Wednesday, June 29, 2011

Special Request dari Si Dia

“Orang yang tak nak bahagia akan selalu merungut, hanya meminta itu ini dan ego”

Kata-kata seorang tokoh ilmuan Selangor yang dikenali ramai.

Kata-kata yang saya selalu ingat. Panjang saya memikirkan kata itu dan sentiasa bermuhasabah supaya dijauhkan daripada perbuatan-perbuatan yg tidak mengizinkan saya untuk bahagia.

Ah, bahagia itu hanya dengan agama!

Itulah kesimpulan sebenar.

Air mata yg sering membasahi tika mana kasih sayang Allah S.W.T datang menyapa. Kasih sayangNya tidak datang dalam bentuk kesenangan dan bahagia semata-mata, tetapi juga dalam bentuk ujian.

“Dan janganlah kamu mengaku beriman sebelum kamu diuji,” Surah Al-Ankabut (ayat 2)

Kerana apa? Kita masih di dunia. Tiap ketika dan dalam tahap mana sekalipun kita akan diuji. Ketika masih bayi, kita diuji mahukan susu dan ditukar lampin. Menginjak sedikit masa ke alam kanak-kanak, kita diuji mahukan barang permainan dan masa bermain tidak kira masa. Dan seterusnya ke alam remaja dan dewasa.

“Rasa macam nak jadi budak kecil semula, tak perlu fikir masalah,”

Pernah saya berfikir begitu ketika sedang menangis sewaktu ditimpa ujian yang dirasa berat suatu ketika dulu tetapi rupanya mengenalkan saya kepada Pencipta, agama dan jemaahNya.

Masa tetap terus berlalu. Dan masa semakin mencemburui, meninggalkan sisa-sisa usia yang semakin pendek untuk beramal mengejar redha dan syurga Dia.

Tingkatan iman di hati mengukir keberadaan ujian yang Allah titipkan di sisi kita. Kemiskinan, kesakitan, kerunsingan dan kesempitan.

Sabar, redha dan bersangka baik.

Kata-kata dan ayat yang ringkas, namun, membuatnya? Dengan penuh kepayahan, seribu satu pengorbanan dan akhirnya Allah titipkan kemenangan dan kebahagiaan. Yakinlah…

“Anggaplah semuanya ibarat semilir angin lalu yang berlalu... Menenangkan pelupuk emosi dan teruslah berlari kepada Nya, mendakap erat dalam pelukan Nya agar setiap ujian yang hadir semakin membuat kita dekat dengan Nya.”

Hati yang berdukacita pasti akan dibelai lembut dan penuh didikan oleh Penciptanya. Kerana Dia sentiasa mahu beri yang terbaik buat kita. Bukankah setiap masa kita menyebut “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”?

Permulaan kalimah inilah yang meyakinkan kita bahawa kasih sayangNya melangkau apa pun hatta kasih sayang seorang ibu.

Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar .” Ayat 153, Surah al-Baqarah.

Tika hati mula terasa perit, percepatkanlah langkah yang mula kelihatan longlai mengambil wudhu. Kerana disitu, ketenangan sedikit sebanyak mula menapak. Kemudian, bersolatlah. Solat dan sabar ini pasti akan menolong. Cuma hanya kita sebagai insan yang kerdil ini sahaja tidak tahu bila dan bentuk bagaimana ‘pertolongan’ Allah itu datang.

Di dalam solat, merintih dan berharaplah sepenuhnya pada Allah. Fokuskan pada kalimah ini dengan penuh rasa rendah diri dan tawaduk kita sebagai hambaNya yang cukup dhoif.

“Hanya kepada Engkau sahajalah kami sembah, dan hanya kepada Engkau sahajalah kami MEMINTA PERTOLONGAN” Ayat 5, Al-Fatihah.

Dan special request Allah kirimkan supaya kita sabar, redha dan bersangka baik.



Dengan mata yang bengkak kerana kerap kali menangis, saya suakan coklat ke mulut. Keceriaan saya kembali sebentar dengan izinNya supaya tidak berterusan menangis. ^_^

Thursday, June 23, 2011

'Hiruk-piruk' kehidupan kita

Setiap yang bergelar muslim wajib mengetahui, belajar dan mengamalkan tiga perkara penting dalam kehidupannya. Tiga perkara itu meliputi akidah, ibadah dan akhlak bagi membentuk dirinya menjadi mukmin yang berkualiti dan seterusnya menjadikan Islam sebagai cara hidupnya.

Secara asasnya, tajuk-tajuk yang perlu dibincangkan bagi mempelajari fardhu ain dalam akidah, ibadah dan akhlak adalah:-
1. Akidah
a. Mengucap dua kalimah syahadat
b. Rukun Islam
c. Rukun Iman

2. Ibadah
a. Beristinjak
b. Membersihkan anggota badan, pakaian dan tempat daripada najis
c. Berwuduk
d. Cara Bertayammum
e. Cara mandi wajib
f. Azan dan Iqamat
g. Solat Fardhu
h. Solat Jenazah
i. Puasa

3. Akhlak
a. Adab terhadap ibu bapa
b. Perkahwinan (Untuk Pelajar Tingkatan Lima Sahaja)
c. Ihsan
d. Kewajipan Menutup Aurat
e. Batas Pergaulan Dalam Islam

Mari kita lihat gambar dibawah:-



Ibarat menanam biji benih sebuah pokok, akar akan keluar terlebih setelah disiram dengan air. Kemudiannya, daun mula kelihatan dan batangnya mula memanjang disepanjang tumbesaran. Pertumbuhan daun-daun mula bertambah bilangannya dari sehari ke sehari. Setelah cukup tempoh matangnya, maka buah-buah mula tumbuh. Inilah nikmat yang dijadikan untuk manusia dan binatang yang dapat memakannya.

1.0 Akidah

Berdasarkan gambar dan perumpamaan diatas, itulah yang perlu dilakukan disepanjang kehidupan kita sebagai seorang mukmin. Akidah perlu ditanamkan sekukuhnya. Kerana tanpa akidah yang kukuh, ibadah dan akhlak yang dilakukan tidak dapat bertahan lama.

Akidah yang perlu dipelajari meliputi mengucap dua kalimah syahadat, rukun islam dan rukun iman. Akidah yang pada kalimah asalnya adalah aqada dan pada maksud bahasanya adalah ikatan atau simpulan. Menurut maksud istilahnya pula, akidah bermaksud ikatan yang tidak akan putus dan keyakinan yang penuh pada Allah S.W.T. sebagai Tuhan yang Maha Esa.

Mengucap dua kalimah syahadat perlu disebut dengan lidah, membenarkan dengan hati, difahami pada maksudnya ketika membaca dan mengamalkan dengan anggota tubuh badan dalam seluruh kehidupan seorang mukmin.



AKU BERSAKSI BAHAWA TIADA TUHAN YANG DISEMBAH MELAINKAN ALLAH DAN AKU BERSAKSI BAHAWA NABI MUHAMMAD ITU PESURUH ALLAH

Kalimah syahadat yang wajib diimani terdiri daripada dua iaitu:-
1. Syahadat Tauhid: Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah.
2. Syahadat Rasul: Aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah.

Setiap orang yang bergelar muslim dan mukmin wajib mempelajari dan mempraktikkan rukun islam dan rukun iman dalam kehidupannya.

Rukun islam mempunyai lima iaitu terdiri daripada mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan ramadhan, menunaikan zakat dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan.

Rukun iman mempunyai enam iaitu terdiri daripada beriman kepada Allah S.W.T, beriman kepada malaikat, beriman kepada kitab, beriman kepada rasul, beriman kepada hari akhirat dan beriman kepada qada’ dan qadar.

Rukun islam dan rukun iman ini perlu dipelajari dan dihayati dengan terperinci setiap satunya. Orang mukmin wajib mempelajari kepentingan dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Islam itu cantik dan mudah mengatur langkah dan perjalanan penganutnya.

2.0 Ibadah

Ibadah yang dilakukan dalam sehari-hari perlu dilakukan mengikut langkah-langkah yang ditunjukkan oleh baginda rasulullah saw. Hanya dengan cara yang betul, ibadah kita diterima oleh Allah S.W.T dan seterusnya diberikan pahala bagi meraih ganjaran syurgaNya. Dengan akar (akidah) yang telah kukuh, maka batang dan ranting (ibadah) akan membesar dengan sempurna.

Secara asasnya, perkara-perkara ibadah yang perlu dipelajari dalam fardhu ain adalah beristinjak, membersihkan anggota badan, pakaian dan tempat daripada najis, berwuduk, cara bertayammum, cara mandi wajib, azan dan iqamat, solat fardhu, solat jenazah dan puasa.

Perkara-perkara ibadah perlu dipelajari dengan terperinci. Beristinjak ialah bersuci daripada najis selepas membuang air kecil ataupun air besar. Perkara penting yang perlu difahami dengan terperinci dalam beristinjak adalah adab-adab qadha hajat, tempat yang haram untuk buang air dan makruh buang air.

Islam adalah suci dan penganutnya juga perlu sentiasa suci membersihkan anggota badan, pakaian dan tempat daripada najis. Di dalam tajuk ini, bahagian najis yang terdiri perlu diketahui iaitu najis mukhaffafah, najis mutawassitah dan najis mughallazah. Jenis-jenis air suci yang boleh digunakan adalah air mutlak, air mutanajjis, air mustakmal, air musyammas dan air mutaghayyir.

Solat fardhu hanya akan sah apabila berwudhuk dengan sempurna. Di dalam berwudhuk, antara perkara yang perlu dilakukkan supaya wudhuk kita sah adalah memenuhi syarat-syarat berwudhuk, fardhu berwudhuk, cara berwudhuk dan perkara makruh ketika berwudhuk.

Apabila dalam keadaan tanpa air, adalah perlu bertayammum bagi menggantikan wudhuk dan mandi. Cara bertayammum ialah menyapukan debu ke muka dan kedua tangan sampai ke siku menggunakan debu suci dengan beberapa syarat. Dalam bertayammum, cara-caranya yang perlu dipelajari adalah syarat-syarat tayammum, sunat tayammum, rukun tayammum, cara bertayammum dan perkara yang membatalkan tayammum.

Mandi wajib adalah salah satu ibadah yang wajib dipelajari. Di dalam tajuk ini, perkara-perkara yang perlu dipelajari adalah sebab-sebab yang mewajibkan mandi wajib, rukun mandi wajib, sunat-sunat mandi wajib dan tidak ketinggalan cara mandi wajib dengan sempurna.

Walaupun ibadah ini mungkin kadang-kala sahaja dilakukan, tetapi ibadah azan dan iqamat tetap perlu diketahui dan dipelajari. Bagi seorang lelaki, wajib bagi orang lelaki mengetahui cara melaksanakan azan dan lafaz azan yang betul. Manakala, cara menjawab azan dan iqamah perlu diketahui oleh semua orang tidak kira lelaki dan perempuan.

Antara rukun islam terpenting yang perlu dipelajari adalah solat fardhu lima waktu sehari semalam. Masyarakat kini kurang memandang kepentingan mempelajarinya dengan betul. Solat wajib dilakukan dengan betul berdasarkan tiga rukun penting iaitu rukun qalbi, rukun fi’li dan rukun rukun qauli. Ini membawa maksud seluruh solat yang dilakukan perlu memenuhi rukun yang berasaskan hati (khusyuk), rukun yang berasaskan perbuatan anggota badan (pergerakan anggota badan) dan rukun yang berasaskan kepada sebutan dan bacaan.

Jika solat fardhu tidak dilakukan berdasarkan tiga rukun penting ini, maka akhlak seseorang akan rosak dan seterusnya masyarakat dan negara kian hancur kerana hanya berpunca dari solat.



“Bacalah serta ikutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada Al-Quran, dan dirikanlah Solat. Sesungguhnya Solat itu mencegah daripada perbuatan yang Fahsya’ dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar. Dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan” [Al-Ankabut 29: 45]

Di dalam solat fardhu, terdapat pelbagai perkara yang wajib diketahui. Perkara-perkara itu adalah syarat-syarat solat, rukun solat, makruh dalam solat, sujud sahwi, sujud tilawah, perkara yang membatalkan solat, waktu-waktu solat fardhu, lafaz niat dalam solat, cara mengerjakan solat, bacaan doa qunut dalam solat subuh dan doa selepas solat fardhu.

Solat jenazah adalah fardhu kifayah. Ini bererti apabila telah dilakukan oleh sebahagian orang, maka orang lain telah terlepas daripada tanggungjawab tersebut. Di dalam solat jenazah, perincian perkara yang perlu dipelajari bagi mengerjakan solat jenazah adalah hukum solat jenazah, syarat-syarat solat jenazah, rukun-rukun solat jenazah, waktu yang diharamkan solat jenazah dan cara solat jenazah.

Rukun islam yang ketiga perlu difahami dengan teliti agar mudah untuk melaksanakannya. Puasa wajib dilakukan ketika bulan ramadhan menjelang. Dalil pensyariatan puasa terdapat dalam surah Al-Baqarah, ayat 183. Lafaz niat puasa ramadhan, syarat-syarat sah puasa, perkara-perkara yang membatalkan puasa dan hikmah berpuasa perlu diketahui dan dipelajari.

3.0 Akhlak

Buah (akhlak) yang cantik dan manis hanya akan tumbuh daripada pokok yang subur dan kuat. Baja (ilmu) dan air (amal) perlu selalu diberi agar pokok itu dapat menghasilkan buah yang banyak dan segar.

Oleh yang demikian, pelbagai perkara perlu difahami ketika mempelajari akhlak sebenar sebagai seorang muslim dan seterusnya mengamalkannya. Orang islam perlu menjaga dua hubungan ketika hidupnya di dunia iaitu hubungan dengan Allah S.W.T dan hubungannya sesama manusia.

Perkara pertama yang perlu dipelajarinya dalam membina akhlak muslim bagi memelihara hubungan dengan Allah S.W.T adalah mengetahui dan mengamalkan konsep ihsan dalam setiap apa jua yang dilakukkannya dalam kehidupan seharian. Ihsan ialah melakukan ibadat kepada Allah dengan sebaik-baiknya seolah-olah kamu melihat Allah dan sesungguhnya Allah melihat kamu. Sifat utama dan konsep sebenar dalam ihsan perlu difahami.

Dalam memelihara hubungan sesama manusia, perkara pertama yang perlu dipelajari adalah adab terhadap ibu bapa. Ibu yang telah mengandung dan melahir perlu dihormati dan ditaati. Demikian juga pada bapa yang telah membesarkankan kita perlu dihormati dan ditaati.

Di zaman arus modenisasi kini, masyarakat sekarang semakin menuju ke zaman jahiliyah. Faktor utama yang dapat dilihat kebanyakannya berpunca dari rasa tanggungjawab dalam menutup aurat dan menjaga batas pergaulan yang dihadkan dalam islam. Hikmah daripada dua pensyariatan ini bukan untuk mengekang dan mengongkong, tetapi adalah untuk menjaga orang islam kerana Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang terhadap hamba-hambaNya.

Kewajipan menutup aurat perlu difahami pada hukumnya berdasarkan dalil-dalil yang terdapat di dalam Al-Quran dan hadith rasulullah s.a.w. had aurat yang dibataskan terhadap lelaki dan perempan perlu diketahui. Dan apa yang lebih penting adalah mengetahui hikmah disebalik pensyariatan menutup aurat kerana tiada satu pun syariatNya yang sia-sia.

Hubungan sesama muslim yang berlainan jantina perlu dibataskan dengan had-had yang dianjurkan oleh Islam. Antara yang perlu dipelajari adalah maksud disebalik istilah ‘mahram’ dan ‘ajnabi’. Individu muslim juga perlu menghayati kesan buruk akibat daripada pergaulan bebas yang tidak tentu hala.

Fardhu ‘ain merupakan perkara penting serta asas dalam mengerjakan amal ibadah kepada Allah S.W.T, kerana dengan memahaminya itu, justeru rasa percaya diri, kemantapan dalam beribadah akan semakin kuat.

Sunday, June 12, 2011

11 Jun 2011: Hari Paling Indah Memberi (Volume II)

Pagi yang indah mengenalkan kanak-kanak ini dengan Pencipta telah berlalu.

Suasana di dalam kereta kelihatan sunyi sepi.

“Patutlah senyap, tidur rupanya semua,”

Saya menjenguk di cermin belakang kereta sewaktu memandu dalam perjalanan menghantar mereka pulang ke kampung semula di Teluk Panglima Garang.

Tiba malamnya untuk meneruskan langkah memberi lagi.

Showcase Amal Shuhada At-Taqwa membuka laluan.



Selesai mencari parking, saya bersama Alwee, adik bongsu saya mencari tempat duduk di sekitar Dataran Kemerdekaan Shah Alam itu.

“Ramainya orang…” takjub adik saya melihat suasana yang jarang dilaluinya.

“Selamat datang kepada para penonton yang baru tiba….” Pengerusi majlis memulakan majlis sekitar jam 9.15 malam itu.

Kami sempat mengambil tempat yang agak selesa di atas rumput permaidani di sebelah khemah VIP.

“Baru perasmian, kira baru mula ni,” Tetapi mata adik saya telah mula layu, mengantuk dengan ucapan perasmian.

Pembukaan persembahan dimulakan dengan bacaan doa dan tadabbur Surah Al-Maun yang menceritakan perihal anak yatim. Sesuai dengan matlamat program yang ingin mengumpulkan kutipan dana bagi Madrasah Anak-anak Yatim At-Taqwa, Hulu Langat.

Kejadian 21 Mei 2011 lalu yang meragut 16 nyawa anak-anak yatim yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat.

“…Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sungguh, Allah sangat berat siksa-Nya.” (Al Maidah: 2)

Persembahan bacaan al-asma ul husna daripada semua kumpulan nasyid yang hadir dimulakan.

Sungguh tenang dan syahdu dengan kalimah nama-nama Allah yang membasahi bumi Shah Alam.

Kumpulan nasyid Raihan dan Rabbani memulakan rentap dan diikuti kumpulan Hijjaz.

Sekitar jam 10 malam,

“Kak, pukul berapa?” tanda rasa mengantuk adik saya yang semakin bertambah.

“Tak nak cakap… Alwee, kenapa main play station dan tengok cerita boleh tahan sampai pukul 1 pagi? Tapi, nak dapat pahala, baru pukul 10 pun dah tak tahan?” Saya bersuara lembut.

‘Strategi mendera’ saya gunakan terhadap Alwee dengan membiarkan rungutan dia. Kerana saya yakin mata dan hatinya akan tertangkap jua dengan butir-butir nasihat yang disampaikan oleh kumpulan-kumpulan nasyid itu.

Seorang sukarelawan mendekati kami bersama tabung amal buat anak-anak yatim.

“Alwee tak bawa duit…”

“Nah…ni pahala untuk Alwee,” Saya menghulurkan duit kepada Alwee, mendidik hatinya meringankan tangan untuk rajin bersedekah.

Setengah jam yang berlalu menjadikan hati Alwee resah kembali. Tangannya menggapai handphone saya bagi melihat waktu.

“Jom…kita pergi beli air” Saya mengajak Alwee ke gerai menjual air.

‘Strategi’ kedua saya beralih arah supaya terus dapat memancing Alwee untuk terus bertahan.

Kami duduk kembali sambil mendengar kumpulan nasyid Inteam dan UNIC mendendangkan lagu seterusnya.

“Cepatnya air habis…” Sesekali sambil sedang menonton persembahan nasyid, saya akan berborak dengan Alwee.

Alwee berpindah tempat, saya hanya membiarkan.

“Biarkan je la…tanda nak hilang rasa mengantuk,” getus hati saya.

Kumpulan terakhir menyampaikan persembahan terakhir pada malam itu dengan cukup bertenaga.

Laungan kalimah takbir bergema di seluruh bumi Shah Alam, serasa seperti sedang berada di daerah negara Islam.

Dengan kalimah takbir tersebut, maka berakhirlah Showcase Amal Shuhada At-Taqwa.

Acara menyampaikan sumbangan oleh para VIP diteruskan. Penyampai-penyampai sumbangan kebanyakannya terdiri daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Di akhirnya, pengumuman sumbangan daripada hadirin yang hadir ke Showcase Amal Shuhada At-Taqwa diumumkan iaitu sebanyak RM 19,000 dan jumlah itu semakin bertambah.

Petugas-petugas unit amal bersemangat melajukan langkah mengutip sumbangan-sumbangan daripada orang ramai yang hadir.

Jumlah kesemua sumbangan melebihi Rm 50, 000.

“Alhamdulillah…rezeki yang Engkau berikan pada kami, Engkau ilhamkan kami untuk menyumbang buat hambaMu yang kesusahan. Hanya syukur kami panjatkan...” Hati saya bersyukur.

Orang ramai memulakan langkah untuk pulang ke rumah masing-masing kira-kira jam 11.30 malam itu. Saya beriringan bersama Alwee mencari kereta.

“Hari ni Alwee dapat apa?”

“Dapat pahala,” Jawapan yang buat saya tersenyum.

“Kakak dulu lambat kenal Islam. Itu sebab akak didik Alwee dari kecil, supaya dapat ilmu dan buat pahala banyak-banyak,” Saya mula bercerita semasa memandu pulang ke rumah.

“Satu je permintaan akak pada Alwee. Masuk sekolah tahfiz ye tahun depan, paling kurang pun masuk sekolah agama macam KISAS kat Klang, dekat je dari rumah…”

Impian tinggi yang saya luahkan pada adik tersayang untuk melihat dia menjadi seorang mujahid dan ulama’ yang cintakan akhirat.

Segalanya tiada yang mustahil disisiMu!

11 Jun 2011: Hari Paling Indah Memberi

Setelah berhempas pulas bertugas di Muktamar Tahunan PAS ke-57 bersama Team Briged Muslimat minggu lepas, tangan dan kaki terus menghayun untuk memberi. Cuti sekolah yang berbaki seminggu dimanfaatkan sebaiknya bersama adik tersayang. Kebetulan, empat orang sepupu kami sebaya adik saya yang bongsu, 12 tahun bertamu di rumah kami selama tiga malam.

Pelbagai kerenah (kerana semuanya lelaki), namun cukup terhibur.

“Bangun…bangun…dah subuh,” saya sedikit berteriak supaya keliatan mereka dalam hawa pendingin udara hilang untuk bangun subuh.

Semuanya bersolat subuh, tetapi selepas itu…

Semuanya tidur kembali kerana tidur lewat malam bermain play station dan menonton filem seram di peti kotak hitam.

“Macam mana nak pisahkan diorang dari play station dan peti kotak hitam ye…” saya hanya termangu seorang diri mencari penyelesaian.

Pada malam terakhir, saya bersuara pada petang tersebut.

“Malam ini, lepas solat maghrib semua kena ambil Al-Quran dan baca, Ustaz Naim baca doa, ok?”

“Iye la..iye la..” Semua bersetuju tanda tidak membantah.

Seusai maghrib, suara seperti lebah berdesing kedengaran. Mereka membaca Surah Yasin dan doa yasin dibacakan di penghujungnya oleh Adik Muhamad Naim, anak sepupu saya a.k.a anak saudara saya. Suka saya menggelarnya “ustaz” kerana sifatnya sedikit matang berbanding yang lain.

“Esok pagi kita pergi Tasik Shah Alam nak?” Saya bertanya bagi mengalihkan perhatian mereka dari play station dan peti kotak hitam itu.

“Nak…” Semua menjawab serentak.



11 Jun 2011: Hari Paling Indah Memberi

Selepas semua bersolat Subuh dan mandi bersiap, saya mengarahkan mereka bersarapan.

“Sarapan ni, makan banyak-banyak. Nanti dekat tasik, tak payah beli-beli lagi. Boleh jimat duit,”

‘Amaran’ kecil tanda mendidik mereka agar berjimat.

Kereta viva kesayangan tidak dapat memuatkan mereka yang seramai lima orang. Apa lagi…dua orang lah yang duduk di kerusi hadapan.

Kereta meluncur laju jam 8.30 pagi. Sesudah parking, mereka berebut untuk keluar dari kereta.

Tertinggallah saya keseorangan kerana mereka telah berlari-lari menuju ke taman permainan.

Ke sana ke sini mereka berlari, bermain badminton dan juga bola sepak yang dibawa.

Setelah hampir sejam, mereka berehat di tepi tasik. Tiba masanya saya menyuntik ‘jarum halus’.

“Cuba tengok tasik ni, tengok dengan mata hati...bukan saja-saja tau,”

“Tahu...tengok ciptaan Allah,” adik Naim laju merespon.

Tetapi, bukan mudah mengawal mereka supaya merenung alam ciptaan Allah SWT. Kaki dan tangan mereka tetap merayap sambil mengusik-usik sesama mereka untuk menakutkan tolak ke dalam tasik.

“Ah..budak-budak,” getus hati saya.

Sebuah bot berlalu membawa penumpang berjalan-jalan di sekeliling tasik.

“Bang…sorang berapa ringgit?” adik saya menjerit bertanya.

Pemandu bot itu tidak menjawab, tidak dengar barangkali.

“Bang, sorang berapa?” Saya mengulangi soalan yang sama kepada pemandu bot tersebut.

“Dewasa, RM 5. Budak kecil, RM 3,”

“Jom! Semua masuk dalam bot,”

“Yeay!!”



Bersiar-siar merenung alam Tuhan dengan lebih dekat di hati.

Moga mereka generasi yang terselamat!