Tuesday, June 22, 2010

Denyutan Nadi Sebuah Perjuangan



“Jauh di sudut hati...diri ini amat dahagakan usrah”

Tersentak saya tatkala membacanya. Saban minggu yang kerap turun ke negeri kelahiran membuatkan saya lupa sebentar amanah di kampus. Sehingga adik-adik usrah yang disayangi turut dilupai.

Banyak yang ingin dikongsi bersama mereka, semetelah melalui liku-liku perjuangan dalam beberapa masa. Namun, apa yang kita lalui ini masih terlalu sedikit dibandingkan dengan Zainab Al-Ghazali, tokoh mujahidah Ikhwanul Muslimin, Dr Maryam Soleh, tokoh muslimat pejuang HAMAS. Tidak perlu jauh kita merenung. Cukup di dalam negara juga. Ustazah Nuridah Salleh, YB Dr Lo’ Lo’, Senator Mumtaz, YB Dr Halimah Ali, Dr Najihatussolehah dan ramai lagi. Semuanya menggamit semangat untuk terus istiqamah menegakkan daulah islamiyah di bumi Allah ini.

Beberapa minggu yang lepas turut menerima pesanan ringkas bertanyakan khabar usrah. Saya sering mengatakan usrah adalah nadi sebuah perjuangan. Namun, kini...

Refreshment perlu dijalankan semula. Taklifan tarbiyah sering menguji setiap kata-kata yang dilontarkan. Bukan sahaja hubungan dengan Allah yang perlu dijaga, malah hubungan dengan orang-orang di sekeliling kita terutama dengan ummi dan abah.

Denyut nadi taqwa kembali laju semula. Denyut nadi taqwa ini tidak boleh hanya sekadar berdenyut dalam diri, malah perlu dihembuskan ke dalam diri mereka yang kekeringan. Lantaran haus dan dahaga dengan kata-kata Allah.

Buku Cinta di Langit Gaza karya Ustaz Riduan Md Nor memberikan SESUATU. Begitu juga dengan program tarbiyah negeri kelahiran saya. Usul Dewan Muslimat di dalam Muktamar ke-56 yang menolak penubuhan Dewan Muslimat Muda memberikan anjakan paradigma.

Namun, bukan itu sahaja yang memberi taujihad. Ujian- ujian yang dilalui meninggalkan kesan di hati. Tidak pernah sesaat Allah meninggalkan diri kita. Malahan, turut diberi “penghargaan” dengan agena-agenda Dia yang diberikan bagi menegakkan agama Islam. Sungguh, Allah tidak pernah meninggalkan kita.

Berdiri dan berbual panjang bersama Puan Noraini Hussein, Timbalan Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor mengegarkan naluri perjuangan. Ah...insan di sebelah saya ketika itu sungguh hebat. Pesan terakhirnya supaya mencari teman hidup yang bersama-sama.

Kisah-kisah di bumi Gaza saya tatapi. Menitis air mata tatkala membacanya. Mereka sungguh hebat. Lantaran berjuang atas dasar taqwa. Kerana mereka berjuang bukan sekadar semangat, namun apa yang lebih penting, mereka sedar akan matlamat dan misi terakhir yang perlu terlaksana. Kalimah Allah perlu ditegakkan kembali, menyahkan keparat-keparat zionis israel dari bumi Palestin.

Jika dilihat kepada muslimat Palestin, mungkin bagai langit dan bumi apabila digandingkan dengan muslimat di Malaysia. Bibir-bibir mereka sentisa basah dengan ayat-ayat Allah, Al-Quran berada dalam hati kerana mereka menghafaznya. Mereka berbicara bersama dengan dalil. Terlalu indah tutur kata mereka. Hadith 40 berada di dalam genggaman.

Malahan, mereka membuang rasa cemburu untuk dimadukan oleh suami mereka. Kerana saban masa, ada sahaja anak-anak mereka yang syahid di jalan Allah. Bagi mereka, 5 orang anak yang mati syahid, maka 10 orang anak yang Allah akan gantikan ke dunia semula. Serasa ingin bersama mereka berjuang membebaskan bumi kiblat pertama itu.

Dada-dada akhbar dan perkembangan arus media semakin menghimpit perasaan. Gejala sosial dan kebejatan meruncingnya keadaan politik semakin meruntun nadi perjuangan. Nah...tanggungjawab dan amanah kita semakin bertambah. Daya pemikiran kritikal dan pengurusan juga perlu dipertingkatkan. Allahurobbi...cukuplah ALLAH bagiku.

No comments: