Sunday, November 1, 2009

Antara Mahu dan Malu dalam Menulis

Umpama barang perhiasan yang berharga. Andai tidak digilap dan dibersihkan, maka berhabuklah ia. Kemungkinan boleh berlaku kerosakan.

Maka, sebenarnya setiap diri dari kita mempunyai bakat menulis tidak kira berbentuk ilmiah, luahan perasaan atau berbentuk kreatif. Andai terus digilap bakat tersebut, maka bersinarlah penulisan kita sebagai salah satu medium dakwah, tarbiyah atau siasah.

Separuh hari yang berlalu semalam bersama Kak Ummi Hani Abu Hassan atau nama penanya Ummu Hani Abu Hassan memberikan pelbagai input dan message dalam bidang penulisan. Terlalu teruja saya ingin mengeluarkan segala input untuk dijadikan output kepada pembaca blog saya yang tidak seberapa ini. Tambahan pula, tuan presiden begitu kuat membuat provokasi terhadap saya supaya menulis. Maka, cabarannya saya sahut.

Biar saya mulakan dengan sedikit latar belakang info mengenai pengarang Ummu Hani Abu Hassan. Anak sulung daripada 11 orang adik-beradik kepada penulis terkenal, Abu Hassan Morad. Beliau telah menghasilkan 5 buah novel karya kreatif dan lebih 40 buah cerpen dan artikel berbentuk ilmiah yang banyak disiarkan di dalam media-media akhbar dan majalah.

Pernah menjadi wartawan kepada Majalah Anis selama setahun sewaktu belajar di Universiti Malaya dalam bidang pengajian dakwah(major) dan media (minor). Sekarang sedang mengikuti mengambil ijazah sarjana dalam bidang usuluddin di UM disamping menjadi wartawan sambilan di Galeri Ilmu Sdn. Bhd. dan penerbit/penulis di AMN Publication Enterprise. Cukup sekadar itu saya menceritakan mengenai beliau.

Boleh layari http://ummuhani.com untuk maklumat lanjut mengenai penceramah.

Bidang penulisan sebenarnya untuk lebih kita nampak adalah terbahagi kepada dua iaitu penulisan kreatif dan penulisan ilmiah. Saya pasti penulisan kreatif ini biasanya sinonim dengan golongan wanita dan penulisan ilmiah ini sinonim dengan golongan lelaki.

Saya melihat penulisan kreatif ini perlukan kepada imaginasi yang tinggi dan ruang lingkupnya meliputi aspek nilai dakwah dan tarbiyah. Manakala, penulisan ilmiah lebih kepada nilai siasah, namun masih boleh dimasukkan aspek nilai dakwah dan tarbiyah.

Penulisan yang baik

Penulis yang baik adalah yang banyak membaca dan banyak menulis. Kalau dengan hanya banyak membaca juga akan boleh diasah bakat menulis yang terpendam. Suka saya katakan, jangan jadikan penulisan kita seperti diari harian. Ini adalah kerana ia kurang memberi input pada masyarakat. Dalam erti hidup pada memberi, biarkan penulisan kita ada unsur nasihat, boleh sedarkan dan fahamkan masyarakat tentang sesuatu.

Bagi penulisan ilmiah, saya gariskan kepada 5 W dan 1 H yang perlu ada dalam penulisan kita. Fakta yang diperolehi perlu betul, tepat dan sahih. Ini boleh diperolehi daripada media massa, akhbar atau go to the right person (interview). Jangan sekali-kali kita tersilap fakta dalam menulis kerana boleh membuatkan penulisan menjadi cacat, orang marah atau yang lebih buruk, kita boleh disaman.

"Hai orang-orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa satu berita, periksalah dengan teliti, agar kamu menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaan yang menyebabkan kamu menyesali perbuatanmu." Al-Hujurat:6

Tidak tahu nak mula dari mana?



Yang pasti permulaan sebelum menulis perlukan cukup maklumat diperoleh. Dalam ingin menaip atau menggerakkan mata pena, tiba-tiba terasa tidak tahu hendak mula dari mana kerana tidak pernah menulis sebelum ini. Maka, penyelesaiannya adalah seperti seorang pelajar sekolah Tahun 3.

Kenapa saya berkata begitu? Sewaktu kita berada didalam tahun 3, kita telah ada subjek Bahasa Malaysia (Penulisan). Cikgu-cikgu di sekolah pastinya mengajar kita bagaimana membuat karangan yang baik. Antara permulaan sebelum membuat karangan, rangkakan isi-isi yang ingin dimasukkan. Kalau sudah ada rangka yang baik, boleh dimulakan dengan membuat intro. Dan akhirnya, setelah intro yang baik sudah ada, penulis boleh terus kembangkan isi-isi yang ada untuk menjadi badan yang cantik.

Mudahkan, mudahkan, mudahkan...

Kita menulis untuk orang membca. Jadi, seharusnya mudahkan orang tahu apa yang kita hendak cerita dari intro sampai kepada penutup. Segala ejaan, tanda bacaan dan binaan ayat perlu diperhatikan semula lagi-lagi penulisan seorang mahasiswa. Periksa semula supaya ianya berkualiti. Gunakan ayat yang pendek dan mudah untuk dibaca.

Apabila membuat suatu pernyataan, perlulah disokong kenyataan itu dengan bukti dan pengukuhan. Sampaikan sahaja penulisan kita berdasarkan versi diri kita. Cantikkan flow ayat yang ditulis atau dengan kata lain linkkan satu perenggan dengan perenggan yang lain dengan baik.

Untuk lebih baik, gambar-gambar boleh dimasukkan berserta dengan caption di bawah untuk memudahkan pembaca menganalisa pembacaan kita.

Kesimpulannya?

Ingin menjadi penulis yang hebat, perlu ada rasa MAHU dan BERANI. Kerana kalau tidak disertakan rasa berani disebalik kemahuan kita ingin menulis, maka MAHU itu akan runtuh dek kerana malu untuk menulis memberikan sesuatu kepada masyarakat. Jadikan penulisan kita sebagai salah satu medium dakwah.




Itulah antara yang saya dan bersama beberapa orang sahabat peroleh di dalam bengkel penulisan tersebut disamping pelbagai kisah masyarakat di sekeliling yang dicedok oleh Kak Ummu diceritakan kepada kami.

Sungguh, masyarakat kita terlalu sakit!
Menulislah untuk memberi sesuatu kepada mereka.
Sampaikanlah walau sepotong ayat...

Saturday, October 31, 2009

Sistem Huruf kepada Nombor bagi lepasan SPM

Ketika kecil-kecil dulu, sistem pemarkahan ujian atau peperiksaan bermula dari zaman tadika lagi lebih kepada huruf. Kanak-kanak suka kalau di kertas peperiksaannya, ada huruf A ataupun A+++. Ditambahkan pula dengan tanda-tanda bintang di atas kertas. Pasti seronok.




Sehinggakan meningkat ke sekolah rendah dan sekolah menengah, kita masih bermain dengan huruf-huruf dari aspek pemarkahan. Maka, siapa yang mendapat gred A yang banyak, dialah jaguh kampung ketika itu. Ini semua meningkatkan momentum para pelajar untuk berusaha gigih mendapat A sebanyak mungkin. Tetapi, persoalannya adakah dengan mendapat 'A' yang banyak, bekalan ilmu didada semakin banyak dan pelajar tersebut mampu menghadam segala ilmu dengan baik?

Mungkin para pelajar itu cukup sekadar belajar untuk melepaskan batuk di tangga. Hanya belajar supaya lepas segala bentuk ujian dan peperiksaan. Kemudian, segala buku-buku dan nota-nota ditolak tepi. Inilah yang dikatakan 'exam oriented'. Pendidikan dan pembelajaran hanya berpaksikan kepada peperiksaan dan ujian.

Kini, sistem yang digunakan ditukar supaya kelihatan lebih gah. Saya menyatakan berdasarkan perubahan yang dilakukan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi melalui berita Bernama semalam. Perubahan yang saya katakan adalah menukar sistem pemarkahan gred kepada merit bagi semua lepasan SPM yang akan ke menara gading.

"Sistem ini diperkenalkan untuk memilih yang terbaik di kalangan terbaik bagi memasuki IPTA supaya ada perbezaan contohnya antara A+ dengan A dengan A-,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya semalam. Ini memberi maksud pihak Jabatan Pengajian Tinggi ingin mencari "cream of the cream" dikalangan pelajar-pelajar sekarang.




Melalui sistem baru itu, pelajar yang mendapat A akan dikategorikan kepada A+, A dan A- dengan merit masing-masing 18, 16 dan 14, katanya. Beliau berkata, gred 3B ditukar kepada B dengan merit 12, 4B kepada B(10), 5C kepada C (lapan), 6C kepada C (enam), 7D kepada D (empat), 8E kepada E (dua) dan 9G kepada G dengan merit sifar.

Saya melihat sudut positifnya apabila perkara ini terjadi. Ini akan melahirkan mahasiswa/i yang lebih berintelektual kerana kiri kanannya, hanya ada buku-buku dan nota-nota bersama. Mereka tidak akan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan gejala-gejala sosial kerana ingin mengejar merit.

Institusi pusat-pusat pengajian tinggi sekarang telah kebanjiran dengan mahasiswa/i dalam pelbagai bidang. Tetapi, Key Performance Index (KPI) bagi keseluruhan tahap mahasiswa/i dari pelbagai aspek masih mengecewakan.

Saya menyahut perubahan ini dilakukan, namun bagi saya perlu ada penambahan dan pembaikan dari segi pemarkahan sistem merit ini. Praktikal kepada segala ilmu yang dipelajari perlu diperbanyakkan di samping sudut kokurikulum dan aspek sahsiah yang tidak dilupakan. Kita tidak mahu pelajar-pelajar yang lahir dari lepasan SPM rupa mereka menjadi seperti professor-professor dengan berkaca mata besar. Kerana kesemuanya terlalu menjadi ulat buku untuk mengejar markah merit yang banyak.

Biarlah markah merit yang ada pada pelajar-pelajar SPM dinilai dari keseluruhan aspek iaitu baik dari sudut akademik, kokurikulum dan sahsiah. Pemupukan sahsiah adalah yang paling penting supaya kita tidak mahu melahirkan pemimpin-pemimpin negara yang otaknya kelihatan bersih dengan keintelektualan mereka menjana idea membangunkan negara tetapi tangan-tangan mereka hitam dengan jenayah-jenayah yang dilakukan samada rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

Mudah-mudahan mahasiswa/i yang lahir pada masa akan datang adalah "cream of the cream" bermula dengan lepasan SPM sesi 2009 ini.

Tuesday, October 27, 2009

Tangan yang lembut Menggoncang Dunia

Kalau dulu, senjata yang paling ampuh dalam medan peperangan adalah pedang, tombak, keris, meriam dan pelbagai senjata yang lain. Tetapi, di zaman yang serba canggih kini dengan teknologi yang kian pesat bangun, senjata yang paling ampuh adalah KATA-KATA. Setiap bait kata-kata sebagai senjata itu tidak semestinya diterjemahkan dalam bentuk lisan, tetapi juga dalam bentuk penulisan.

Kata-kata yang paling tinggi nilainya adalah yang berilmiah dan yang paling tajam faktanya. Maka, dengan kata-kata yang tinggi nilainya ini, musuh akan rebah jatuh terduduk mengibarkan bendera putih tanda mengalah. Nah, orang yang tinggi kata-katanya akan menang sebagai pahlawan.

Persoalannya?

Namun begitu, pahlawan itu kebanyakannya terdiri daripada golongan lelaki. Terlalu kurang daripada golongan wanita yang menjadi serikandi menentang musuh dengan kata-kata mereka. Yang ada kebanyakannya lebih tertumpu kepada bait-bait puitis dan irama lagu-lagu mendodoi jiwa. Itu memang sinonim dengan golongan wanita.

Namun hakikatnya, dalam medan pertempuran zaman kini, suara-suara lembut dari golongan wanita sangat diperlukan sebenarnya. Jangankan kerana terlalu ashik dengan bait-bait puitis dan irama lagu-lagu mendodoi jiwa, kita daripada golongan wanita terlupa akan isu-isu dan kisah-kisah masyarakat yang berlaku, hatta daripada isu-isu yang musuh sendiri mainkan.

Sebagai contoh, hari ini, 22 orang kanak-kanak yang jatuh ke dalam sungai di Kampar semasa perkhemahan sekolah, 19 orang dapat diselamatkan, seorang meninggal dunia dan 2 orang lagi hilang. Berapa ramai yang tahu akan kisah ini dan rasa ingin respon terutama daripada golongan mahasiswi yang pastinya bakal-bakal ibu. Betapa ramai ibu-ibu yang menangis kerana kehilangan anak-anak mereka. Tetapi kita daripada golongan mahasiswi?? Masih lagi bergelumang dengan facebook dalam konteks hanya membincangkan perkara-perkara yang kurang berfaedah dan bergurau dalam konteks yang berlebihan sehingga tidak menjana keintelektualan seorang mahasiswa.

Golongan lelaki lebih hebat menulis

Iya, sememangnya ini realiti yang kita lihat. Blog-blog dan facebook daripada golongan lelaki lebih diupdate berbanding golongan wanita. Blog-blog dan facebook golongan mahasiswa lebih mencapah pemikiran mereka dan berilmiah. Maka, golongan mahasiswi akan berkata "Cukuplah lelaki yang berkata-kata. Mereka ada 9 akal berbanding dengan kita yang ada 1 sahaja akal untuk menjana idea"

Tidak, ini bukan persoalan utama untuk dibincangkan. Persoalannya bagaimana kita menggunakan 1 akal yang diberi oleh Tuhan untuk menjana idea dan lalu idea itu dikarang sebagai satu momentum yang ingin dilontarkan kepada masyarakat di luar sana dalam konteks dakwah.

Jiwa golongan lelaki ini mencapah dan bersifat "goal-minded", manakala jiwa golongan perempuan bersifat mikro (menumpu) dan "relationship oriented" sebagaimana ulasan John Gray dalam "Man Are From Mars, Women Are From Venus".

Praktikalnya

Maka, jiwa perempuan yang mikro, menumpu ini perlu digilap dan diasah tajam dalam bidang penulisan. Fakta yang persis dan jitu perlu didapatkan. Perbaiki cara pembacaan kita. Saya menasihati diri saya dan semua supaya tidak hanya mengupdate blog dan facebook hanya dalam konteks luahan perasaan dan gurau-senda berlebihan.

Tetapi, gilaplah minda dan akal untuk menjana keintelektualan kita disamping tidak lupa erti memberi 'sesuatu' kepada masyarakat kerana kita adalah...

Serikandi Sehebat Mujahidah Silam

Biarkan tangan-tangan yang lembut itu bukan sahaja menghayun buaian, malah turut menggoncang dunia.

Sunday, October 25, 2009

Ayah, atuk, pakcik, 'SAYA' ingin bersuara

Sebuah 'Keluarga' yang ditimpa gelora

Ibaratnya kita satu keluarga. Ada datuk, pakcik saudara dan ayah. Tidak dilupakan nenek, makcik saudara dan ibu. Ada masa mereka bahagia dan kadang hubungan keluarga itu retak sedikit berikutan kurang interaksi yang baik dan kasih sayang yang ditunjukkan. Masalah dalaman berlaku menyebabkan pergaduhan terjadi dikalangan ahli keluarga lelaki, di antara datuk, pakcik dan ayah.

Masalah yang terjadi adalah kerana ada antara pakcik saudara yang buat 'kepala sendiri' dalam keputusan berkaitan keluarga yang sangat penting.

Maka, tanpa syura keluarga, datuk terus mengeluarkan arahan supaya pakcik saudara yang membuat 'kepala sendiri' ini dikeluarkan dari rumah mereka. Keputusan dibuat berikutan tidak mahu pakcik saudara ini menyebabkan keluarga mereka hancur berkecai.

Ayah hanya mendiamkan diri, seolah-oleh redha dengan perangai dan tingkah laku kurang elok yang dipaparkan oleh pakcik saudara sehingga menyebabkan kesan buruk pada masyarakat sekitar yang memerhati. Kebahagiaan yang selama ini keluarga itu kecapi sedikit demi sedikit retak.

Ibarat sebuah rumah

Saya pernah mengatakan, ibarat sebuah rumah, kalau retak yang ada masih boleh dibaiki dan ditampal, maka lakukanlah hal tersebut. Tidak mungkin kita terus berpindah dari rumah tersebut kalau hanya retak yang kecil berlaku.

Realiti Sebenar

Segala cerita di atas, saya ibaratkan untuk realiti kejadian sebenar yang berlaku kepada satu-satunya Gerakan Islam kita di Malaysia, Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Tuan Guru Nik Abdul Aziz b Nik Mat telah mengeluarkan kenyataan berkaitan kehendaknya supaya muktamar khas luar biasa gerakan ini diadakan bagi menyelesaikan beberapa isu pimpinan yang bermasalah berikutan kes yang telah dilakukan oleh Dr Hassan Ali, exco kerajaan negeri Selangor dan Dr Mustafa Ali kerana dikatakan pro-kerajaan perpaduan.

Namun, kehendak suci Tok guru kita ini tidak disalurkan dengan baik kerana tiada perbincangan dengan ajk Pas Pusat terlebih dahulu, malah tidak melalui Majlis Syura sebelum disiarkan di dalam blog Tok guru.

Presiden, Tuan Guru Haji Abdul Hadi pula dikatakan hanya senyap dan berdiam diri lagi-lagi berikutan dengan kes dua pimpinan yang pro-kerajaan perpaduan ini.

Segala permasalahan yang berlaku ini memberikan impak yang buruk terutama kepada pengundi-pengundi di luar sana. Entah apa persepsi mereka sekarang terutama mereka yang seperti lalang. Apabila kita berjaya menjuarai isu, mereka bersama kita, dan apabila masalah seperti sekarang berlaku, mereka ditiup angin ke seberang. Qudwah hasanah kita kepada masyarakat gagal.

Maka, apabila 'atuk', 'pakcik' dan 'ayah' telah bertelagah, si 'anak' patut bersuara dengan permasalahan yang terjadi ini, memberikan pendapat dan jika lebih hebat lagi, menyedarkan kembali mereka semua supaya kembali kepada matlamat asal iaitu ALLAH dan RASUL.

Siapa si 'anak'?

Saya berpendapat 'si anak' itu adalah ahli gerakan mahasiswa. Teguran dan nasihat dalam sebuah keluarga bukan setakat dari orang dewasa, malahan anak yang masih muda turut sama perlu sentiasa menegur dan memberi nasihat kepada orang dewasa.

Saya mengharapkan masalah di dalam 'keluarga' ini tidak berpanjangan dan ahli gerakan mahasiswa perlu ada satu momentum kepada pimpinan di atas agar matlamat asal kembali berpasak dalam diri setiap pimpinan dan ahli.

Jangankan kerana retak dalam 'keluarga' ini, anak-anak muda lari malah tidak memikirkan langsung masalah yang berlaku di antara orang-orang tua dan dewasa ini.

Saturday, October 24, 2009

Pengorbanan itu perlu...

"Kokurikulum mula pukul berapa?" si kakak bertanya kepada adiknya sewaktu memandu.

"Pukul 2.30 petang,"jawab adiknya.

Tidak semena-mena dengan takdir Allah, kereta yang sedang dipandu mengalami kemalangan berlanggar dengan kereta seorang cina apabila tertekan minyak ketika itu perlu menekan brek. Tidak tergambar perasaan ketika itu, jantung cukup berdebar-debar membayangkan perasaan ibunya kerana kereta tersebut milik ibu.

"Sekarang, you nak macam mana? Nak settle luar atau report polis?" Lelaki cina tersebut meminta ganti rugi kerana menyebabkan kerosakan pada bahagian belakang keretanya.

Si kakak yang kurang arif mengenai hal itu kebingungan cara yang terbaik untuk menyelesaikan hal tersebut. Maka, atas nasihat seorang sahabat, report polis dilakukan bagi menjimatkan duit kerana boleh diuruskan melalui claim insurans.

"Kakak ni patutnya kena belajar bawak kereta lagi," si adik yang baru 10 tahun mengomel.

Sepanjang berada di balai polis lebih kurang dalam 3 jam, hati si kakak cukup-cukup resah dan risau memikirkan respon ibu dan ayah. Tindakan drastik dibuat apabila si kakak pulang semula ke kampus bersama-sama dengan dokumen insurans di tangan. Niat si kakak tidak mahu menyusahkan dan mengecewakan hati ibu dan ayah.

Pagi keesokan harinya, seorang sahabat yang lain mententeramkan si kakak dan menasihatkan supaya memberitahu hal sebenar kepada ibu dan ayah. Nombor telefon ayah didail dan segala kejadian yang menimpa diceritakan. Si kakak mengigil kesedihan kerana dimarahi bersama dengan arahan supaya kereta tersebut dibawa pulang ke rumah untuk dibaiki.

Langkah disusun oleh si kakak pulang ke rumah. Sampai di rumah, si kakak dimarahi lagi kerana tidak menjaga kereta dengan baik malah membawa rakan-rakannya menaiki kereta tersebut kerana antara syarat penggunaan kereta tersebut adalah tidak boleh membawa rakan.

"Kereta itu untuk jemaah, abah...ummi...,untuk bawa tentera-tentera Allah pergi berjihad" suara hati si kakak hanya mampu terluah dalam hati memandangkan ibu dan ayah yang tidak faham erti perjuangan.

Kesedihan yang menimpa hanya mampu diluahkan pada Rabbul Izzati, mengharapkan ujian yang diberikan ini diiringkan bersama dengan kekuatan. Sungguh, si kakak terlalu risau akan redha Tuhan kerana redha dari ibu dan ayahnya sedikit tercalar.

Pengorbanan perasaan itu sangat perlu dilakukan. Pengorbanan bukan hanya melibatkan wang ringgit dan tenaga, malah perasaan juga perlu dilakukan. Sesungguhnya pengorbanan perasaan adalah paling sukar dilakukan.

Masa yang berlalu memberikan rahmat dan kasih sayangNya yang tidak terjangkau luasnya. Malam tersebut, si kakak solat maghrib berjemaah bersama dengan ibu dan ayahnya. Usai solat, si kakak mencium tangan ibu dan ayahnya memohon seribu kemaafan dan mengharapkan redha mereka. Si ibu mencium si kakak bersama dengan berita gembira yang diberikan. Segalanya adalah rahmat dan kasih sayangNya.

Sunday, October 18, 2009

Pokok pangkalnya tempat Bergantung

Hari Khamis yang lepas, sudah bersiap-siap hendak solat Zuhur, tiba-tiba terdengar orang beri salam di rumah. Haish...baru nak solat. Jenguk-jenguk rupanya ada promoter barang datang. Mula agak malas hendak layan tetapi melihatkan kepada kesungguhan lelaki tersebut, maka dengarlah sekejap apa yang hendak disampaikan.



Mulanya, lelaki tersebut melakukan demo pada kereta saya andai kereta saya orang lain hendak curi. Sungguh, cukup menakutkan saya semasa melihat demo tersebut. Dengan hanya menggunakan GARPU, kereta saya boleh dibuka bonet bahagian depan. Enjin dapat distart tanpa menggunakan kunci. Mungkin, inilah kerja pencuri-pencuri kereta di luar sana yang membuatkan orang lain kehilangan antara aset harta yang berharga.

Maka, dia pun mula menerangkan produk yang ingin dipromote pada saya, sistem keselamatan kereta. Setiap bulan kena bayar RM57. Ish2, duit lagi... Disebabkan lelaki tersebut tahu saya ini hanya pelajar kampus, maka dia hanya menjual CD berkenaan sistem keselamatan kereta itu berfungsi dengan harga RM5. Maka, saya pun menerima CD tersebut.

Setelah lelaki tersebut berangkat, maka saya pun meneruskan solat zuhur yang terbantut tadi. Usai solat, ilham dari Allah datang. Saya terfikir tidak perlu sebenarnya pada alat tersebut. Cukup kita pagari setiap barang atau apa-apa pun milik kita dengan kalimah BISMILLAH dan ayat-ayat Al-Quran.

Dan apa yang paling penting, PERGANTUNGAN KITA PADA ALLAH. Kalau kita bergantung pada apa-apa alat keselamatan hatta yang tercanggih sekalipun pun tanpa pergantungan pada Allah, ia tidak akan jadi. Dengan maksud kata, kalau hari itu juga Allah nak takdirkan barang kita dicuri, rosak atau sebagainya, maka akan terjadi juga walaupun kita menggunakan alat keselamatan yang tercanggih. (Kereta saya baru sahaja kemek lagi berlanggar dengan kereta sahabat, sabar je la...)

Nah, inilah persoalannya kepada semua. Sejauh mana kekukuhan kita bergantung pada Allah terhadap segala urusan. Tepuk dada, tanya iman.

~ All the Best final exam kali ini!! ~

Pasakkan pergantungan pada ALLAH!

Buat yang terbaik untuk Islam walaupun saya tidak tahu mampukah saya sendiri buat yang terbaik.. ;-(

Wa'allahualam.

Wednesday, October 14, 2009

SATU dilaungkan dalam Bahasa Arab


Dalam membelek-belek akhbar Sinar Harian, terbaca ayat 1 UMNO yang dilaungkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kita selalu mendengar perkataan SATU sejak Najib naik. Kali ini, angan-angan timbalan perdana menteri yang menginginkan UMNO disatukan kembali dengan 4 rukun yang mula saya baca, hampir tergelak kerana menggunakan bahasa arab(4 rukun yang saya bold dibawah).

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan empat rukun yang perlu dihayati ahli parti itu bagi mewujudkan 'Satu UMNO' yang bersih daripada segala unsur negatif yang boleh merosakkan parti.

“Marilah kita bersetia menterjemahkan amanat Presiden agar tidak ada lagi antara kita yang menjadi batu api, kaki cucuk, talam dua muka.

“Tiada lagi perpecahan dalaman, tiada lagi team A-team B seperti dulu, tidak ada lagi gerakan jatuh menjatuhkan pemimpin, tidak ada lagi budaya ugut-mengugut dan perebutan kuasa sehingga parti menjadi mangsa.

“Yang ada hanya satu wadah, satu pasukan, Satu UMNO. Kesemua ini dapat kita laksanakan dengan menghayati empat rukun yang saya sebutkan tadi,” katanya ketika merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di PWTC di sini, malam tadi.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Muhyiddin berkata, empat rukun itu ialah Kesatuan Minda (Wahdatul Fikr), Kesatuan Hati (Wahdatul Qalb), Kesatuan Amal (Wahdatul Amal) dan Kesatuan Matlamat (Wahdatul Hadaf).

Muhyiddin, dalam ucapannya itu yang bertemakan 'Menggalas Tuntutan Perubahan' berkata empat rukun itu perlu diamalkan untuk perubahan dan pembaharuan demi perjuangan UMNO.

“Dengan terbinanya Kesatuan Minda, UMNO akan mempunyai visi perjuangan jelas. Dengan terjalinnya Kesatuan Hati, setiap kita akan menjiwai erti perjuangan UMNO.

Menghurai lanjut empat rukun itu, beliau berkata Kesatuan Minda adalah langkah pertama yang perlu diambil dengan membebaskan minda dan sikap anggota UMNO daripada pemikiran lapuk. - Bernama

Kita lihat sejauh mana keberkesanan angan-angan ini direalisasikan dengan tanpa berpandukan AL-Quran wa as-Sunnah yang mana kandungannya sendiri di dalam Bahasa Arab.