Tuesday, June 22, 2010

Denyutan Nadi Sebuah Perjuangan



“Jauh di sudut hati...diri ini amat dahagakan usrah”

Tersentak saya tatkala membacanya. Saban minggu yang kerap turun ke negeri kelahiran membuatkan saya lupa sebentar amanah di kampus. Sehingga adik-adik usrah yang disayangi turut dilupai.

Banyak yang ingin dikongsi bersama mereka, semetelah melalui liku-liku perjuangan dalam beberapa masa. Namun, apa yang kita lalui ini masih terlalu sedikit dibandingkan dengan Zainab Al-Ghazali, tokoh mujahidah Ikhwanul Muslimin, Dr Maryam Soleh, tokoh muslimat pejuang HAMAS. Tidak perlu jauh kita merenung. Cukup di dalam negara juga. Ustazah Nuridah Salleh, YB Dr Lo’ Lo’, Senator Mumtaz, YB Dr Halimah Ali, Dr Najihatussolehah dan ramai lagi. Semuanya menggamit semangat untuk terus istiqamah menegakkan daulah islamiyah di bumi Allah ini.

Beberapa minggu yang lepas turut menerima pesanan ringkas bertanyakan khabar usrah. Saya sering mengatakan usrah adalah nadi sebuah perjuangan. Namun, kini...

Refreshment perlu dijalankan semula. Taklifan tarbiyah sering menguji setiap kata-kata yang dilontarkan. Bukan sahaja hubungan dengan Allah yang perlu dijaga, malah hubungan dengan orang-orang di sekeliling kita terutama dengan ummi dan abah.

Denyut nadi taqwa kembali laju semula. Denyut nadi taqwa ini tidak boleh hanya sekadar berdenyut dalam diri, malah perlu dihembuskan ke dalam diri mereka yang kekeringan. Lantaran haus dan dahaga dengan kata-kata Allah.

Buku Cinta di Langit Gaza karya Ustaz Riduan Md Nor memberikan SESUATU. Begitu juga dengan program tarbiyah negeri kelahiran saya. Usul Dewan Muslimat di dalam Muktamar ke-56 yang menolak penubuhan Dewan Muslimat Muda memberikan anjakan paradigma.

Namun, bukan itu sahaja yang memberi taujihad. Ujian- ujian yang dilalui meninggalkan kesan di hati. Tidak pernah sesaat Allah meninggalkan diri kita. Malahan, turut diberi “penghargaan” dengan agena-agenda Dia yang diberikan bagi menegakkan agama Islam. Sungguh, Allah tidak pernah meninggalkan kita.

Berdiri dan berbual panjang bersama Puan Noraini Hussein, Timbalan Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor mengegarkan naluri perjuangan. Ah...insan di sebelah saya ketika itu sungguh hebat. Pesan terakhirnya supaya mencari teman hidup yang bersama-sama.

Kisah-kisah di bumi Gaza saya tatapi. Menitis air mata tatkala membacanya. Mereka sungguh hebat. Lantaran berjuang atas dasar taqwa. Kerana mereka berjuang bukan sekadar semangat, namun apa yang lebih penting, mereka sedar akan matlamat dan misi terakhir yang perlu terlaksana. Kalimah Allah perlu ditegakkan kembali, menyahkan keparat-keparat zionis israel dari bumi Palestin.

Jika dilihat kepada muslimat Palestin, mungkin bagai langit dan bumi apabila digandingkan dengan muslimat di Malaysia. Bibir-bibir mereka sentisa basah dengan ayat-ayat Allah, Al-Quran berada dalam hati kerana mereka menghafaznya. Mereka berbicara bersama dengan dalil. Terlalu indah tutur kata mereka. Hadith 40 berada di dalam genggaman.

Malahan, mereka membuang rasa cemburu untuk dimadukan oleh suami mereka. Kerana saban masa, ada sahaja anak-anak mereka yang syahid di jalan Allah. Bagi mereka, 5 orang anak yang mati syahid, maka 10 orang anak yang Allah akan gantikan ke dunia semula. Serasa ingin bersama mereka berjuang membebaskan bumi kiblat pertama itu.

Dada-dada akhbar dan perkembangan arus media semakin menghimpit perasaan. Gejala sosial dan kebejatan meruncingnya keadaan politik semakin meruntun nadi perjuangan. Nah...tanggungjawab dan amanah kita semakin bertambah. Daya pemikiran kritikal dan pengurusan juga perlu dipertingkatkan. Allahurobbi...cukuplah ALLAH bagiku.

Sunday, June 13, 2010

Kelahiran Al-Fateh ke-II


Mereka berdua sangat rapat. Kakak dan adik ini pasti akan berceloteh panjang apabila bertemu. Sambil berceloteh, si kakak sempat bermain-main dengan pipi dan perut adiknya.

“Hee...geramnya akak...bila nak kurus ni??” Si kakak geram dengan lemak-lemak yang berada di sekitar tubuh adiknya. Adiknya memang seorang yang tembam.

“Tahun depan...”

Jawapan yang sering kali diberikan oleh adiknya, namun, adiknya tetap tidak kurus-kurus kerana makanan kegemarannya adalah Ayam Goreng.

Sambil adiknya mengunyah tembikai yang dipotong, si kakak bercerita. Seharian tidak berjumpa walaupun tinggal sebumbung. Si kakak pergi ke mesyuarat manakala adiknya yang tidak pernah duduk diam pasti akan pulang ke kampung yang hanya memakan masa selama 30 minit dari rumah mereka. Pantang dipelawa abah, pasti adiknya laju mengikut abah yang pulang ke kampung menguruskan ladang cendawan. Sepupu yang ramai di kampung pasti menjadi sasaran untuk main bersama.

“Alwee nak tau tak kenapa akak tak nak pergi Singapore?”

“Kenapa?” Mulut adiknya comot dan penuh dengan tembikai.

“Akak ada program hari Sabtu,” si kakak menyambung.

“Ha...program kan hari sabtu..boleh la ikut sekali pergi Singapore,” Alwee memujuk tanda mahu bersama.

“Memang la...tapi program tu banyak lagi tak settle...duit...cenderamata...jamuan lagi,” si kakak menerangkan sambil mencubit pipi adiknya sekali lagi.

“Ooo...patut la,” adiknya hanya mengiyakan tanpa mahu menghalang kakaknya berjuang.

“Alwee...dah besar nanti, kena jadi macam akak tau...pergi berdakwah pada masyarakat..” si kakak menyambung tanda harapannya sangat besar pada adiknya yang disayangi.

“Iye...ok...” Sambil membesarkan bola matanya tanda adiknya bersetuju mahu mengikut jejak langkah kakaknya.

“Alwee nak tau akak ada program apa Sabtu ni?”

“Apa dia?”

“Program tarbiyah...tau tak maksud tarbiyah??” kakaknya mula ingin mendidik jiwa haraki.

“Tak...ooo...macam motivasi ke kak?” adiknya cuba meneka.

“Ha...pandai pun...tapi motivasi ni kecik sikit..tarbiyah ni lagi besar..maksud dia mendidik...kena buat berterusan sampai hujung nyawa...”

“Habis tu kena duduk je la kat situ sampai tua?” adiknya menyoal sambil menggayakan gaya orang yang sudah tua sedang duduk. Barangkali menggambarkan program tarbiyah yang kakaknya akan hadiri perlu duduk di situ sampai ke usia tua.

Si kakak tertawa dengan keletah adiknya yang menggambarkan tarbiyah dengan cara sebegitu.

“Bukan macam tu la....maksud akak, tarbiyah tu kena terus berjalan kat mana-mana pun...contoh macam akak tengah cakap dengan alwee sekarang ni...ni tarbiyah maksudnya...mendidik..,”

“Ooo...” hanya huruf ‘O’ yang mampu dikatakan hatta usia Alwee yang masih mentah untuk memahami perkataan tarbiyah.

“Cuba tengok masalah kat luar sekarang...judi....”

“Judi bola...” Adiknya terus menyampuk.

“Ha....tau pun...arak lagi...rakyat Palestin lagi...sape nak selamatkan kalau bukan Alwee??” si kakak memuji dan membakar semangat adiknya.

“Bukan Alwee je la...semua....” keletah adiknya berusia 11 tahun ini berbicara sambil tangannya dihayunkan tanda menunjukkan misi menyelamatkan ummah terletak pada tangan semua orang.

Lagaknya seperti sudah berusia 15 tahun. Kalah abangnya, yang agak kurang matang berfikir soal ummah. Namun, ketiga-tiga adik si kakak perlu ditarbiyah dengan baik walau kadang si kakak merasakan ada yang terlambat. Namun kerana rahmat dan syurga Allah itu luas, si kakak tidak mahu mengalah. Walau amanah dan tanggungjawab semakin menghimpit dirinya. Menghadiahkan amalan dari Allah yang tidak putus walau jasad sudah terkubur kepada abah dan umminya dengan adik-adiknya yang akan menjadi soleh dan solehah...aminn

Kerana hidup ini untuk AGENDA ALLAH...

~Thabat atas Jalan TaqwaNYA~

Wednesday, June 9, 2010

Apabila Kebenaran Dikunci



'Yahudi & Judi': Empat pemimpin PAS ditahan

Polis menahan Ketua Pemuda PAS Selangor Hasbullah Ridzwan dan tiga lagi pemimpin akar umbinya di tapak ceramah Pakatan Rakyat di Batu Caves, Selangor.

Hasbullah berkata beliau ditahan kerana enggan bersurai apabila polis mengarahkannya supaya berbuat demikian, ketika berkumpul bersama kira-kira 20 orang yang lain di perkarangan Dewan Kompleks Muhibbah di Taman Bolton.

Turut ditahan dalam kejadian pada kira-kira jam 8 malam tadi ialah ketua pemuda PAS bahagian Gombak Syarhan Humaizi Halim, setiausaha Damanhuri Dol dan ketua penerangannya Afyan Mat Rawi.

Ketiga-tiga orang tersebut ditahan kerana menghalang tugas polis, kata Hasbullah lagi ketika dihubungi lewat malam tadi.

Kesemua mereka dibawa ke ibu pejabat polis daerah Gombak dan dibebaskan pada kira-kira jam 11.50 malam dengan jaminan polis.


Hasbullah mendakwa, ceramah bertema kan 'Yahudi dan Judi' anjuran lajnah penerangan PAS itu pada awalnya dijadualkan diadakan di tempat berkenaan terpaksa dipindahkan ke Stadium Selayang, hampir 10 kilometer daripada tempat itu.

"Polis menutup tempat itu jadi kami terpaksa ambil tempat alternatif ke Stadium Selayang.

"(Polis) kata sebab penganjuran ceramah ini tidak ada permit, dan mereka kata (Dewan Kompleks Muhibbah) itu kawasan terbuka.

"Hakikatnya tempat itu berbumbung dan sememangnya berada dalam kawasan berpagar," kata Hasbullah lagi.


Di stadium berkenaan, ceramah oleh pemimpin kanan Pakatan Rakyat, antaranya oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang turut disertai peserta flotila pro-Palestin yang diserang tentera Israel baru-baru ini.

Walaupun berlaku pertukaran tempat di saat-saat akhir, hampir 2,000 orang menyertai ceramah tersebut.

Sementara itu menurut Harakahdaily ceramah malam ini dihalang pihak keselamatan dengan alasan dibuat di tempat terbuka.

Versi internet akhbar organ PAS itu melaporkan majlis itu tidak dapat diteruskan di situ kerana pihak penganjur tidak mendapat kuncinya