Sunday, October 4, 2009

Tautkan HATI kami semula...

Khas buat sahabat-sahabat Usrah ~Khaulah Al-Azwar~

Mendengar luahan hati seorang sahabat seusrah yang diuji dengan ujian yang cukup berat meluluhkan hati saya dan membuatkan saya ingin menyampaikan sesuatu pada kalian...

Sungguh...
Saya terlalu merindui sahabat-sahabat seusrah Khaulah Al-Azwar ;-)

~Norsyahida Ismail~
~Nurul Syamila Marlan~
~Mardhiah Ahmad Tajuddin~
~Noor Aisyah Zainuddin~
~Siti Rahizah Ramlan~
~Noriah Abd Rahman~
~Huda Afiqah Hashim~
~Maryam 'Afifah Abdul Latif~
~Norliyana Ahmad~
~Wan Aziezan Baharuddin~
~Nur Izawati Rosli~
~Nik Nurhafifah Ahmed Hilmi~

Dan khas buat naqibah kami --> K.Hanisah

Saya sangat mendoakan kalian selalu sihat di bawah jagaan Allah S.W.T.
Terus diberi kekuatan yang utuh untuk terus berjuang selagi kita masih bernafas...
Melangkah dan terus melangkahlah walaupun jalan ini payah...
Saya sangat mendoakan hati-hati kita ditautkan semula... ;-)

Saturday, September 26, 2009

Racun makanan pemberian Yahudi

~Salam Eid Mubarak~
Moga Aidilfitri yang hadir menghilangkan sedikit sebanyak dosa-dosa kita yang lalu antara manusia dan Ramadhan yang lepas memberikan kita keampunan dari Tuhan semester alam disamping meningkatkan darjah ketaqwaan kita.

Sekadar ingin berkongsi sesuatu.

Pernah lihat ini?



Ini?



Dan ini?



Kismis ini banyak di kedai-kedai terutama di kedai-kedai runcit. Pasti ramai yang tidak terlepas daripada memakan kismis ini. Malah, saya juga tidak terlepas daripada memakan kismis ini apabila diletakkan dalam Nasi Arab buatan ummi walaupun saya sendiri dalam bidang makanan. Sungguh mengecewakan kerana maklumat lambat diketahui.

Kismis ini adalah berasal dari California, U.S. yang mana kita sudah ketahui salah satu negara Yahudi yang sangat membenci Islam. Kismis ini sebenarnya adalah lebihan-lebihan kismis yang telah rosak dan kemudiannya dihantar ke semua negara-negara Islam di seluruh dunia. Kismis tersebut melalui satu proses supaya yang rosak kelihatan cantik. Makanan yang rosak akan memberi kesan buruk kepada sistem penghadaman makanan dalam badan.

Maka, kismis yang baik-baik dan segar dibungkus dalam bungkusan yang berlainan dan dibekalkan kepada orang-orang Yahudi. Jadi, BERHATI-HATILAH kepada semua yang suka makan kismis.

Kismis yang terbaik adalah ini...



Kalau ditanya kepada si penjual, kismis yang paling baik adalah dari negara Iran dan berwarna kuning kemerah-merahan. Maka, pilihlah kismis yang berkualiti yang merupakan sunnah makanan Nabi S.A.W.

Jangan disebabkan kerana ingin mengamalkan sunnah Nabi S.A.W., tetapi tersalah memilih jenis kismis racun pemberian yahudi.

Tubuh yang sihat

Dalam sibuk berziarah dan bertandang ke rumah saudara-mara, pasti paling kurang kita akan menjamah makanan yang dihidangkan di atas meja. Makanan yang ada di Aidilfitri ini kebanyakannya antara ranking yang tertinggi kandungan kalorinya.

Dalam sedap-sedap menjamah makanan yang terhidang, tiba-tiba terdengar perbualan orang tua-tua yang telah lanjut usianya. Mereka kebanyakannya menghidap pelbagai jenis penyakit terutamanya penyakit 3 SERANGKAI iaitu sakit jantung, darah tinggi dan diabetes. Orang-orang muda yang sedang makan ketupat bersama rendang daging dan kuah kacang dengan penuh berselera pasti akan terhenti sekejap dan memandang jauh pada makanan di dalam pinggan sambil memikirkan kehidupan akan datang. Sungguh menakutkan.

Saya berpesan pada diri dan anda semua supaya menjaga tubuh terutama kepada siapa yang bergelar PEJUANG AGAMA ALLAH. Biarlah kita mati syahid mempertahankan agama Allah daripada mati disebabkan makanan. Na'uzubillah...

Jangan lupa berpuasa 6 di bulan Syawal ini.

Thursday, September 17, 2009

Permata-permata yang bersinar



Usrah

Menjalankan dua usrah dalam satu malam membuatkan saya sangat-sangat menginginkan seiapa yang inginkan Islam sebagai satu cara hidupnya ada usrah dalam kehidupan seharian. Carilah usrah andai sahabat-sahabat tiada usrah. Usrah terlalu manis.

Namun, usrah yang mempunyai kesinambungan yang baik dalam jangka masa panjang perlu ada method dengan strategi yang berkesan. Agar ahli-ahli usrah yang lahir cukup berkualiti dalam pelbagai cabang terutama dalam menghadapi mehnah dan tribulasi perjuangan menegakkan Islam.

Dalam salah satu usrah yang saya jalankan semalam, saya mencetuskan, kenapa usrah peringkat kaum Hawa masih dalam takuk yang lama? Maksud saya, apabila dibangkitkan isu-isu global dan isu-isu ummah dalam atau luar negara, kaum Hawa sukar untuk mengulas dengan lebih secara terperinci. Contohnya, apabila meminta salah seorang anak usrah saya bercerita apa yang dia tahu, cerita dapat diceritakan tetapi dalam keadaan kurangnya fakta.

"Pada zaman rasulullah saw,ada seorang sahabat nama dia.....kak, tak ingatlah nama dia..."

Ini antara dialog semasa anak usrah saya ingin bercerita kisah seorang sahabat nabi. Ini mungkin tidak apa kerana hanya berada didalam usrah. Tetapi apabila praktikalnya... Contohnya, semasa Konvensyen Transformasi Malaysia '09 anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia, saya kira ramai juga kaum Hawa yang membahaskan isu-isu dan domain-domain yang dibincangkan. Tetapi agak kecewa kerana tiada seorang pun dari kampus Perbukitan Ilmu yang membahaskan. Kerana apa? Hanya kita yang tahu dan saya mengakuinya walaupun telah dicabar untuk berbahas oleh seorang sahabat.

Usrah saya cuba membincangkan kenapa tiada yang ingin bangun untuk berbahas di peringkat kaum Hawa pada ketika itu. Salah seorang anak usrah saya mengatakan kerana tajuk yang diberikan adalah terlalu tinggi. Membincangkan isu-isu kenegaraan oleh mahasiswa. Maka, saya mengemukakan adakah tajuk yang terlalu tinggi atau kita masih di tahap yang rendah? Jawapannya kita masih di tahap yang rendah kerana mahasiswa dan mahasiswi adalah pemimpin negara. Maka, isu-isu kenegaraan seharusnya dapat dikuasai dengan baik kerana kita adalah golongan intelektual.

Transformasi

Maka, resolusi usrah kami semalam, maaf, saya berkata, bukan hanya negara kita Malaysia yang perlu ditransformasikan tetapi juga batu asas kita juga perlu ditransformasikan iaitu USRAH. Strategi yang baik perlu direncanakan agar usrah yang ada melahirkan ulama'-ulama' dan pemimpin-pemimpin negara dalam kebangkitan Islam sekarang.

Usrahlah yang akan melahirkan permata-permata yang bersinar untuk kebangkitan Islam. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Meneruskan Perjuangan kepada dua anak usrah matriks saya, Banan Syahidah dan Rabiatul Adawiyah yang selamat terbang ke Kaherah pada hari Isnin lepas bagi meneruskan pengajian di Universiti Al-Azhar dalam bidang kedoktoran. Kalian adalah permata-permata di bidang kedoktoran. Tidak mustahil akan lahir Menteri Kesihatan negara Malaysia salah seorang daripada kalian. Takbir!!

Tuesday, September 1, 2009

Jangan goyang kaki wahai tentera Allah!!

Merisaukan...mencemaskan..

Tetapi inilah lumrah perjuangan. Tidak akan selamanya berada di atas. Kemenangan berselang dengan kekalahan terus berjalan sepertimana sirah nabawiyah. Tentera Islam menang di dalam Perang Badar Al-Kubra dan kemudiannya kalah di medan Uhud.

Namun, kemenangan sememangnya kadang mudah digapai tetapi terus mengekalkan ia teramat sukar lantaran segala mehnah dan tribulasi dari pihak musuh terus berkocak memporak-porandakan saff tentera Islam.

Negeri tumpah tanah air saya

Semasa Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi pengerusi perhubungan Umno Perak, BN berjaya merampas kembali pemerintahan negeri itu dari tangan Pakatan Rakyat.


Ia menjadi kenyataan apabila tiga ADUN Pakatan Rakyat - dua dari PKR dan seorang dari DAP - bertindak keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong BN.

Apabila Umno melakukan rombakan kepimpinan peringkat negeri pada 24 April lalu, Najib mengambil alih pula jawatan pengerusi Umno Selangor.

"Jika kita masih ingat apa yang berlaku di Perak, maka kita juga boleh membuat kesimpulan bahawa Selangor adalah sasaran Najib seterusnya. Beliau berjanji akan merampas semula Selangor, dan beliau mungkin dapat melakukannya, " kata pensyarah antropologi dan sains sosial Universiti Malaya, Noor Sulastry Yurni Ahmad.


Berbeza dengan pergelutan di belakang tabir sebelum tumbangnya kerajaan Pakatan di Perak, Najib telah mengisytiharkan niatnya secara terbuka untuk 'merampas semula Selangor, ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kuala Selangor pada 9 Ogos lalu.

Kenyataan perdana menteri itu telah menimbulkan kegelisahan di kalangan pemimpin Pakatan dan masing-masing mengambil langkah untuk memastikan tiada wakil rakyat mereka melompat parti.

Namun, langkah tersebut mungkin sudah terlambat kerana ADUN Pelabuhan Klang dari PKR, Badrul Hisham Abdullah tidak dapat dikesan.


Sepertimana yang berlaku di Perak, ADUN terbabit pada kebiasaannya 'hilang' sebelum muncul semula untuk mengumumkan mereka telah keluar parti. Inilah yang berlaku dalam kes ADUN Perak - Jamaluddin Mohd Radzi, Osman Jailu, Hee Yit Foong dan Nasharuddin Hashim.

Dengan mengambilkira 'kehilangan' Badrul Hisham dalam kontak ini, nampaknya usaha untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Selangor mungkin sudah lama berjalan, walaupun Najib baru membuat pengumuman mengenainya beberapa minggu yang lalu.

Maka, janganlah goyang kaki dengan kemenangan yang ada. Khusus buat kepimpinan Ikatan Mahasiswa Selangor, teruskan perjuangan bersama kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor mempertahankan Islam di negeri Darul Ehsan ini.

Waallahu'alam

Saturday, August 22, 2009

Ghairahkanlah dunia untuk Islam

Apa khabar Ramadhan sahabat-sahabat semua setelah kita berpuasa 1 hari??

Mungkin ada yang baik, ada yang tidak...Yang pasti moga rahmat dan kasih sayang dari Allah S.W.T sentiasa menemani sahabat-sahabat semua.

Bercerita mengenai 1 Ramadhan semalam, Program Gerak Usahawan Siswa 2009 yang saya hadiri benar-benar membuka mata saya. Anjuran fakulti tempat saya menuntut ilmu bersama KFC Holding, AYAMAS dan beberapa syarikat lain.Program yang dipengarahkan oleh Dr Azizan Ahmad menghadirkan bakal-bakal jutawan setiap syarikat yang hadir.

Teruja mendengar En Romli Ishak, Pengarah Urusan, Granulab Sdn Bhd (syarikat Tulang Sintetik) membentangkan kertas kerja perkongsian pengalaman sebagai seorang usahawan yang berjaya. Bukan teruja disebabkan beliau adalah seorang usahawan, tetapi teruja kerana beliau adalah penggerak Islam yang sangat komited dengan perjuangan Islam sejak dari alam kampus dan kini adalah usahawan yang berjaya. Segala gerak kerja Islam pernah beliau lalui termasuklah demonstrasi, malah hampir dibuang universiti kerana ingin menegakkan kebenaran.

Tetapi siapa tahu, sekarang beliau adalah seorang yang berpangkat dan berkedudukan. Perniagaan beliau dimulakan dari kosong. Hanya meminta bantuan syarikat sahabat-sahabat beliau yang banyak duit. Akirnya, rezeki yang dikurniakan Allah banyak dapat diinfaqkan pada jalan perjuangan Islam. Subhanallah...

Berpersatuan memberikan banyak kelebihan kepada beliau dalam alam pekerjaan. Walaupun hanya mengambil kos pengajian Biologi tetapi beliau mampu memberi ceramah mengenai Tulang Sintetik (tulang ganti untuk pesakit-pesakit yang patah tulang) seperti seorang doktor. Masyarakat memandang tinggi pada beliau. Itulah yang diperlukan sebagai seorang penggerak Islam. Meng'izzahkan Islam dalam diri.

Mengingati sirah Saidatina Khadijah, yang cukup-cukup kaya sebagai seorang saudagar pedagang hingga mampu menginfaqkan seluruh hartanya untuk Islam.

"Perumpamaan orang yang mnginfaqkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui," Surah Al-Baqarah, ayat 261

Ghairahkanlah dunia untuk Islam. Bukan sekadar hanya cukup-cukup makan dalam berjuang. Biar cita-cita dunia kita melambung tinggi bahkan lebih dari itu untuk agama Allah.

Teringat usrah bersama k.hanisah bercerita mengenai graduan-graduan yang baru sahaja selesai konvokesyen. Duit yang ada kadang hanya cukup-cukup makan dan kadang tidak cukup untuk menghadiri program-program. Usrah kami mengambil iktibar tidak cukup hanya setakat semangat, idea-idea dan lain-lain untuk berjuang, malah perlu ada wang ringgit untuk mudah bergerak ke sana ke mari dan keperluan lain.



Biarlah kita menjadi seorang usahawan yang bertaqwa dan berjaya, mengambil dari sunnah Rasulullah S.A.W.

Hadith Riwayat Tarmizi:
"Sembilan persepuluh sumber rezeki (boleh diperolehi) melalui perniagaan"

Namun, awas semua!! Hanya iman dan taqwa yang mampu manjaga diri kita apabila berharta kerana antara ujian-ujian dunia yang ada salah satunya dari harta yang kita miliki. Jangankan apabila kita telah berharta, bolot segala rumah, kereta dan harta-harta lain hanya untuk kepentingan diri. Cukuplah segala harta yang ada untuk Islam.



Moga satu hari nanti, produk makanan yang saya cipta memasuki pasaran. Doa-doakan... InsyaAllah...

~Salam Ramadhan semua~

Monday, August 17, 2009

Takutlah seperti Umar wahai para pemimpin

Sebuah kisah seorang khalifah yang dikatakan oleh para ulama' sebagai khalifah kelima iaitu Umar b Abd Aziz walaupun pada masa itu khilafah islam keempat, Khilafah Turki Uthmaniyah telah jatuh. Beliau juga merupakan cicit kepada khalifah Islam yang kedua iaitu Umar Al-Khattab. Tegas beraninya semua orang tahu.

Tertarik dengan secebis kisah hidup Umar b Abd Aziz. Fatimah bt Abd Malik, isteri Umar b Abd Aziz , ditanya mengenai ibadah suaminya. Ia menjawab, "Demi Allah, dia bukanlah termasuk orang yang paling banyak solat dan puasanya. Tetapi, demi Allah, aku tidak melihat ada orang yang lebih takut kepada Allah melebihi takutnya Umar. Suatu waktu, dia berzikir kepada Allah di tempat tidurnya dan tiba-tiba dia menggigil seperti menggigilnya burung pipit kerana takutnya kepada Allah.



Sehingga aku (isteri Umar b Abd Aziz) berkata dalam hati, "Esok pagi, manusia akan bangun dari tidur tanpa memiliki khalifah kerana khalifahnya meninggal dunia disebabkan takutnya kepada Allah,"

Subhanallah...
Maha Suci Allah yang mengurniakan ketakutan pada Dia sebegitu rupa pada Umar b Abd Aziz yang menjadi khalifah selepas Khalifah Sulaiman b Abd Malik.

Cuba kita dengar pula kisah yang satu lagi. Kisah zaman kini yang diceritakan oleh bekas perdana menteri kita yang berwibawa dan berkredibiliti ini, Tun Dr Mahathir Mohamad.



--> "Apabila ada sesuatu kesalahan dilakukan, tidak dapat tidak rakyat akan dapat tahu... kita tidak boleh sembunyikan.

"Sebab itu kalau hendak jadi ahli politik ataupun pemimpin, jangan terlibat dengan benda-benda yang tidak baik," katanya.

Sehari selepas kenyataan Dr Mahathir itu, muncul pula berita dalam sebuah akhbar tempatan yang melaporkan calon Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir, Rohaizat Othman dipecat dari Majlis Peguam.

Prosiding pemecatannya dibuat di bawah Seksyen 103D Akta Akta Profession Guaman 1976. Seksyen tersebut melibatkan salah laku seseorang peguam.

"Kesalahan itu adalah tanggungannya sendiri dan tidak melibatkan orang lain kerana Rohaizat sendiri yang dinamakan oleh pihak pengadu dan bukan rakannya.

"Rohaizat dipecat pada 7 Mac tahun lalu dan beliau mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi berikutan keputusan Majlis Peguam itu, di mana mahkamah juga menolak rayuannya pada 12 Ogos tahun ini," akhbar The Edge semalam melaporkan kenyataan Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan.

Ragunath berkata, kesalahan yang dilakukan itu melibatkan wang pemegang amanah Koperasi Pekebun Getah dan tidak ada akaun untuknya.

"Apabila lembaga menyiasat perkara ini dan perintah dibuat, tidak dipulangkan kepada pemegang amanah melibatkan wang berjumlah RM140,000.

"Walaupun anda membayarnya, tetapi kesalahan telah dilakukan dan ia merupakan kesalahan yang serius kerana ia melibatkan transaksi dengan wang pelanggan.

"Jika anda tidak bersalah, anda tidak akan didapati bersalah oleh ahli jawatankuasa disiplin dan tuduhan di bawah Seksyen 103D sama seperti salah laku jenayah," katanya lagi.

Takutlah seperti Umar kalau hendak menjadi calon ADUN Permatang Pasir.

Itu secebis kisah dalam negara yang kita sayangi ini. Kita dengar pula kisah dari kampus UKM.

Baru sehari Pesta Konvo yang ke-37 berlalu. Cukup meriah dan gemilang sepertimana pesta tahun-tahun yang sebelumnya. Syabas diucapkan kepada Mohd Nasir b Mohd Nazri, Presiden PMUKM dan juga selaku Exco Konvokesyen dan Hubungan Alumni.



Beliau telah benar-benar mencipta nama atas penganjuran Pesta Konvo kali ini apabila tema PMUKM kali ini iaitu "Aspirasi Sepakat, Transformasi Gemilang" berjaya diraih.

Kenapa saya berkata begitu??

Sebab saya sangat tertarik apabila pres kita menjemput pelbagai artis negara kita untuk menggemakan Perbukitan Ilmu ini dengan 'suara-suara' mereka. Itulah TRANSFORMASI GEMILANG yang ahli jawatankuasa Pesta Konvo terbitkan demi membawa ASPIRASI SEPAKAT.

Tepuk dada, tanyalah imanmu wahai para pemimpin UKM!! Lakukan TRANFORMASI GEMILANG berdasarkan quran dan sunnah demi memartabatkan ASPIRASI UKM secara SEPAKAT.

Thursday, August 13, 2009

Kehidupan umpama pokok

Andai diperhatikan pada sebatang pokok...
Asalnya daripada biji benih yang kecil. Kemudian membesar menjadi sebatang pokok yang muda dan akhirnya matang apabila mencapai usia yang sepatutnya. Masa terus berputar dan akhirnya pokok tersebut mati apabila tempoh masanya berakhir dengan melihatnya ciri-ciri fizikalnya yang menjadi warna coklat.




Begitulah kehidupan manusia sebenarnya. Daripada kita lahir menjadi seorang bayi...membesar samada hanya menjadi seorang manusia atau menjadi seorang insan yang mukmin seperti termaktub dalam Al-Quran. Dan sampai satu masa, manusia itu mati apabila malaikat yang ditakuti itu datang..malaikat izrail.. Roh dijemput samada dalam keadaan baik ataupun buruk tidak kira masa hatta di atas katil.

Kita selalu takut mendengar kematian tetapi sejauh mana persiapan kita menghadapinya??fikir-fikirkan...

Tiga kematian orang terdekat dengan saya sepanjang minggu ini...

Pada hari selasa, luluh jantung apabila mendapat khabar berita daripada adik mohd nasai bin ab azais (adik ex-kmpk). Ibunya meninggal dunia setelah mendapat darah daripada seorang penderma. Tetapi ajal tetap ajal. Ibu nasa'i tetap kembali ke rahmatullah. Sebak rasanya kerana saya dapat rasa apa yang nasa'i alami cukup-cukup berat. Moga kesabaran sentiasa menjadi pendamping dan diberi kekuatan yang cukup-cukup utuh.

Pada keesokan harinya, hari rabu. Adik saya lagi seorang mendapat ujian yang sangat berat buat dirinya. Ayahnya baru meninggal dunia awal tahun lepas. Dan kini, pada hari rabu, ibunya juga kembali ke rahmatullah. Terkedu tidak terkata kerana adik muhammad asyraf b abd jamil (fpi/1) hilang kedua-duanya pada tahun yang sama. Minta kepada sahabat-sahabat yang ingin meringankan beban adik asyraf, boleh sumbangkan terus melalui tabung derma kilat ISIUKM.

Hari ini, khamis, satu lagi roh insan yang cukup-cukup banyak menyumbang pada Islam dalam bentuk hiburan nasyid kembali juga ke rahmatullah. Beliau adalah Ustaz Asri Ibrahim, vokalis kumpulan Rabbani. AL-FATIHAH. Terbayang-bayang bekerja bersama-sama beliau dalam Konsert Antara Dunia '09 anjuran GAMIS pada 1 Ogos yang lepas. Beliau cukup-cukup komited dalam perjuangan menegakkan Islam melalui hiburan. Moga Allah menerima amalan kita semua semasa di dunia ini.

Renungkanlah pokok-pokok di tepi jalan sewaktu berjalan-jalan samada berjalan kaki, menaiki motor atau kereta kerana di situ terdapat 1001 hikmah bahawa kehidupan manusia juga seperti pokok yang akan mati satu hari nanti...BERSIAPLAH!!