Rintihan seorang adik yang masih di tahun 1 saya dengari. Kagum dengan anak usrah sendiri apabila baru di tahun 1, sudah memegang portfolio tarbiyah. Portfolio yang agak berat kerana gerak kerjanya adalah sepanjang masa, bukannya bermusim.
“Susah bawa tarbiyah ni. Nampak macam usrah je walaupun skop tarbiyah besar sebenarnya. Tapi itu pun masih susah. Saya pun rasa tak yakin nak bawa. Belum masuk soal perkaderan lagi.” Keluhan dilepaskan dengan perasaan rendah diri.
“Erm..sebelum tu, sekarang ni setakat mana dah perjalanan usrah berjalan?” sengaja saya ingin membuka minda adik tersebut.
“Kalau diikutkan, ramai yang kata susah nak gerak. Alasan yang paling banyak sebab tak ada masa, banyak gerak kerja dan lain-lain. Kalau yang gerak pun, dua tiga kerat je.”
“Kalau yang tak gerak tu, memang tak patut sebenarnya. Tak ada alasan pun sebenarnya tak boleh gerak. Tapi, berdasarkan pengamatan akak, kalau yang gerak tu pun sebenarnya masih bermasalah.”
“Kenapa kata gitu plak kak?”
“Sebabnya yang gerak tu kebanyakannya ‘asal jalan’. Maksud akak, manhaj sebenar hidup sebagai seorang muslim tak diterapkan sebaiknya pada anak usrah masing-masing. Silibus tak diberi sebaiknya. Maksud akak ‘main redah je’ bila buat usrah. Maka, kita akan terus menerus hanya menghasilkan kuantiti berbanding kualiti. Kualiti tidak lagi menjadi fokus utama dalam perkaderan.”
“Tapi kak, ada yang cakap jadi macam ni sebab naqib dan naqibah yang tak yakin, tak cukup ilmu, rendah diri dan sebagainya.”
Saya termenung panjang. Hakikatnya memang susah kerana ‘ibu dan ayah’ nya sudah begitu. Maka, bagaimana hendak melahirkan ‘anak-anak’ yang lebih hebat.
Pulangnya, saya terpandang buku “30 Strategi Membina Pengaruh” karya Zamri Mohamad dan Haeqal Zulqarnain. Saya tertarik dengan kisah “Dua Muaz, Satu Pengaruh, Satu Keyakinan” yang sedikit sebanyak boleh digarap dalam menyelesaikan krisis naqib dan naqibah ini.
Pada suatu ketika dalam Perang Badar, Abdul Rahman bin Auf diapit oleh dua orang remaja iaitu Muaz bin Amru dan Muaz bin Afra’.
Muaz bin Amru berkata, “Wahai pakcik, adakah pakcik mengenali Abu Jahal? Saya mendapat tahu dialah yang paling banyak menyakiti Nabi Muhammad. Pakcik, tolong tunjukkan Abu Jahal kepada saya kerana saya mahu membunuhnya.”
Abdul Rahman terkejut mendengar soalan yang diajukan oleh remaja itu namun berjanji mahu menunjukkan Abu Jahal kepadanya.
Kemudian, Muaz bin Afra’ datang dan berbisik di telinganya, “Pakcik, adakah pakcik kenal Abu Jahal? Sekiranya pakcik kenal, tunjukkan kepada saya. Saya mahu membunuh Abu Jahal kerana saya dengar dia yang paling banyak menyakiti Nabi Muhammad.”
Pada ketika itu, Abdul Rahman mula berasa tenang berada di tengah dua orang remaja ini. Dia mula berasa yakin dengan mereka kerana kedua-duanya menunjukkan azam dan kesungguhan yang tinggi. Malah mereka berdua juga mensasarkan yang tinggi bagi dicapai iaitu membunuh Abu Jahal, ketua orang Quraisy dalam Perang Badar.
Apabila Abdul Rahman ternampak Abu Jahal yang sedang dikawal ketat oleh orangnya, dia segera memberitahu Muaz bin Amru dan Muaz bin Afra’.
Namun belum sempat dia habis bercakap, kedua-dua mereka sudah meluru ke arah Abu Jahal. Kedua-dua Muaz berlumba-lumba mahu membunuh Abu Jahal.
Mereka berdua merempuh barisan tentera Quraisy sambil mengayunkan pedang mereka ke kiri dan ke kanan. Orang yang berada di sekeliling Abu Jahal habis ditebas oleh mereka.
Kedua-duanya bersungguh memerangi musuh. Mereka memecahkan benteng musuh dan mencipta ruang dan peluang kepada orang lain menentang musuh.
Semua orang tidak menjangka serbuan tangkas yang dilakukan oleh dua orang remaja belasan umur ini. Mereka memukul Abu Jahal dengan pedang hingga dia terjatuh dan cedera parah. Ketika itu, datang Ikramah bin Abu Jahal untuk membantu ayahnya. Dia berjaya membunuh Muaz bin Afra’ yang sedang berada di tengah-tengah tentera Quraisy.
Muaz bin Amru digasak hebat hingga terpaksa berundur sambil memerangi tentera Quraisy. Sebelah tangannya terpotong tetapi masih tergantung pada badannya.
Akhirnya, dia berjaya juga berundur ke kawasan tentera Islam bagi mendapatkan rawatan. Sesudah tangannya dibalut, dia kembali semula ke medan tempur. Namun, tangannya yang hampir terputus itu menganggu pergerakannya.
Muaz bin Amru mengambil tindakan nekad. Dia memijak tangannya dengan kaki lalu terus memutuskannya bagi memudahkan pergerakannya.
Muaz bin Amru terus mara memerangi tentera Quraisy hingga akhirnya dia gugur di medan tempur. Muaz bin Amru dan Muaz bin Afra’, dua orang remaja yang baru berusia belasan tahun akhirnya terkorban dalam perang Badar. Namun hasrat mereka tercapai kerana ketua orang Quraisy, Abu Jahal juga turut menemui ajalnya di situ.
Mereka masih dalam belasan tahun namun dengan pengaruh yang mereka bawa, maka terhasilnya keyakinan dalam diri mereka bagi menentang Abu Jahal. Sungguh mengagumkan...
Berbalik kepada permasalahan usrah yang terjadi, pembawaan diri Muaz bin Amru dan Muaz bin Afra’ boleh digarap sebaik mungkin. Seorang naqib dan naqibah perlu membina pengaruh yang besar terhadap anak usrah mereka.
Pengaruh ini perlu dibina dengan keyakinan. Naqib dan naqibah perlu yakin dengan diri sendiri dalam pembawaan usrah. Yakinlah...
Keyakinan yang tumbuh akan mengasak diri sendiri untuk memahami silibus yang perlu dibawa dan manhaj kehidupan seorang muslim. Menggarap sebanyak mungkin ilmu dalam diri supaya banyak yang boleh diberi kepada anak usrah masing-masing.
Umpama bapak borek, anak rintik, anak usrah sendiri akan mencari lebih dalam aspek ilmu. Maka kualiti diri setiap dari kita akan bertambah dan terus bertambah.
Jangan tinggalkan semua andai tidak mampu sekalipun.
Kerana Usrah adalah Nadi Sebuah Perjuangan.
2 comments:
Perkongsian y bagus. Suka dgn pendpt "Hakikatnya memang susah kerana ‘ibu dan ayah’ nya sudah begitu. Maka, bagaimana hendak melahirkan ‘anak-anak’ yang lebih hebat". tapi, kalau sesorang itu dah sayangkan tarbiah, dia boleh cari sndiri apa y dirasakan sangat penting walaupn "parentsnya" x dapat memberikan y terbaik.
salam,
yup, persoalan yang selalu menjadi perbualan dan perbincangan ,, namun solusinya adalah jelas dalam kesamaran.. izinkan ana untuk mengcopykan pandangan dan perkongsian yg bernas ini pada sahabat dikampus kl ...
ibn khalid
"belajar memberi daripada menerima"
Post a Comment