Monday, February 15, 2010

Panggilan si burung gagak

"Salam, tlg belikan telur jap," satu sms saya terima tatkala selesai melakukan amanah di Nilai.

Memandangkan masing-masing dalam keadaan lapar dan letih, maka destinasi ke pasar malam yang terletak berdekatan rumah menjadi pilihan. Tugas dibahagi-bahagikan di antara kami bertiga memandangkan waktu ketika itu sudah jam 6.45 petang kerana tidak mahu terlambat mengadap Pencipta pada waktu yang telah Dia tetapkan.

Saya terus berkejar bagi mengejar masa yang semakin suntuk. Berjalan membelah lautan orang ramai yang mencari keperluan tubuh untuk terus hidup di muka bumi Allah. Tidak kurang juga yang ingin memenuhi kehendak diri. Semuanya bergantung kepada didikan pada jiwa samada berpada-pada atau tidak dalam berbelanja.

Selesai mendapatkan keperluan dapur di rumah, saya berjalan perlahan-lahan memerhati orang dan alam sekeliling. Bunyi burung gagak sangat bising dan riuh rendah. Waktu itu, jam menunjukkan sudah 7.00 petang. Hati kecil saya berbisik. MasyaAllah...



Burung-burung ini pun tahu waktu untuk bersolat sudah tiba. Riuh burung-burung tersebut ingin mengajak lautan manusia yang masih sibuk membeli-belah supaya bersedia untuk "berhenti". Berhenti daripada terus bersandiwara dengan hawa nafsu yang tidak sudah-sudah menjerit ingin itu dan ini.

Burung-burung tersebut memberikan amaran kepada manusia-manusia di bawahnya supaya bersama-sama dengan mereka mengadap Ilahi dan berzikir kepada-Nya. Kerana nikmat yang diberikanNya terlalu banyak. Tidak terhitung setiap saat dan ketika.

Sungguh saya kata, bersyukurlah...
Kerana hidup yang hanya sementara...
Tetapi pelbagai nikmat yang diberikanNYA...
Lebih-lebih lagi dengan nikmat IMAN dan ISLAM yang kita peroleh...
Kerana dua nikmat ini terlalu sukar untuk digapai...

No comments: