Thursday, April 28, 2011

Ayu Lembut Perkasa

“Ganasnya…”

“Kasar la nampak…”

“Mesti ashik keluar rumah je kejenye…”

Ayat-ayat diatas adalah antara persepsi-persepsi yang akan berlaku apabila seorang muslimah/wanita yang ingin bergerak secara proaktif didalam masyarakat. Bukan untuk membanggakan diri, bukan untuk memuliakan diri tetapi satu, demi menyedarkan masyarakat kini yang semakin lari dari landasan Al-Quran dan sunnah baginda rasulullah saw.

MAHU dan TAHU.

Inilah yang perlu ada didalam diri setiap muslimah yang telah ditarbiyah sejak di alam kampus. MAHU terus bergerak untuk istiqamah dan TAHU keadaan serta ilmu strategi yang diperlukan bagi menyedarkan masyarakat kini.

“Tak reti la macam mana nak gerak kat luar…tapi rindu dengan usrah…”

“Tengok kat luar ada Nisa’, tapi lembut je…tak mencabar pun, macam dalam kampus dulu ke hulu ke hilir lawan aspirasi…tak ada feeling dalam Nisa’…”

Persoalan-persoalan sebegini pasti akan singgah di benak mereka yang baru sahaja fresh graduate.

Setiap penggerak pasti jiwanya cenderung antara salah satu, samada jiwanya cenderung ke arah tarbiyah/dakwah atau siasah/dakwah. Renung-renungkanlah diri, dimanakah aku??

Langkah pertama selepas merenung diri “dimanakah aku??” adalah terus mendaftarkan diri dengan Nisa’ cawangan di mana tempat kita tinggal.

“Alamak..tak tahu no contact la…”

Hubungilah sahabat-sahabat atau senior yang kita kenali telah bergerak aktif di dalam mana-mana Nisa’ cawangan.

Apabila engagement telah terpateri, teruskan langkah seterusnya dengan menghadiri setiap usrah dan program-program yang dikendalikan. Tetapi harus diingat, jangan selama-lamanya menjadi follower, fikirlah secara kritikal dan proaktif bagi terus melajukan gerakan islam buat ummah ini.

“Adoi..tak kena dengan jiwalah Nisa’ ni…banyak dakwah kontemporari je..”

Secara asasnya, Nisa’ Malaysia ditubuhkan sebagai sebuah alat untuk PAS mudah bergerak didalam masyarakat. NGO ini ditubuhkan apabila melihat masyarakat yang kurang menerima PAS yang kelihatan politik semata-mata. Secara umumnya, Nisa’ lebih bergerak dalam aspek dakwah kontemporari dari segi hiburan, sukan dan lain-lain.



Tetapi, hakikatnya Nisa’ bergerak didalam semua skop. Cuma mungkin tidak kelihatan Nisa’ bergerak di medan siasah. Di dalam Nisa’ sendiri, telah lama ditubuhkan Unit Politik dan Pilihanraya Amal Nisa’. Dengan inisiatif Dr Rosni, Ketua Nisa’ Malaysia bersama krew-krewnya lain, rebranding bagi Unit Politik dan Pilihanraya Amal Nisa’ dilakukan.

Hasilnya? Tertubuhlah Bridged Muslimat.



Rebranding yang dilakukan adalah bagi mendekati pengundi muda khususnya melihat kepada faktor peratus golongan muda lebih ramai berbanding golongan tua.

Ayuhlah kita terus bergerak!

Takkan hilang kelembutan seorang muslimah apabila dia bergerak.

Takkan hilang keayuan seorang muslimah apabila dia bergerak.

Takkan hilang sifat keibuannya apabila dia bergerak.

Takkan hilang segala sifat wanitanya apabila dia bergerak.

Walau apa jua halangan sekalipun, jangan biarkan kita tenggelam dengan mehnah cabaran dari luar, keluarga, mahupun daripada diri kita sendiri.

Pasakkan diri pada Allah, mantapkan ilmu, kemahiran dan sahsiah diri. Dan tidak dilupakan yang kelihatan kecil tapi sumber kekuatan, jangan berjauhan daripada sahabat-sahabat.

“Ya Allah, jangan tinggalkan kami jauh dari jalanMu. Izinkan kami istiqamah untuk agamaMu. Kami rindu untuk bersama dengan rasulullah saw dan orang-orang yang Engkau kasihi di syurgaMu. Redhai jalan kami. Perkuatkan langkah-langkah kami walau apa jua yang menghalang. Hanya untuk agamaMu, ya Allah...”

p/s: Owh..takutnya saya. moga-moga post ini lebih tuju kepada saya.

Tuesday, April 12, 2011

Sehelai Tudung Labuh

Keadaan bertukar sunyi di dalam kereta. Penuh dengan emosi.

Wanita yang berumur dalam lingkungan 40 tahun mengambil nafas panjang setelah usai dengan bangkangannya. Stereng kereta cuba dikawal sebaik mungkin. Humaiya terduduk hampa di kerusi belakang . Dahinya berkerut , matanya sedikit sembap akibat tangisan tadi. Riak wajahnya yang sukar ditafsirkan jelas menunjukkan pelbagai persoalan bermain di fikiran .

"Biar betul ibu ? Setelah sekian ini ? Setelah aku meletakkan komitmen besar terhadap imej ku ini ? Iman ku membantah seratus peratus."

Itu kisah kelmarin , dan dia masih memprotes.

* * * * * *

"Awak setuju dengan keputusan ibu?"

Humaiya mengajukan soalan kepada adiknya yang mencari target bagi memasukkan biji karom ke dalam lubang sasaran.

"Mestilah tak! Qis rasa akak dah masuk sebulan bertudung labuh , takkan nak berhenti kat tengah jalan?"

Tupp! Biji carrom berjaya dimasukkan. Giliran Humaiya pula memasukkan target, tetapi otaknya sedang berfikir ligat. Fokusnya hilang kepada permainan karom, dia lebih tertumpu kepada konflik yang dihadapinya sekarang.

Tiada angin tiada rebut, tiba-tiba ibu Humaiya menghalang dia bertudung labuh lagi. Humaiya sedar, ibunya sejak mula memang menunjukkan respon kurang bersetuju apabila dia mahu bertukar imej, Tetapi ayahnya selaku ketua keluarga sentiasa meletakkan titik noktah bagi setiap keputusan sekaligus membuatkan ibunya terpaksa mengiyakan saja.

Ayahnya memberi lampu hijau kepada Humaiya untuk bertudung labuh. Mungkin dia menyukai anak gadisnya bertudung mengikut syariat kalau mahu dibandingkan dengan pemakaian tudung gaya Ariani yang sudah menjadi ikutan ramai wanita. Tudungnya sangat kecil, langsung tidak mematuhi perintah Allah di dalam Al-Quran yang mengarahkan kaum hawa supaya menutup belahan baju dan dada. Ayah Humaiya juga mengerti, yang anaknya mahu berhijrah. Menjadi antara golongan remaja yang diredhai Allah.

Humaiya yang kini sering menjaga solatnya.
Humaiya yang kini lebih elok keperibadiannya.
Humaiya yang kini sering membasahi bibir dengan asma Allah.
Humaiya yang kini sentiasa cuba memperbaiki diri.

Dia sedikit pilu apabila ibunya gagal memahami.
Mindanya memutarkan kembali dialog bersama ibunya kelmarin.

"Ibu rasa ibu tak nak awak bertudung labuh lagi. Boleh ikut cakap ibu?"

"Tapi bu, akak ...".

"Ibu rasa akak pakai semata-mata ikut kawan, tunggu jelah bila akak dah besar. Sekarang ni akak muda lagi, masih belum waktunya. Ibu rasa awak belum bersedia nak pakai secara total, entah entah masa akan datang awak tak nak pakai tudung labuh lagi. Tolonglah, tak usah lah nak bertudung labuh lagi, akak bukan budak sekolah agama, budak sekolah biasa je."

Nada suara ibu Humaiya yang agak tinggi ketika itu menyebabkan dia terkelu. Dia tak mampu berhujah, meskipun segala yang dikatakan oleh ibunya itu terlalu bercanggah dengan pendiriannya yang sebenar. Waktu muda sebeginilah sewajarnya remaja memperbaiki diri, bagaimana jika ajal menjemput kita di kala kita lalai pada usia remaja? Ajal itu tidak mengenal umur ibu!

Apabila diimbas kembali, Humaiya sedikit kesal kerana gagal mempertahankan pendiriannya, mahu saja dia meluahkan segala yang terbuku di lubuk hati. Mahu sahaja dia mengadu kepada ayah, tetapi rasa berat hati kerana ayahnya berada di luar negara menguruskan krisis kerja. Takut menambahkan tekanan ayah tercinta, lagi pula dia rasa masih mampu memujuk ibunya. Dia juga tahu kalau ayah malas mahu bertelagah dengan ibu.

"Akak! Cepatlah, giliran akak ni." Balqis merungut melihat kakaknya mengelamun.

Humaiya tersentak.

"Oh, maafkan akak ya. Akak dah takde mood nak main. Sambung nantilah."

Balqis mengeluh panjang.

Humaiya turun ke dapur untuk meneguk secawan air. Air mukanya berubah apabila melihat mamanya di dapur. Dia segera mengalihkan pandangan supaya tidak bertembung mata dengan ibunya. Ibunya cuba mencari perhatian Humaiya, tetapi gagal.

"Humaiya! Kenapa bermasam muka dengan ibu? Humaiya mahu jadi anak derhaka ke!."

Humaiya tersentak. Ibunya tiba-tiba melenting.

"Akak minta maaf ... akak tak bermaksud nak..."

"Itulah Humaiya! Taksub sangat nak bertudung labuh! Kenapa susah sangat nak patuh apa yang ibu tak kasi buat!"

Belum sempat Humaiya berkata kata, ibunya kembali melenting. Humaiya segera beredar ke bilik, tangisannya menjadi semakin esak. Balqis terkejut melihat reaksi kakaknya yang sedemikian tetapi tidak berani menegur. Dia segera keluar dari bilik, memberi privasi kepada kakaknya.

"Maafkan akak bu..akak tak bermaksud nak jadi anak derhaka..."

Tangisan Humaiya makin laju, mukanya disembam ke bantal. Dia memerlukan kata-kata penguat, kata-kata nasihat bagaimana dia mahu mengendalikan masalah ini. Keyakinan Humaiya runtuh menghempap bumi. Hatinya terluka apabila digelar sebegitu oleh ibunya. Rasa kesal menyelubungi diri.

"Urghh, tak patut aku bermasam muka!."

Dia teringat nasihat ustazahnya di sekolah yang menasihatinya supaya jangan sekali-kali menunjukkan sikap derhaka kepada ibu bapa walaupun kadang-kadang kita tak sehaluan dengan mereka. Humaiya beristighfar. Menyesali diri. Dia sepatutnya bersabar, memohon kepada Ya Rabb supaya melembutkan hati ibunya. Dia menghentikan tangisnya sambil membetulkan duduk di atas katil.

"Aku kena betulkan keadaan."

Humaiya nekad.

* * * * * * *
Surat itu dilipat rapi setelah berulang kali dibaca, bagi memastikan susunan ayat diatur sempurna. Supaya mudah difahami ibunya. Humaiya menyelinap masuk ke dalam bilik ibunya, jam dinding yang tergantung dipandang sekilas. Dua pagi. Diperhatikan pula wajah ibunya yang sedang diulit mimpi, timbul rasa kasihan dalam hati Humaiya. Sudah masuk dua minggu mamanya tidur sendirian dek kerana ayahnya yang berada di luar negara.

Dia segera mempercepat langkah, namun dengan berhati-hati supaya ibunya tak terjaga. Gayanya seperti pencuri yang memecah masuk ke rumah orang. Surat dalam genggamannya segera diletakkan di atas meja solek ibunya .

"Harap harap mama baca lepas aku pergi besok...", monolog Humaiya.

Awal pagi berikutnya Humaiya segera bersiap. Setelah usai dia segera berjalan keluar dari rumah dengan langkah yang berat.

* * * * * *

"Humaiya ....".

Ibu Humaiya menitiskan air mata membaca surat Humaiya . Surat itu menjelaskan segala isi hati Humaiya, ibu Humaiya sedikit kesal kerana menegah anaknya daripada melakukan perkara yang baik. Kesal kerana dia sentiasa mempersoalkan perbuatan mahmudah dan bukannya mempersoalkan perbuatan mazmummah. Titisan demi titisan air mata jernih berderai turun di pipinya...

* * * * * *

Waktu kelihatan sudah hampir melepasi tengah hari. Kelihatannya Humaiya dalam perjalanan pulang ke rumah setelah selesai latihan bola jaring di sekolah. Walaupun sedang musim cuti persekolahan akhir tahun, pasukan sekolahnya kekal aktif supaya dapat bersedia sebaik mungkin untuk perlawanan pada musim persekolahan tahun depan.

"Assalamualaikum! Humaiya dah balik!"

Humaiya membuka tali kasutnya lalu memasuki pintu rumah .

"Eh, akak dah balik. Penat latihan bola jaring tadi?"soal Balqis.

"Penat sangat..."

"Ohh, akak mesti lapar kan? Mama masak special untuk akak tau."

Humaiya senyum girang. Kelihatan mamanya berjalan menuju ke arahnya lalu memeluknya erat.

"Ibu minta maaf...ibu tak patut halang Humaiya, lagipun kalau Humaiya pakai macam tu terjagalah sikit anak ibu ni..."

Alhamdullilah ! Satu lafaz syukur diucapkan .

"Humaiya pergilah masuk bilik, tengok ada apa atas katil."

Humaiya terus mengatur langkah laju ke biliknya, sebaik membuka pintu dia terlihat sehelai tudung labuh di atas katil. Tudung labuh berwarna krim dan masih berbau kedai. Kelihatan ada sehelai nota di atasnya .

"Sehelai Tudung Labuh"
from ibu :)

Humaiya tersengih.



TAMAT.

-Artikel iluvislam.com

**************************************************************************



Lima tahun yang lepas, saya juga pernah mengalami keadaan seperti Humaiya. Memang sedih dan kecewa apabila ibu yang melahir dan membesarkan menghalang kita menutup aurat dengan sempurna seperti yang termaktub di dalam Al-Quran dan hadith rasulullah saw.

“Kenapa labuh sangat tudung tu? Tak cantiklah…pendekkan sikit” suruhan ummi suatu hari pada lima tahun yang lepas.

Tetapi, dengan sifat degil saya, terpaksa membiarkan suruhan itu masuk ke telinga kanan, keluar ke telinga kiri. Selama hampir setahun berada di Kolej Matrikulasi Perak, saya mula bertudung labuh. Dan setahun itu jugalah saya bersabar, bersabar dan terus bersabar.

Dalam tempoh proses mencari hidayah itulah, saya mengenal Ustaz Ahmad Awang (nama yang tertera di shout box blog saya), seorang murobbi saya sewaktu di matriks. Beliau mengenalkan saya kepada cara hidup Islam yang sebenar, usrah, jemaah dan sahabat-sahabat yang saya rindui sekarang. Terngiang-ngiang kata-kata semangat yang sering ustaz lontarkan pada saya.

“Bersabarlah…suatu hari nanti pasti Allah mudahkan dan datangkan hidayahNya,”

Setelah setahun selepas proses perubahan itu, suatu hari sewaktu saya balik ke rumah, saya lihat ummi bertudung labuh jua. Apa lagi yang harus saya ucapkan selain syukur ke hadrat Ilahi yang tidak terhingga.

Kini, hanya doa dan usaha yang berterusan untuk bersama ummi, abah, dan adik-adik saya agar dapat bersama melangkah ke syurga-Mu ya Allah.

Alhamdulillah…tiada lafaz yang agung melainkan dengan memuji-Mu ya Allah



p/s: teringin nak ziarah ke rumah Ustaz Ahmad tahun ini. Setiap tahun datang ziarah sejak keluar dari matriks . Moga Allah mudahkan untuk tahun ini pula... :)

Thursday, April 7, 2011

Muhasabah Cinta

Takut melihat orang-orang yang bersolat seperti ayam mematuk,

Risau melihat kanak-kanak yang tidak pandai lagi bersolat walaupun telah melepasi umur 7 tahun,

Apatah lagi orang dewasa yang tidak pandai bersolat,

Takut melihat orang yang bersolat tetapi tidak memenuhi rukun dan syarat sah dengan betul,

Belajarlah...

Selagi nyawa dikandung badan...

Lebih-lebih lagi solat para da'ie,

Sempurnakah??

Khusyukkah??

Tepuk dada, tanya iman...

Hanya dengan solat yang sempurna dan khusyuk mencegah kita dari kemungkaran.

Muhasabahlah CINTA sebenar kita setiap masa


Sedikit perkongsian penghayatan solat sebenar

Allahu Akbar
Allah Maha Besar

Doa Iftitah
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, Ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

Al-Fatihah

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

Bacaan Ketika Rukuk

Maha Suci TuhanKu Yang Maha Mulia dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika bangun dari rukuk

Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan ketika iktidal

Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.

Bacaan ketika sujud

Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud

Ya Allah, ampunilah daku, Rahmatilah daku, kayakan daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku hidayah, sihatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.

Bacaan ketika Tahiyat Awal

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.

Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya.

Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan ketika Tahiyat Akhir

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Doa Qunut

Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.

"wahai tuhan ku tak layak kesyurgamu ... namun tak pula aku sanggup keNerakamu... .kami lah hamba yang mengharap belas darimu ."ya allah jadikan lah kami hamba2 mu yang bertaqwa..ampunkan dosa2 kami .kedua ibubapa kami .dosa semua umat2 islam yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia"