidak yakin dengan beliau namun hasilnya dengan izin Allah.

Melihat kepada negara kita hari ini, orang dewasa atau yang dikatakan orang berumur 40 tahun ke atas, kadang-kadang memandang lekeh anak muda ini terutama yang bergelar mahasiswa. Hatta terus berteleku apabila dijerat dengan AUKU dan akademik yang bebannya agak berat.

Jangan jadi mahasiswa yang hanya tidur dan dalam linkungan zon selamat. Memandang sebelah mata apa yang berlaku di sekeliling. Sedangkan masalah yang berlaku cukup banyak. Bukan hanya di luar kelompok malah di dalam kelompok sendiri.

Kadang melihat kepada yang berada di tangga bawah berasa selesa dengan diri dan amanah yang kurang sedikit berbanding yang berada di tangga atas cukup perit menanggung beban dan tanggungjawab yang cukup banyak.

Atas dan bawah perlu sentiasa pandang-memandang dalam erti kata saling 'support menyeport'. Bukan saja-saja bercakap, tapi melihat kepada gerak kerja Konsert Antara Dunia '09 yang dianjurkan oleh GAMIS bersama Rabbani Production.



"Ya Allah, sibukkan diri ini dengan jalan perjuangan menegakkan agama-Mu"

Biarlah setiap jam, setiap minit, setiap saat...fizikal dan minda ini terus bergerak untuk Islam.

Saya nak menyeru kepada sahabat-sahabat, siapa rasa dirinya tidak berada dalam lingkungan 'setiap jam, setiap minit, setiap saat...fizikal dan minda ini terus bergerak untuk Islam', maka sudi-sudikanlah mendaftar diri untuk menjadi ahli jawatankuasa semasa Konsert Antara Dunia '09 pada 1 Ogos ini. Seramai 150 orang diperlukan. Biarlah ganjaran yang dibalas hanya dari Allah S.W.T.

Siapa nak mendaftar, boleh bagi nama terus pada website http://gamisconcert.blogspot.com

Kedatangan sahabat-sahabat dialu-alukan.

Friday, July 3, 2009

Sorry! Not connected...



Dalam sibuk mencari maklumat nak surf internet, tetiba 'not connected'...aduish!! sakitnya hati...dah la banyak kerja kena settlekan...sabar...erti sabar banyak mengajar diri ini dalam gerak kerja...tapi bukan ini yang nak dihighlightkan...persoalannya adalah...

Pernah tak suatu hari dalam solat, x kira la solat fardhu ataupun sunat, tetiba 'not connected' dengan Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dalam solat tu?? melayang-layang fikiran memikirkan benda lain sedangkan dihadapan kita adalah Yang Maha Besar..Yang Maha Agung..Yang Maha Mulia..Yang Maha Tinggi diantara segalanya yang berada di alam ini.

Buat apa pun ibadah, rasa 'not connected' dengan Allah, tempat mengadu yang paling utama, tempat berkasih, tempat bercinta..Manakan boleh andai diconnected dengan kekasih hati. Jadikanlah Allah sebagai kekasih hati. Bukan hanya sebagai tempat yang disembah. Hati yang merupakan raja segala anggota rasa kering..haus..disebabkan 'not connected'...Maka mulalah musuh manusia yang paling utama, syaitan laknatullah dan nafsu yang tidak dikawal sebaiknya bermaharajalela.

Astargfirallahalazim...

Astargfirallahalazim...

Astargfirallahalazim...


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Tersentak tiba-tiba, lantas menghamparkan sejadah untuk bertafakur. Solat taubat dua rakaat segera dikerjakan, bimbang hati yang mudah lalai ini terus lalai.

Rakaat yang terakhir datang.

"Ya Allah, tempat untuk aku mengadu. Hanya pada-Mu ya Allah, aku mengadu segala macam yang berlaku dalam hidup ini. Hanya rahmat dan kasih sayang-Mu yang aku pohonkan agar selalu dalam dakapanku. Hanya redha-Mu yang aku impikan. Hati ini mudah lalai dan leka dalam menjalani kehidupan seharian. Aku mohon kekuatan dari-Mu. Sungguh, aku terlalu lemah, dhaif lagi kerdil. Tidak mampu untuk berdiri sendiri tanpa diri-Mu. Ampunkan dosa-dosaku ini. Terlalu banyak amanah dan tanggungjawab yang banyaknya lompang dalam melaksanakannya. Aku mohon keampunan-Mu dengan segala kelompangan itu. Ampunkan aku ya Allah...jangan tinggalkan aku dalam keadaan begini..."


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Saat itu menangislah seperti mana Saidina Umar meraung dan menangis tatkala memikirkan takutnya beliau menjadi satu-satunya manusia yang tidak terpilih untuk ke syurga Allah yang penuh dengan segala nikmat seluas langit dan bumi.Menangislah...

Dambakanlah REDHA ALLAH dan SYURGA-NYA

Kerana itulah nikmat yang paling indah dan besar...