...Mentari pagi yang ALLAH hantar sentiasa membawa khabar gembira buat kamu...
Wednesday, March 17, 2010
Saat bahagia ketika Memberi
“Assalamu’alaikum ustzh, esok enti free x antra 8-9.30pg?”
“Wa’alaikumussalam, knape?ade ape?”
“Ana nk mntk tlg sgt ni. Dah x nmpk org lain selain enti yg dkt dgn kajang. Mcm ni, esk ade kem motivasi skola di Kem Isi Rimba, Kg Kemensah. Dkt dgn zoo negara. Ana nk mntk tlg bwk ank murid ana ke kem tu dr rumah die kt kjang. Mak ayh die hnya akn lpas kalu ada yg blh tlg bwk die dr rmah ke kem tu,”
Minda saya ligat berputar. Memikirkan esok adalah hari praktikal bekerja. Masakan boleh saya keluar sesuka hati. Namun, prinsip dalam diri salah satunya yang akan memberikan kebahagiaan adalah dengan MEMBERI. Maka saya terus bersetuju dengan permintaan seorang sahabat ini yang mengharapkan pertolongan saya untuk membawa anak muridnya ke Kem Isi Rimba, Kg Kemensah tersebut. Walaupun dalam hati memikirkan bagaimana untuk saya tolong dalam keadaan saya perlu masuk bekerja.
Petangnya, saya mendapat tahu ada beberapa amanah dan tanggungjawab sahabat saya yang lain tidak terpikul. Maka, saya menawarkan diri untuk membantu. Membantu dalam keadaan pastinya akan membantu jemaah dan diri saya juga dalam urusan kewangan. Namun, masih lagi risau kerana tiada kemahiran dalam urusan mengedit akaun-akaun. Niatlah dengan baik, pasti Allah akan membantu.
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada rasul-Nya, niscaya Allah memberikan rahmat-Nya kepadamu dua bahagian, dan menjadikan cahaya itu kamu dapat berjalan serta Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang,” ayat 28, Surah Al-Hadid.
Ditakdirkan Allah, ujian sakit datang keesokan harinya. Aduh...sudahlah telah berjanji hendak menolong dua sahabat saya pada hari tersebut. Berjanji membawa anak murid ke Kem Isi Rimba, Kg Kemensah dan urusan mengemaskini akaun-akaun yang berterabur.
Pagi terus berlalu tanpa sebarang bantuan yang dapat saya berikan. Sungguh kecewa dengan diri sendiri dan risau kerana tiada pemberian yang dapat diberikan.
Kerisauan yang bertambah mengagahkan diri sendiri untuk bangun bagi MEMBERI. Sungguh, teramat nikmat dan bahagia apabila kita MEMBERI tatkala orang lain dalam kesusahan mahupun dalam kesenangan.
Laptop terus dibuka bagi melaksanakan agenda menyusun dan mengemaskini akaun-akaun yang berterabur. Beberapa akaun yang tidak lengkap, tidak ada dan hilang menjadikan saya terus menghubungi mereka yang terbabit.
Jam yang menunjukkan pukul 12 tengahari menjadikan saya risau dengan janji saya yang satu lagi. Menghantar anak murid sahabat saya yang berada di dalam tingkatan lima. Message dihantar tanda meminta maaf atas kelewatan dan janji baru dimeteraikan untuk menghantar adik tersebut selepas zuhur.
Azan zuhur kedengaran menjadikan saya gelisah. Akaun-akaun masih lagi berterabur dan banyak yang tidak lengkap lagi. Sakit yang kejap-kejap datang lagi saya halau sejauh mungkin agar konsentrasi saya untuk MEMBERI tidak terganggu.
Selesai bersolat zuhur, saya terus menekan minyak bagi menyelesaikan misi MEMBERI yang kedua. Niat yang baik dan ikhlaskan diri itu sangat perlu dalam setiap perkara yang kita lakukan. Dengan izin Allah, misi kedua saya untuk MEMBERI berjaya tanpa sesat (sebab selalu sangat sesat tatkala memandu) ke mana-mana jalan yang salah. Alhamdulillah...
Tepat azan asar berkumandang, saya tiba di Bangi semula. Adik dari Kajang tadi selamat tiba di Kem Isi Rimba, Kg Kemensah. Banyak yang saya dapat setelah MEMBERI dari adik tersebut. Cita-citanya yang sangat tinggi demi mendaulatkan Islam di bumi Allah menjadikan saya kagum dengan adik tersebut. Iya, umurnya masih muda tetapi berjiwa besar seperti Sultan Muhammad Al-Fateh. Kerana ALLAH segalanya...demi ISLAM hendak diperjuangkan...
Sempat saya berkejar ke Pusat Kesihatan UKM bagi mendapatkan surat cuti sakit dan ubat. Destinasi terakhir adalah di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan. Merujuk kepada yang pakar bagi menyelesaikan baki akaun-akaun yang belum selesai. Sakit semakin menjadi-jadi apabila hari semakin petang. Akhirnya saya rebah setelah seharian menahan sakit.
Tautan ukhwah mampu berhadapan dengan sejuta mehnah. Ukhwah yang sebenar apabila kita bersama sahabat kita tika dalam kesusahan. Saat saya telah rebah, akhirnya ada sahabat yang menghulurkan sebungkus nasi bersama air dan ubat.
Sahabat saya ini membantu saya menyelesaikan sedikit lagi akaun-akaun yang belum habis diaudit. Maghrib yang berlalu saya habiskan masa untuk berehat dengan mengadap Ilahi. Kerana solat sebenarnya adalah waktu kerehatan seorang manusia. Seluruh jiwa, minda dan fizikal yang ditumpukan untuk tunduk kepada Allah sedang berehat tika bersolat.
Syukur yang teramat dipanjatkan kepada Ilahi. Jam yang menunjukkan 9.15 malam menyelesaikan dua misi saya untuk MEMBERI pada hari tersebut. Walau sakit yang datang, namun, erti bahagia MEMBERI lebih bermakna daripada segala-galanya telah saya rasai hari ini. Syukur hanya pada ALLAH...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
insyaAllah,Allah akan balas setiap pengorbanan yang enti lakukan..bersabarlah di atas ujian yg berlaku kerana di dalamnya ada perkara-perkara dan hikmah-hikmah yang tersendiri..enti terpilih untuk berada di situasi ini di saat orang lain masih lagi leka,alpa,mengisi masa lapang dengan perkara yang tak berfaedah..ana doakan enti terus gagah dan cekal menghadapi dugaan yang mendatang..insyaAllah.
Post a Comment