Thursday, April 7, 2011

Muhasabah Cinta

Takut melihat orang-orang yang bersolat seperti ayam mematuk,

Risau melihat kanak-kanak yang tidak pandai lagi bersolat walaupun telah melepasi umur 7 tahun,

Apatah lagi orang dewasa yang tidak pandai bersolat,

Takut melihat orang yang bersolat tetapi tidak memenuhi rukun dan syarat sah dengan betul,

Belajarlah...

Selagi nyawa dikandung badan...

Lebih-lebih lagi solat para da'ie,

Sempurnakah??

Khusyukkah??

Tepuk dada, tanya iman...

Hanya dengan solat yang sempurna dan khusyuk mencegah kita dari kemungkaran.

Muhasabahlah CINTA sebenar kita setiap masa


Sedikit perkongsian penghayatan solat sebenar

Allahu Akbar
Allah Maha Besar

Doa Iftitah
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, Ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

Al-Fatihah

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

Bacaan Ketika Rukuk

Maha Suci TuhanKu Yang Maha Mulia dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika bangun dari rukuk

Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan ketika iktidal

Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.

Bacaan ketika sujud

Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud

Ya Allah, ampunilah daku, Rahmatilah daku, kayakan daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku hidayah, sihatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.

Bacaan ketika Tahiyat Awal

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.

Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya.

Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan ketika Tahiyat Akhir

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Doa Qunut

Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.

"wahai tuhan ku tak layak kesyurgamu ... namun tak pula aku sanggup keNerakamu... .kami lah hamba yang mengharap belas darimu ."ya allah jadikan lah kami hamba2 mu yang bertaqwa..ampunkan dosa2 kami .kedua ibubapa kami .dosa semua umat2 islam yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia"

Wednesday, March 23, 2011

Al Hubb Huna



Al-Hubb Huna

~ Love is always around ~

Tagline sebuah keluarga yang sangat penuh dengan kasih sayang. Seorang bos dan seorang manager yang telah berjaya membentuk syarikat mereka untuk dunia dan akhirat.

Nak tahu siapa? Kena baca sampai habis... :)

“Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang” (Al-Fatihah: 1)

Kalimah yang sentiasa berlegar di bibir kita sebagai orang Islam. Dimana sahaja dan tika waktu bila mana pun, kalimah ini disebut. Demi mengharapkan rahmat Allah SWT dalam setiap keadaan kebaikan yang kita lakukan.

Kasih sayang yang Allah tunjukkan bukan hanya pada orang Islam, tetapi juga pada orang bukan Islam menerusi sifat Ar-Rahman Nya. Dan pada orang yang beriman, kasih sayangnya lebih-lebih lagi melimpah ruah. Tiada apa yang kurang dalam setiap nafas, setiap detik dan dalam keadaan bagaimanapun. Sifat Ar-Rahim Nya datang membahagiakan semua hamba-Nya, hatta pada makhluk-makhluk lain juga.

Senangnya kita, Allah beri dan susahnya kita Allah, disisi. Pertamanya untuk kita renungi, kasih sayang Allah melebihi kemurkaanNya.

Dari Abu Hurairah RA berkata:
“Rasulullah SAW bersabda: “Setelah Allah menciptakan makhluq, Allah menulis dalam kitab-Nya yang berada disisi-Nya diatas ‘Arasy (Singgasana), “Sesungguhnya kasih sayang-Ku ialah mengalahkan (melebihi) kemurkaan-Ku.”

Malahan, kasih sayang Allah melebihi kasih sayang ibu kita terhadap diri kita sendiri.

Dari Umar bin Khattab RA berkata:
“Bahwa ia datang menghadap Rasulullah SAW dengan membawa beberapa orang tawanan. Di antara para tawanan itu terlihat seorang wanita sedang mencari-cari, lalu ketika ia mendapatkan seorang anak di antara tawanan dia langsung mengambil anak itu lalu memeluknya ke perut untuk disusui. Lalu Rasulullah SAW berkata kepada kami: Bagaimana pendapat kamu sekalian, apakah wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api? Kami menjawab: Tidak, demi Allah, kalau dia bisa untuk tidak melemparnya. Rasulullah SAW bersabda: Sungguh Allah lebih mengasihi hamba-Nya daripada wanita ini terhadap anaknya.”

Subhanaallah…tiada apa yang perlu digusarkan dalam diri kita sendiri.

Berbalik kepada cerita…

Al-Hubb Huna

~Love is always around~

Saya mengenali manager syarikat ini terlebih dahulu sebelum mengenali tagline syarikat ini. Beliau juga merangkap naqibah usrah Nisa' Shah Alam. Selama dua jam setengah saya habiskan berusrah bersama manager syarikat ini. Hampir tiga perempat kisah turun bangun syarikat ini saya dengar. Corak yang dibentuknya, rutin yang dilakukannya, praktikalnya dan nasihatnya kepada semua bakal bos dan manager sebuah syarikat.

Tidak terkata apabila saya mendengarnya.

Sangat kagum…

Syahdu…

Dan saya yakin sesiapa yang bakal menjadi bos dan manager pasti mahu mempunyai syarikat seperti mereka. Anak-anak buah bos dan manager ini berjaya menjadi daie dalam setiap bidang mereka. Bukan sahaja anak-anak buah, malahan, seluruh syarikat ini.

Kunci kejayaan dan syarat mereka cukup mudah.

Apabila Allah SWT matlamat utama.

Bos dan manager mengutamakan DAKWAH.

Dan yang terpentingnya juga, kasih sayang yang benar-benar mengalir dalam syarikat ini. Dan peranan ini banyak dimainkan oleh manager syarikat. Kasih sayang yang mengalir inilah menguatkan mereka antara satu sama lain dan memberikan kejayaan pada mereka dalam setiap bidang terutama keutamaan dakwah mereka.

Pasti ternanti-nanti apakah yang saya maksudkan disebalik semua ini.

Sebuah syarikat – Sebuah keluarga dengan nama diberi Seven Wayfarers (Tujuh Musafir)

Bos syarikat – YB Dr Dzulkefly Ahmad

Manager syarikat – Isterinya, Ibu Azlin Hezri

Anak-anak buahnya – Seramai tujuh orang, 4 anak lelaki dan 3 anak perempuan

Seluruh syarikat – keenam-enam menantu mereka (anak bongsu baru berusia 14 tahun) dan cucu-cucu mereka

Itulah keluarga dakwah mereka.

~ Love is always around ~

Monday, March 7, 2011

Nukilan Buat Ummi & Abah

Melangkah ke UKM membuatkan ummi dan abah bangga
Aku mahu membanggakan ummi dan abah
Mencapai keputusan peperiksaan yang cemerlang
Dan mendapat kerja dengan gaji yang membahagiakan ummi dan abah

Setelah beberapa bulan melangkah ke UKM
Aku belajar sesuatu
Erti membahagiakan ummi dan abah yang sebenar
Membahagiakan dengan ‘menghantar’ mereka ke syurga Allah kelak
Menginfaqkan kuda hijau ke sana ke mari demi perjuangan Islam
Itu semua titik peluh ummi dan abah.

Sampai ke tahun tiga pengajian
Aku masih belum berjaya membahagiakan ummi dan abah
Dengan kehendak mereka
Mendapat keputusan akademik yang warna warni

Dan kini tahun empat
Aku membuat keputusan untuk melanjutkan tahun pengajian
Demi ilmu penyuluh cahaya
Tetapi rupanya ummi dan abah kecewa
Kerana aku tidak dapat terus bekerja selepas ini

Ummi
Abah
Aku mungkin tidak membahagiakan ummi dan abah di dunia yang fana ini
Dengan pencapaian akademik
Namun, doaku tidak pernah putus
Mengharapkan Allah menerima ummi dan abah
Sebagai penghuni syurga kelak
Kerana melahirkan diriku ke dunia
Membesarkan diriku
Untuk menjadi Mujahidah Setia



~ Fifah sangattt sayang ummi dan abah~ ;-)

Saturday, December 18, 2010

Roh Juang Kain-kain Putih

Pertama kali menjejakkan kaki di Pahang membawa sejuta rasa yang tidak ternilai. Bersama dengan kain-kain putih yang bersedia untuk dicorakkan. Melaksanakan harapan tinggi melangit daripada para ibu dan ayah.

Saya mendapat perkhabaran hujan emas ini sehari sebelumnya. Misi membantu jemaah. Namun, hakikatnya bukan hanya hujan emas, hujan permata, mutiara, dan segalanya saya kecapi. Bersama kanak-kanak cilik sekitar 8 hingga 13 tahun yang bersedia ditarbiyah dan mentarbiyah kakak ini juga.

Perkara biasa mengendalikan program sudah tentulah tentatif program dan modul.

“Susah jugak handle program budak-budak ni,”

“A’ah, sebab kita dah biasa handle program budak-budak jemaah,” saya mengiyakan pernyataan sahabat saya.

Maka, kami perlu menurunkan tahap pemikiran dan pemahaman pada adik-adik cilik ini. Memahami kesukaan dan kegemaran kanak-kanak adalah perkara mudah sebenarnya .Dan seterusnya, kita jalankan dengan bahan dan alatan yang ringkas dan mudah. Tidak perlu berfikir terlalu kritikal sepertimana mengendalikan program ahli jemaah.

Tetapi, tetap harus diingat, OBJEKTIF dan MISI tetap perlu jelas walaupun ‘main-main’ dengan budak-budak. Produk apa yang adik-adik ini akan ‘pakai’ kelak setelah program Kem Hafazan dan Ibadah Harian 2010 ini habis. Kerana inilah amanah dan harapan daripada ibu dan ayah mereka.

MANAGEMENT BY OBJECTIVE


Dengan suasana yang dingin dan damai Ma’ahad Tahfiz Al-Amin, rangka program disusun. Program yang hanya perlu disusun oleh kami hanyalah pada waktu petang dan malam selama dua minggu. Pada waktu pagi dan tengaharinya, adik-adik ini menghafal surah-surah dari Juz ‘Amma dan Surah Yassin. Saya sangat berasa rendah diri. Mengharapkan kehebatan adik-adik ini sedikit sebanyak terkena tempias.



Telatah adik-adik ini sangat mencuit hati. Kekadang baik, kekadang nakal, kekadang manja..sangat menghiburkan hati.

Pagi itu mereka perlu membuat menara menggunakan straw. Dengan hanya berbekalkan straw, selofan tape dan gunting, mereka perlu membina menara yang terkukuh dan tercantik.

Selama hampir 4 jam, adik-adik ini memerah otak bagi memenangi menara yang terkukuh dan tercantik. Setelah kesemuanya siap terbina, 8 kumpulan adik-adik muslimin dan 3 kumpulan adik-adik muslimat ini mempersembahkan rekacipta masing-masing. Pelbagai idea kreatif dan inovatif yang mereka persembahkan. Secara asasnya, kebanyakan kumpulan membina Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Kuala Lumpur. Namun, hasil persembahan mereka cukup hebat.

Suka untuk saya menceritakan persembahan juara yang memenangi. Nama yang diberikan pada menara kumpulan mereka adalah Menara Berkembar Ma’ahad Tahfiz Al-Amin. Model yang dibina dengan perancangan tahun 2020 bermula dan dijangka siap dalam kiraan 2035. Menara yang boleh memuatkan seramai 8,000 orang pelajar tahfiz dan 800 orang tenaga pengajar. Adik Syafiq membentangkan dengan penuh yakin dan berkarismatik, lagak seorang arkitek Islam suatu hari nanti.

MasyaAllah…hati saya berbisik andai menara ini benar-benar terbina suatu hari, tiada lagi kebatilan yang akan tertegak walau seinci di bumi Malaysia yang bertuah ini. Takbir!! Adik-adik ini terus sahaja melaungkan ALLAHUAKBAR!!

Pada hari terakhir kami di sana, adik-adik ini telah bersiap sedia mendaki Gunung Senyum. Namun sayang sekali, kami tidak dapat bersama mereka. Kami terpaksa pulang awal demi amanah yang lain.

“ Akak, janganlah balik lagi..jomlah pergi Gunung Senyum sekali ” nada merengek Fitrah memujuk.

“ Fitrah, akak ada kerja lain. Maaf ye dik.. nanti kita jumpa lagi” Fitrah memeluk sangat erat, seperti tidak mahu melepaskan pemergian saya.

Hati saya berbisik moga kita bertemu lagi di medan perjuangan sebenar. Mereka hebat, sangat hebat!! Sejuk hati melihat adik-adik.

Kolam mata saya berair. Mengharapkan suatu IMPIAN dan CITA-CITA menjadi kenyataan..

Demi AGAMAMU YA ALLAH..

~ Akak rindu Fitrah, Aisyah, Sabrina, Syafiqah dan lain-lain... ~

Monday, November 8, 2010

Tariklah Layang-layang dengan perlahan-lahan

Hati yang kotor hanya bermula dengan titik dosa. Begitulah yang dirasakan pada blog ini. Rasa ”berdosa” membiarkan ia terus bersawang tanpa dibersihkan dengan berkongsi apa yang ada.

Tertarik untuk saya berkongsi apa yang saya lalui. Mengajar dan mendidik kanak-kanak yang berusia 6, 8 dan 10 tahun bukanlah suatu perkara yang mudah.

Satu hari saya menerima sms daripada ayah kepada tiga beradik ini

”Salam, cikgu datang mengajar ke hari ni? Saya dan isteri nak keluar ke KL. Mungkin balik lewat sikit dan nak mintak cikgu jagakan kejap anak2 saya.”

Jawapan iya pasti diberikan. Tidak mungkin meninggalkan anak-anak kecil itu sendirian disamping dapat mendidik mereka lebih sedikit dengan masa tambahan yang ada.

Suka untuk saya bercerita, tiga beradik ini dilahirkan dalam keluarga yang serba lengkap. Ibunya seorang ahli perniagaan tudung yang berjaya dengan tiga cawangan yang telah dibangunkan. Ayahnya seorang jurutera di sebuah syarikat yang terkenal. Tiada apa yang kurang pada tiga beradik ini. Cukuplah hanya dengan merengek, pasti mereka dapat apa yang mereka mahukan. Dengan kata lain, mereka bertiga sangatlah manja.

Kebiasaannya, pasti anak murid yang akan mengikut kata guru mereka. Walaupun hanya sebagai guru tusyen, namun, dengan mereka, saya terpaksa melakukan hal yang sebaliknya.

Pernah suatu ketika menitis air mata ini apabila abang sulung tiga beradik ini menjauhkan diri daripada saya. Hanya kerana saya berkata, ”Daniel kena carefull baca setiap soalan dan jawapan. Baru boleh dapat fullmark”.

Saya cuba bertenang ketika itu. Perlahan-lahan, saya bertanya, ”Daniel tak suka teacher ajar ye? Kenapa?”

Dengan gaya sedikit takut dan duduk sedikit jauh daripada saya, dia berkata, ”Daniel tak suka teacher denda daniel.”

”Apa yang teacher denda?” Persoalan bermain diminda saya kerana saya tidak pernah memukul atau menjentik mereka sekalipun.

”Teacher denda cakap Daniel kena carefull”

Ah, nampaknya ketegasan saya telah membuatkan Daniel menjauhkan diri daripada saya. Buntu saya dibuatnya dengan kemanjaan mereka. Maka, saya bertindak tidak mengajar Daniel pada hari itu, hanya mengajar dua adik perempuannya.

Nasihat bos saya, katanya,
Dengan mad’u, kita perlu bertindak seperti pemain layang-layang. Kalau layang-layang semakin jauh, tariklah ia perlahan-lahan. Jangan biarkan ia putus dengan berputus asa terhadap mereka bertiga. Anggaplah mereka sedang mentarbiyah kesabaran kita berdakwah.

Keesokan harinya, saya datang mengajar seperti biasa. Saya hanya tersenyum pada Daniel walaupun dia masih bertindak menjauhkan diri. Perlahan-lahan, saya mendekatkan diri dengan Daniel.

”Daniel dah makan?”

Dia hanya mengangguk. Saya kembali tersenyum.

”Daniel, teacher minta maaf ye,” Saya bersalam dengan Daniel dan dia mencium tangan.

Daniel tersenyum malu-malu. Pada hari itu, banyak sekali dia bercerita terutama mengenai dua adik perempuannya yang juga nakal dan manja.

Perkataan 'maaf' daripada orang dewasa pada seorang anak kecil cukup membuatkan mereka berasa dihargai.

Alhamdulillah...

“Layang-layang“ itu telah berjaya ditarik kembali.

Saturday, July 24, 2010

Bendera Kemenangan Dengan Menekan Brek

“Ish...kenapalah akak ni buat lambat??” hati saya membentak-bentak tanda protes dengan keterlupaan kakak cafe menyiapkan makanan bagi suatu program.

Jam menunjukkan pukul 6.15 petang. Namun, bihun goreng yang ditempah belum mula dimasak lagi.

“Akak lupa sangat order ni...hari ni kelam kabut sikit.” Alasan ‘lupa’ kakak cafe itu berikan. Muka saya mencuka.

Program dijadualkan tamat pada pukul 6.30 petang tetapi makanan yang ditempah belum lagi siap. Hati saya menjadi gusar dan gelisah.

Telefon berdering, ajk program menelefon bertanyakan perihal makanan untuk jamuan meraikan sahabat-sahabat yang telah berjaya menjayakan program Dinner dengan baik.

Syabas dan tahniah kepada sahabat-sahabat UPTA!

“Kejap ye dik...15 minit bihun siap kita goreng” Kakak cafe tersebut terus mengarahkan pekerjanya masak. Seperti yang dijanjikan, bihun siap digoreng dalam tempoh 15 minit.

“Kak, kita mintak diskaun bihun ni...mesti cincai-cincai je dia masak” saya membisikkan sesuatu kepada sahabat yang menemankan saya mengambil bihun tersebut.

“Cubalah...” sahabat saya juga agak marah, namun tidak berani hendak tegur kakak tersebut kerana negeri Kelantan. Hebat sungguh ukhwah orang-orang Kelantan ini walaupun tidak rapat mana.

Dengan suara yang agak hambar, saya cuba meminta diskaun. Namun, ditolak. Bihun goreng yang sudah siap itu juga saya perhati.

“Erm...macam sedap jugak” hati agak mengakui ketangkasan pekerjanya memasak.



Bihun goreng tersebut terus dimasukkan ke dalam perut ‘kuda hijau’ saya. Tangan dan kaki saya pantas mengerakkan kuda hijau yang banyak berbakti ini. Sambil kaki menekan minyak, mulut saya membebel di hadapan sahabat saya.

“Ish...geram betul...dah lah lambat...ada dia minta maaf ke tadi kak??geram saya dengan orang macam ni..Kan kita dah lambat...”

Tiba di suatu simpang, kaki saya dengan lajunya terus menekan minyak walaupun saya sepatutnya berhenti sebentar kerana berada di simpang. Ada kereta yang sedang laju memecut.

“Fifah....” sahabat saya menjerit.

Dengan tidak semena-mena, saya terus menekan brek secara mengejut. Bihun goreng di bahagian belakang kereta tercampak. Ada sedikit yang tumpah pada kereta saya.

Kalimah istighfar terus bermain di bibir. Astarghfirallah...

Saya terus terdiam. Tidak tahu apa akan jadi jika kaki saya tidak menekan brek pada masa itu. Saya terus memberhentikan kereta di tepi jalan bagi mengangkat bihun goreng yang tercampak tersebut. Hati saya terus beristighfar. Kesal dengan tindakan saya yang membiarkan emosi marah menguasai sehingga menyebabkan ada bihun goreng yang terbazir lantaran tumpah.

“Akak teringat ada seorang ustaz di Annur yang cerita pasal emosi marah ni...”

Selepas itu, kami berusrah di dalam kereta berkenaan akibat emosi marah yang berterusan, sambil mengingat semula cerita seorang ustaz di Surau An-Nur, surau kegemaran para penduduk bangi termasuk para mahasiswa UKM.

Usrah di dalam Kereta

Seorang ayah yang sedang mengambil sarapan pagi. Sedang rancak ayah, ibu dan anak mereka berbual, tiba-tiba anak mereka tertumpahkan air kopi di atas baju kemeja kerja ayahnya. Dalam masa yang sama, ayah anak tersebut sedang mengejar masa waktu pejabat yang bermula tepat jam 8.15 pagi.

Dua situasi kemungkinan yang akan terjadi:-

Situasi pertama

Si ayah menjadi marah-marah. Siapa lagi kalau bukan anaknya yang menjadi sasaran. Hamburan kemarahan terus dimuntahkan sewaktu didalam kereta bagi menghantar anaknya ke sekolah. Maka, dengan muka yang mencuka dan hati yang kelat dek kerana marahnya ayah, mood anaknya ke sekolah pada pagi hari tersebut menjadi tidak baik. Rasa tidak seronok belajar. Segala yang dibelajar tidak dapat difokus.

Selepas menghantar anaknya, si ayah pula memanggil isterinya sambil meminta baju kemeja yang lain untuk ditukar. Tiba-tiba isterinya berkata baju kemeja yang lain belum digosok lagi.

“Awak ni...itu pun nak kena saya ajar...lain kali gosoklah semua awal-awal. Ni saya dah lambat...nanti gaji saya yang kena potong...lepas tu, nak makan apa kita??”. Si isteri menggosok baju kemeja yang lain dengan ala kadar sahaja dek kerana dimarahi oleh suaminya. Muncung si isteri juga panjang.

Marah si suami berterusan sehingga ke pejabat. Mangsa seterusnya adalah pekerja bawahan.

Kesimpulannya, hari tersebut menjadi mendung gelap gelita. Dek kerana secawan kopi yang tumpah pada baju kemeja.



Situasi kedua

Rasa marah dan gelisah hadir lantaran akan lambat hadir ke pejabat. Namun si ayah tenang sambil mengucap istighfar. Isterinya dipanggil dengan baik.

“Ayang, tolong gosokkan baju kemeja abang yang lain. Baju yang ni dah kotor tumpah air kopi ni. Nanti abang bagi hadiah special untuk ayang...” sambil mengenyit mata, si suami cuba mengambil hati si isteri. Si isteri terus berlalu menggosokkan baju kemeja yang lain sambil tersenyum.

Lalu anaknya yang nak ke sekolah dihantarnya dulu oleh si ayah, walaupun dengan masih berpakaian kemeja yang kotor tadi. Sambil di dalam kereta, si ayah menasihatkan anaknya yang telah menumpahkan air kopi pada bajunya. Anaknya menerima nasihat ayahnya dengan baik. Sebelum anaknya melangkah keluar dari kereta, ayahnya mencium si anak sambil memberikan motivasi kepada anaknya supaya belajar bersungguh-sungguh untuk Islam.

Si ayah bergegas pulang ke rumah semula kerana ingin menukar kemeja yang kotor tadi. Si isteri melaksanakan arahan suaminya dengan bersungguh-sungguh. Kemeja yang lain telah digosok dengan licin, lalu si ayah menukar kemejanya.

Sebelum bergegas melangkah keluar, si isteri mencium tangan dan berpesan kepada suaminya supaya bekerja untuk Islam. Suaminya menunaikan janji untuk memberikan hadiah istimewa dengan mencium dahi isterinya. Hati si isteri terasa sangat bahagia.

Sampai di pejabat, dengan hati yang berdebar, si ayah terus melangkah ke bilik ketuanya, ekoran lewat tiba di pejabat. Dia meminta maaf atas kelewatannya tiba di pejabat. Dengan rahmat Allah, ketuanya berkata,

“Tidak apa...saya tahu awak pekerja yang baik...lagipun awak lewat bukan dengan sengaja...saya maafkan. Ni gaji awak untuk bulan ini.” Sambil tersenyum, ketuanya memaafkan dan menghulurkan slip gaji pada bulan tersebut.

Sebahagian kecil gajinya terus dibelanjakan untuk para pekerja bawahannya yang kurang berkemampuan. Para pekerja bawahannya juga terasa sangat bahagia.

Kesimpulannya, hari tersebut umpama Secerah Mentari Pagi.

Tenang dan sabarlah selalu wahai hati-hati sekalian, nescaya KEJAYAAN milik kita semua.

Tekanlah brek ketika emosi cuba menguasai diri. Ketika itu, terserlahlah kita sebagai Pemimpin sebenar terhadap diri dan orang-orang sekeliling.