Monday, February 15, 2010

Terketuk pintu hati

Fitrahnya setiap hati-hati itu pasti dahagakan sesuatu yang mengisi jiwanya. Hati yang tidak dahagakan iman dan ilmu pastinya hati tersebut telah mati. Mati daripada menerima sebarang bentuk cahaya yang boleh mewarnai hati itu semula dengan iman.

Usai bersolat zuhur, ummi mengajak saya menghadiri kelas agama atau usrahnya. Yang hadirnya terdiri daripada ibu-ibu. Hanya ada beberapa golongan anak-anak yang mengikut kelas tersebut.

Kebiasaannya, usrah ahli gerakan kadang saya melihat lebih menjurus kepada erti perjuangan, silibus ilmu harakah dan isu-isu semasa. Saya merasakn tersangat kurang menyentuh fardhu ain seseorang individu. Sebagai contohnya, ibadah-ibadah sunat, cara mencapai solat yang khusyuk dan sebagainya.

Hanya satu usrah gerakan yang saya hadiri menyentuh aspek solat, al-Quran dan beberapa perkara fardhu ain yang lain. Iaitu usrah bersama Ust Yahya Othman, namun tidak kesampaian mendengar dengan khusyuk kerana hati yang sedang berbolak-balik.

Berbalik kepada usrah yang saya ikuti bersama ummi, ustazah tersebut menyentuh beberapa perkara sunat yang boleh dilakukan semasa hari Jumaat. Antaranya berselawat ke atas nabi saw, membaca surah al-kahfi, mendengar khutbah jumaat, bersegera untuk menghadiri solat jumaat dan beberapa perkara yang lain.

Cara mencapai solat yang khusyuk juga turut diperingatkan oleh ustazah tersebut. Hati saya benar-benar terketuk. Kerana saya pasti ahli gerakan di luar sana tahu akan cara mencapai solat yang khusyuk. Tetapi apabila tidak di"panas"kan semula terutama ketika usrah, maka, kadang-kadang kita terlupa dan terleka.

Tidak mustahil di dalam solat pun, gerak kerja pun turut difikirkan kerana masih belum selesai atau risau progam tidak ramai orang dan lain-lain. Ini pastinya jika tidak disalurkan dengan baik, maka solat yang ingin kita dirikan tidak mencapai tahap khusyuk yang Allah kehendaki.

"Allah ini lagi rapat dengan kita sedekat dengan urat nadi," ustazah tersebut menambah.

Perkara yang ramai tahu tapi tidak ramai yang mampu melaksanakannya. Dengan maksud kata, setiap agenda, gerak kerja dan tingkahlaku kita dibayangi dengan rasa TAQWA yakni takut kepada Allah Taala.

Ingin saya mengajak diri saya terutamanya dan semua yang berusrah, berhalaqah atau apa sahaja bentuk pengisian, sedikit sebanyak perkara fardhu ain ini perlu disentuh walau dengan apa cara sekalipun. Kerana hanya dengan ini sahaja yang akan menjadikan dalaman atau iman seseorang itu kuat dan teguh untuk terus berjuang di muka bumi Allah.

1 comment:

Anonymous said...

Salutari, din Romania !