Monday, November 8, 2010

Tariklah Layang-layang dengan perlahan-lahan

Hati yang kotor hanya bermula dengan titik dosa. Begitulah yang dirasakan pada blog ini. Rasa ”berdosa” membiarkan ia terus bersawang tanpa dibersihkan dengan berkongsi apa yang ada.

Tertarik untuk saya berkongsi apa yang saya lalui. Mengajar dan mendidik kanak-kanak yang berusia 6, 8 dan 10 tahun bukanlah suatu perkara yang mudah.

Satu hari saya menerima sms daripada ayah kepada tiga beradik ini

”Salam, cikgu datang mengajar ke hari ni? Saya dan isteri nak keluar ke KL. Mungkin balik lewat sikit dan nak mintak cikgu jagakan kejap anak2 saya.”

Jawapan iya pasti diberikan. Tidak mungkin meninggalkan anak-anak kecil itu sendirian disamping dapat mendidik mereka lebih sedikit dengan masa tambahan yang ada.

Suka untuk saya bercerita, tiga beradik ini dilahirkan dalam keluarga yang serba lengkap. Ibunya seorang ahli perniagaan tudung yang berjaya dengan tiga cawangan yang telah dibangunkan. Ayahnya seorang jurutera di sebuah syarikat yang terkenal. Tiada apa yang kurang pada tiga beradik ini. Cukuplah hanya dengan merengek, pasti mereka dapat apa yang mereka mahukan. Dengan kata lain, mereka bertiga sangatlah manja.

Kebiasaannya, pasti anak murid yang akan mengikut kata guru mereka. Walaupun hanya sebagai guru tusyen, namun, dengan mereka, saya terpaksa melakukan hal yang sebaliknya.

Pernah suatu ketika menitis air mata ini apabila abang sulung tiga beradik ini menjauhkan diri daripada saya. Hanya kerana saya berkata, ”Daniel kena carefull baca setiap soalan dan jawapan. Baru boleh dapat fullmark”.

Saya cuba bertenang ketika itu. Perlahan-lahan, saya bertanya, ”Daniel tak suka teacher ajar ye? Kenapa?”

Dengan gaya sedikit takut dan duduk sedikit jauh daripada saya, dia berkata, ”Daniel tak suka teacher denda daniel.”

”Apa yang teacher denda?” Persoalan bermain diminda saya kerana saya tidak pernah memukul atau menjentik mereka sekalipun.

”Teacher denda cakap Daniel kena carefull

Ah, nampaknya ketegasan saya telah membuatkan Daniel menjauhkan diri daripada saya. Buntu saya dibuatnya dengan kemanjaan mereka. Maka, saya bertindak tidak mengajar Daniel pada hari itu, hanya mengajar dua adik perempuannya.

Nasihat bos saya, katanya,
Dengan mad’u, kita perlu bertindak seperti pemain layang-layang. Kalau layang-layang semakin jauh, tariklah ia perlahan-lahan. Jangan biarkan ia putus dengan berputus asa terhadap mereka bertiga. Anggaplah mereka sedang mentarbiyah kesabaran kita berdakwah.

Keesokan harinya, saya datang mengajar seperti biasa. Saya hanya tersenyum pada Daniel walaupun dia masih bertindak menjauhkan diri. Perlahan-lahan, saya mendekatkan diri dengan Daniel.

”Daniel dah makan?”

Dia hanya mengangguk. Saya kembali tersenyum.

”Daniel, teacher minta maaf ye,” Saya bersalam dengan Daniel dan dia mencium tangan.

Daniel tersenyum malu-malu. Pada hari itu, banyak sekali dia bercerita terutama mengenai dua adik perempuannya yang juga nakal dan manja.

Perkataan 'maaf' daripada orang dewasa pada seorang anak kecil cukup membuatkan mereka berasa dihargai.

Alhamdulillah...

“Layang-layang“ itu telah berjaya ditarik kembali.

No comments: