Pertama kali menjejakkan kaki di Pahang membawa sejuta rasa yang tidak ternilai. Bersama dengan kain-kain putih yang bersedia untuk dicorakkan. Melaksanakan harapan tinggi melangit daripada para ibu dan ayah.
Saya mendapat perkhabaran hujan emas ini sehari sebelumnya. Misi membantu jemaah. Namun, hakikatnya bukan hanya hujan emas, hujan permata, mutiara, dan segalanya saya kecapi. Bersama kanak-kanak cilik sekitar 8 hingga 13 tahun yang bersedia ditarbiyah dan mentarbiyah kakak ini juga.
Perkara biasa mengendalikan program sudah tentulah tentatif program dan modul.
“Susah jugak handle program budak-budak ni,”
“A’ah, sebab kita dah biasa handle program budak-budak jemaah,” saya mengiyakan pernyataan sahabat saya.
Maka, kami perlu menurunkan tahap pemikiran dan pemahaman pada adik-adik cilik ini. Memahami kesukaan dan kegemaran kanak-kanak adalah perkara mudah sebenarnya .Dan seterusnya, kita jalankan dengan bahan dan alatan yang ringkas dan mudah. Tidak perlu berfikir terlalu kritikal sepertimana mengendalikan program ahli jemaah.
Tetapi, tetap harus diingat, OBJEKTIF dan MISI tetap perlu jelas walaupun ‘main-main’ dengan budak-budak. Produk apa yang adik-adik ini akan ‘pakai’ kelak setelah program Kem Hafazan dan Ibadah Harian 2010 ini habis. Kerana inilah amanah dan harapan daripada ibu dan ayah mereka.
MANAGEMENT BY OBJECTIVE
Dengan suasana yang dingin dan damai Ma’ahad Tahfiz Al-Amin, rangka program disusun. Program yang hanya perlu disusun oleh kami hanyalah pada waktu petang dan malam selama dua minggu. Pada waktu pagi dan tengaharinya, adik-adik ini menghafal surah-surah dari Juz ‘Amma dan Surah Yassin. Saya sangat berasa rendah diri. Mengharapkan kehebatan adik-adik ini sedikit sebanyak terkena tempias.
Telatah adik-adik ini sangat mencuit hati. Kekadang baik, kekadang nakal, kekadang manja..sangat menghiburkan hati.
Pagi itu mereka perlu membuat menara menggunakan straw. Dengan hanya berbekalkan straw, selofan tape dan gunting, mereka perlu membina menara yang terkukuh dan tercantik.
Selama hampir 4 jam, adik-adik ini memerah otak bagi memenangi menara yang terkukuh dan tercantik. Setelah kesemuanya siap terbina, 8 kumpulan adik-adik muslimin dan 3 kumpulan adik-adik muslimat ini mempersembahkan rekacipta masing-masing. Pelbagai idea kreatif dan inovatif yang mereka persembahkan. Secara asasnya, kebanyakan kumpulan membina Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Kuala Lumpur. Namun, hasil persembahan mereka cukup hebat.
Suka untuk saya menceritakan persembahan juara yang memenangi. Nama yang diberikan pada menara kumpulan mereka adalah Menara Berkembar Ma’ahad Tahfiz Al-Amin. Model yang dibina dengan perancangan tahun 2020 bermula dan dijangka siap dalam kiraan 2035. Menara yang boleh memuatkan seramai 8,000 orang pelajar tahfiz dan 800 orang tenaga pengajar. Adik Syafiq membentangkan dengan penuh yakin dan berkarismatik, lagak seorang arkitek Islam suatu hari nanti.
MasyaAllah…hati saya berbisik andai menara ini benar-benar terbina suatu hari, tiada lagi kebatilan yang akan tertegak walau seinci di bumi Malaysia yang bertuah ini. Takbir!! Adik-adik ini terus sahaja melaungkan ALLAHUAKBAR!!
Pada hari terakhir kami di sana, adik-adik ini telah bersiap sedia mendaki Gunung Senyum. Namun sayang sekali, kami tidak dapat bersama mereka. Kami terpaksa pulang awal demi amanah yang lain.
“ Akak, janganlah balik lagi..jomlah pergi Gunung Senyum sekali ” nada merengek Fitrah memujuk.
“ Fitrah, akak ada kerja lain. Maaf ye dik.. nanti kita jumpa lagi” Fitrah memeluk sangat erat, seperti tidak mahu melepaskan pemergian saya.
Hati saya berbisik moga kita bertemu lagi di medan perjuangan sebenar. Mereka hebat, sangat hebat!! Sejuk hati melihat adik-adik.
Kolam mata saya berair. Mengharapkan suatu IMPIAN dan CITA-CITA menjadi kenyataan..
Demi AGAMAMU YA ALLAH..
~ Akak rindu Fitrah, Aisyah, Sabrina, Syafiqah dan lain-lain... ~
No comments:
Post a Comment