Sunday, March 28, 2010

Angka yang Mengundang Bala

Saban tahun, segala perkara di negara kita ini semakin meningkat. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah kepada sebesar-besar perkara.

Harga tol...

Harga keperluan barang makanan...

Harga minyak...

Jumlah kemalangan jalan raya...

Jumlah perceraian...

Dan sekarang kita melihat fakta yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di dalam akhbar harian dengan angka 17,303. Angka kisah ini juga turut meningkat. Apa lagi hendak dikaitkan dengan JPN kalau bukan kisah tubuh-tubuh kecil yang dilahirkan tanpa akad nikah yang sempurna. Ini adalah angka yang didaftarkan.



Tahun 2007 – 16,100
Tahun 2008 – 16,541
Tahun 2009 – 17,303

Jumlah yang meningkat sebanyak 762 orang bayi yang tidak berdosa telah dilahirkan tanpa sah taraf dan didaftarkan di JPN. Kita lihat pula kepada angka yang lain.

Dalam tempoh lima tahun yang lalu bermula 2005 hingga 2009, jumlah anak luar nikah yang terhasil mencecah kepada 74,723 orang bayi yang tidak berdosa.

Dari tahun 2000 sehingga kepada tahun 2008 pula, Dr fatimah Abdullah dari UKM mendapati angka anak luar nikah yang telah dilahirkan telah berjumlah 257,000 orang bayi yang didaftarkan di JPN.

Sekarang kita lihat kepada angka bayi yang tidak didaftarkan. Bayi-bayi yang dibuang seperti membuang sampah apabila hanya diletakkan bersebelahan tong sampah, di longkang, dibakar sehingga rentung dan yang paling menyayat hati apabila bayi tersebut digonggong oleh binatang.



Angka ini tidak dapat dikira, namun anggaran yang boleh dinisbahkan adalah 1:1 iaitu angka anak luar nikah yang didaftarkan adalah bersamaan dengan angka anak luar nikah yang tidak didaftarkan.

Kita genapkan angka 257,000 ini kepada 250,000 anak luar nikah yang didaftarkan. Jika dicampur dengan angka anak luar nikah yang tidak didaftarkan bermakna 500,000 anak luar nikah yang telah dilahirkan sepanjang tempoh lapan tahun bermula tahun 2000 sehingga tahun 2008.

Sekarang kita kira bilangan bayi yang telah dilahirkan ini kepada bilangan penzina yang melibatkan penzina lelaki dan penzina perempuan.

500,000 x 2 = 1 juta

Bermakna 1 juta rakyat Malaysia yang terbabit dengan kes penzinaan dari segi kes rogol, pelacuran dan sebagainya. Ini belum termasuk dengan angka pemaksiat-pemaksiat yang lain seperti penzina yang tidak dapat anak, penzinaan dengan perempuan simpanan dan penjenayah seksual yang lain di Malaysia, angka tersebut boleh mencecah hampir kepada 2 juta orang penzina.

Sekarang kita lihat kepada angka bayi yang dilahirkan ini mengikut bangsa di Malaysia.

Tempat pertama – 91,922 bayi dari kaum-kaum lain
Tempat kedua – 74,723 bayi dari kaum Melayu (orang ISLAM!!)
Tempat ketiga – 23,696 bayi kaum India
Tempat keempat – 23,692 bayi kaum Cina

Angka-angka ini memberi pelbagai maksud yang mendalam. Islam yang mulia namun telah kembali dagang kepada zaman jahiliyyahnya. Hari kiamat yang semakin hampir. Musuh-musuh Islam semakin kuat mengetawakan kita dengan langkah-langkah mereka yang semakin berani dan berstrategis untuk menghancurkan Islam.



Namun, persoalannya bagaimana dengan langkah kita??

Adakah skill dakwah kita telah gagal dan tidak berstrategis??

Atau ini hakikatnya yang terpaksa kita terima bulat-bulat yang seolahnya menjadi perkara kelaziman dalam kehidupan. Atau satu cara hidup masyarakat Melayu Islam kita hari ini.

Tepuk dada, tanya dan koreksilah kembali Iman, Islam dan Ihsan dalam diri...

Wa'allahualam

Tuesday, March 23, 2010

Optimis Ubah Kesukaran Menjadi Peluang

Rintihan seorang adik yang masih di tahun 1 saya dengari. Kagum dengan anak usrah sendiri apabila baru di tahun 1, sudah memegang portfolio tarbiyah. Portfolio yang agak berat kerana gerak kerjanya adalah sepanjang masa, bukannya bermusim.

“Susah bawa tarbiyah ni. Nampak macam usrah je walaupun skop tarbiyah besar sebenarnya. Tapi itu pun masih susah. Saya pun rasa tak yakin nak bawa. Belum masuk soal perkaderan lagi.” Keluhan dilepaskan dengan perasaan rendah diri.

“Erm..sebelum tu, sekarang ni setakat mana dah perjalanan usrah berjalan?” sengaja saya ingin membuka minda adik tersebut.

“Kalau diikutkan, ramai yang kata susah nak gerak. Alasan yang paling banyak sebab tak ada masa, banyak gerak kerja dan lain-lain. Kalau yang gerak pun, dua tiga kerat je.”

“Kalau yang tak gerak tu, memang tak patut sebenarnya. Tak ada alasan pun sebenarnya tak boleh gerak. Tapi, berdasarkan pengamatan akak, kalau yang gerak tu pun sebenarnya masih bermasalah.”

“Kenapa kata gitu plak kak?”

“Sebabnya yang gerak tu kebanyakannya ‘asal jalan’. Maksud akak, manhaj sebenar hidup sebagai seorang muslim tak diterapkan sebaiknya pada anak usrah masing-masing. Silibus tak diberi sebaiknya. Maksud akak ‘main redah je’ bila buat usrah. Maka, kita akan terus menerus hanya menghasilkan kuantiti berbanding kualiti. Kualiti tidak lagi menjadi fokus utama dalam perkaderan.”

“Tapi kak, ada yang cakap jadi macam ni sebab naqib dan naqibah yang tak yakin, tak cukup ilmu, rendah diri dan sebagainya.”

Saya termenung panjang. Hakikatnya memang susah kerana ‘ibu dan ayah’ nya sudah begitu. Maka, bagaimana hendak melahirkan ‘anak-anak’ yang lebih hebat.

Pulangnya, saya terpandang buku “30 Strategi Membina Pengaruh” karya Zamri Mohamad dan Haeqal Zulqarnain. Saya tertarik dengan kisah “Dua Muaz, Satu Pengaruh, Satu Keyakinan” yang sedikit sebanyak boleh digarap dalam menyelesaikan krisis naqib dan naqibah ini.

Pada suatu ketika dalam Perang Badar, Abdul Rahman bin Auf diapit oleh dua orang remaja iaitu Muaz bin Amru dan Muaz bin Afra’.

Muaz bin Amru berkata, “Wahai pakcik, adakah pakcik mengenali Abu Jahal? Saya mendapat tahu dialah yang paling banyak menyakiti Nabi Muhammad. Pakcik, tolong tunjukkan Abu Jahal kepada saya kerana saya mahu membunuhnya.”

Abdul Rahman terkejut mendengar soalan yang diajukan oleh remaja itu namun berjanji mahu menunjukkan Abu Jahal kepadanya.

Kemudian, Muaz bin Afra’ datang dan berbisik di telinganya, “Pakcik, adakah pakcik kenal Abu Jahal? Sekiranya pakcik kenal, tunjukkan kepada saya. Saya mahu membunuh Abu Jahal kerana saya dengar dia yang paling banyak menyakiti Nabi Muhammad.”

Pada ketika itu, Abdul Rahman mula berasa tenang berada di tengah dua orang remaja ini. Dia mula berasa yakin dengan mereka kerana kedua-duanya menunjukkan azam dan kesungguhan yang tinggi. Malah mereka berdua juga mensasarkan yang tinggi bagi dicapai iaitu membunuh Abu Jahal, ketua orang Quraisy dalam Perang Badar.

Apabila Abdul Rahman ternampak Abu Jahal yang sedang dikawal ketat oleh orangnya, dia segera memberitahu Muaz bin Amru dan Muaz bin Afra’.

Namun belum sempat dia habis bercakap, kedua-dua mereka sudah meluru ke arah Abu Jahal. Kedua-dua Muaz berlumba-lumba mahu membunuh Abu Jahal.

Mereka berdua merempuh barisan tentera Quraisy sambil mengayunkan pedang mereka ke kiri dan ke kanan. Orang yang berada di sekeliling Abu Jahal habis ditebas oleh mereka.

Kedua-duanya bersungguh memerangi musuh. Mereka memecahkan benteng musuh dan mencipta ruang dan peluang kepada orang lain menentang musuh.

Semua orang tidak menjangka serbuan tangkas yang dilakukan oleh dua orang remaja belasan umur ini. Mereka memukul Abu Jahal dengan pedang hingga dia terjatuh dan cedera parah. Ketika itu, datang Ikramah bin Abu Jahal untuk membantu ayahnya. Dia berjaya membunuh Muaz bin Afra’ yang sedang berada di tengah-tengah tentera Quraisy.

Muaz bin Amru digasak hebat hingga terpaksa berundur sambil memerangi tentera Quraisy. Sebelah tangannya terpotong tetapi masih tergantung pada badannya.

Akhirnya, dia berjaya juga berundur ke kawasan tentera Islam bagi mendapatkan rawatan. Sesudah tangannya dibalut, dia kembali semula ke medan tempur. Namun, tangannya yang hampir terputus itu menganggu pergerakannya.

Muaz bin Amru mengambil tindakan nekad. Dia memijak tangannya dengan kaki lalu terus memutuskannya bagi memudahkan pergerakannya.

Muaz bin Amru terus mara memerangi tentera Quraisy hingga akhirnya dia gugur di medan tempur. Muaz bin Amru dan Muaz bin Afra’, dua orang remaja yang baru berusia belasan tahun akhirnya terkorban dalam perang Badar. Namun hasrat mereka tercapai kerana ketua orang Quraisy, Abu Jahal juga turut menemui ajalnya di situ.




Mereka masih dalam belasan tahun namun dengan pengaruh yang mereka bawa, maka terhasilnya keyakinan dalam diri mereka bagi menentang Abu Jahal. Sungguh mengagumkan...

Berbalik kepada permasalahan usrah yang terjadi, pembawaan diri Muaz bin Amru dan Muaz bin Afra’ boleh digarap sebaik mungkin. Seorang naqib dan naqibah perlu membina pengaruh yang besar terhadap anak usrah mereka.

Pengaruh ini perlu dibina dengan keyakinan. Naqib dan naqibah perlu yakin dengan diri sendiri dalam pembawaan usrah. Yakinlah...

Keyakinan yang tumbuh akan mengasak diri sendiri untuk memahami silibus yang perlu dibawa dan manhaj kehidupan seorang muslim. Menggarap sebanyak mungkin ilmu dalam diri supaya banyak yang boleh diberi kepada anak usrah masing-masing.

Umpama bapak borek, anak rintik, anak usrah sendiri akan mencari lebih dalam aspek ilmu. Maka kualiti diri setiap dari kita akan bertambah dan terus bertambah.

Jangan tinggalkan semua andai tidak mampu sekalipun.

Kerana Usrah adalah Nadi Sebuah Perjuangan.

Wednesday, March 17, 2010

Saat bahagia ketika Memberi


“Assalamu’alaikum ustzh, esok enti free x antra 8-9.30pg?”

“Wa’alaikumussalam, knape?ade ape?”

“Ana nk mntk tlg sgt ni. Dah x nmpk org lain selain enti yg dkt dgn kajang. Mcm ni, esk ade kem motivasi skola di Kem Isi Rimba, Kg Kemensah. Dkt dgn zoo negara. Ana nk mntk tlg bwk ank murid ana ke kem tu dr rumah die kt kjang. Mak ayh die hnya akn lpas kalu ada yg blh tlg bwk die dr rmah ke kem tu,”

Minda saya ligat berputar. Memikirkan esok adalah hari praktikal bekerja. Masakan boleh saya keluar sesuka hati. Namun, prinsip dalam diri salah satunya yang akan memberikan kebahagiaan adalah dengan MEMBERI. Maka saya terus bersetuju dengan permintaan seorang sahabat ini yang mengharapkan pertolongan saya untuk membawa anak muridnya ke Kem Isi Rimba, Kg Kemensah tersebut. Walaupun dalam hati memikirkan bagaimana untuk saya tolong dalam keadaan saya perlu masuk bekerja.

Petangnya, saya mendapat tahu ada beberapa amanah dan tanggungjawab sahabat saya yang lain tidak terpikul. Maka, saya menawarkan diri untuk membantu. Membantu dalam keadaan pastinya akan membantu jemaah dan diri saya juga dalam urusan kewangan. Namun, masih lagi risau kerana tiada kemahiran dalam urusan mengedit akaun-akaun. Niatlah dengan baik, pasti Allah akan membantu.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada rasul-Nya, niscaya Allah memberikan rahmat-Nya kepadamu dua bahagian, dan menjadikan cahaya itu kamu dapat berjalan serta Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang,” ayat 28, Surah Al-Hadid.

Ditakdirkan Allah, ujian sakit datang keesokan harinya. Aduh...sudahlah telah berjanji hendak menolong dua sahabat saya pada hari tersebut. Berjanji membawa anak murid ke Kem Isi Rimba, Kg Kemensah dan urusan mengemaskini akaun-akaun yang berterabur.

Pagi terus berlalu tanpa sebarang bantuan yang dapat saya berikan. Sungguh kecewa dengan diri sendiri dan risau kerana tiada pemberian yang dapat diberikan.

Kerisauan yang bertambah mengagahkan diri sendiri untuk bangun bagi MEMBERI. Sungguh, teramat nikmat dan bahagia apabila kita MEMBERI tatkala orang lain dalam kesusahan mahupun dalam kesenangan.

Laptop terus dibuka bagi melaksanakan agenda menyusun dan mengemaskini akaun-akaun yang berterabur. Beberapa akaun yang tidak lengkap, tidak ada dan hilang menjadikan saya terus menghubungi mereka yang terbabit.

Jam yang menunjukkan pukul 12 tengahari menjadikan saya risau dengan janji saya yang satu lagi. Menghantar anak murid sahabat saya yang berada di dalam tingkatan lima. Message dihantar tanda meminta maaf atas kelewatan dan janji baru dimeteraikan untuk menghantar adik tersebut selepas zuhur.

Azan zuhur kedengaran menjadikan saya gelisah. Akaun-akaun masih lagi berterabur dan banyak yang tidak lengkap lagi. Sakit yang kejap-kejap datang lagi saya halau sejauh mungkin agar konsentrasi saya untuk MEMBERI tidak terganggu.

Selesai bersolat zuhur, saya terus menekan minyak bagi menyelesaikan misi MEMBERI yang kedua. Niat yang baik dan ikhlaskan diri itu sangat perlu dalam setiap perkara yang kita lakukan. Dengan izin Allah, misi kedua saya untuk MEMBERI berjaya tanpa sesat (sebab selalu sangat sesat tatkala memandu) ke mana-mana jalan yang salah. Alhamdulillah...

Tepat azan asar berkumandang, saya tiba di Bangi semula. Adik dari Kajang tadi selamat tiba di Kem Isi Rimba, Kg Kemensah. Banyak yang saya dapat setelah MEMBERI dari adik tersebut. Cita-citanya yang sangat tinggi demi mendaulatkan Islam di bumi Allah menjadikan saya kagum dengan adik tersebut. Iya, umurnya masih muda tetapi berjiwa besar seperti Sultan Muhammad Al-Fateh. Kerana ALLAH segalanya...demi ISLAM hendak diperjuangkan...

Sempat saya berkejar ke Pusat Kesihatan UKM bagi mendapatkan surat cuti sakit dan ubat. Destinasi terakhir adalah di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan. Merujuk kepada yang pakar bagi menyelesaikan baki akaun-akaun yang belum selesai. Sakit semakin menjadi-jadi apabila hari semakin petang. Akhirnya saya rebah setelah seharian menahan sakit.

Tautan ukhwah mampu berhadapan dengan sejuta mehnah. Ukhwah yang sebenar apabila kita bersama sahabat kita tika dalam kesusahan. Saat saya telah rebah, akhirnya ada sahabat yang menghulurkan sebungkus nasi bersama air dan ubat.

Sahabat saya ini membantu saya menyelesaikan sedikit lagi akaun-akaun yang belum habis diaudit. Maghrib yang berlalu saya habiskan masa untuk berehat dengan mengadap Ilahi. Kerana solat sebenarnya adalah waktu kerehatan seorang manusia. Seluruh jiwa, minda dan fizikal yang ditumpukan untuk tunduk kepada Allah sedang berehat tika bersolat.

Syukur yang teramat dipanjatkan kepada Ilahi. Jam yang menunjukkan 9.15 malam menyelesaikan dua misi saya untuk MEMBERI pada hari tersebut. Walau sakit yang datang, namun, erti bahagia MEMBERI lebih bermakna daripada segala-galanya telah saya rasai hari ini. Syukur hanya pada ALLAH...

Monday, March 8, 2010

Warkah dari Seseorang untuk Kita

Perutusan Sempena Dua Tahun Pakatan Rakyat

Selama ini kita tidak berfikir untuk menyebar Islam kepada bukan Islam. Selama ini tok-tok guru pondok kita hanya menyebar Islam sesama orang Islam. Meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan Umno, bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam. Sebenarnya, perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam.

Sebaliknya, PAS ada alasan dan sebab-musababnya kenapa menolak perpaduan dengan Umno. Antaranya,

1) Perjuangan Umno sebenarnya amat dhalalah (sesat sesesatnya), kerana menolak Islam dan mengasingkan politik dengan agama. Kesan menolak Islam itulah, banyak pihak tidak faham Islam, termasuk rakan kita yang bukan Islam.

2) Tindak tanduk Umno jelas mengkhianati perjuangan Islam, khususnya terhadap PAS. Berpandukan pengalaman lepas, PAS pernah membuat persetujuan masuk BN, maka ada yang menyokong dan menentang, sehingga ada kecelaruan dan munculnya golongan yang menentang kemasukan PAS dalam BN, seperti mana munculnya Bebas Bersatu sebagai serpihan PAS. Akibatnya lagi muncul pula Berjasa ketika PAS diambang kekalahan selepas diganyang Umno melalui peristiwa darurat 1977. Semuanya adalah nilai dan kesan pengorbanan besar PAS atas semata-mata ingin bersama Umno. Namun, pengorbanan itu tidak dihargai oleh Umno. Malah, PAS telah ditendang keluar. Ia sungguh perit bagi PAS untuk berbaik semula dengan Umno atau masuk balik BN.

3) Oleh sebab itu, PAS rela dan menyatakan komitmen tinggi bersama mengukuhkan perpaduan Pakatan Rakyat.

4) Begitu pula, semenjak pilihan raya umum 2008 lalu sampai ke hari ini, Umno menuduh PAS sebagai boneka DAP. Sedangkan apa yang berlaku di Pulau Pinang sebelum ini, Umno yang mendapat kuasa majoriti. Pun begitu, pemimpin parti Gerakan yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Jelas, dalam keadaan itu, meletakkan kedudukan Umno sebagai parti yang menjadi kuda tunggangan (boneka) parti Gerakan. Di samping tidak kurang pula, ada sejumlah kerusi yang sepatutnya Umno bertanding (di kawasan majoriti Melayu), tetapi secara tidak beradab telah menyerahkan kepada pemimpin Gerakan, MCA dan MIC bertanding dengan alasan, kononnya ia simbol permuafakatan kuasa dalam BN.

5) Sekarang PAS dilihat berjaya bersama Pakatan Rakyat. Ia suatu perkembangan baik, memandangkan dulu PAS sendiri rela tidak berkawan dengan DAP, kerana ada pemimpinnya yang menyerang Islam. Sebaliknya sekarang, para pemimpin DAP termasuk Karpal Singh tidak lagi menyerang Islam. Malah berlaku perkembangan yang agak baik apabila sudah ada kalangan pemimpin Pakatan Rakyat (termasuk DAP) sudah mula pandai baca Al-Quran dan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan DAP di Pulau Pinang sudah berani berikrar mengambil contoh gaya pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Sedangkan Gerakan, MCA dan MIC begitu lama (sejak merdeka) bersama Umno dalam BN, mereka itu tetap tidak faham-faham agama Islam.

Jadi, bersempena dengan dua tahun usia Pakatan Rakyat ini, sukacita kiranya para pemimpin dan pendukung perjuangan Pakatan Rakyat dapat menguatkan lagi tekad ke arah membina perpaduan dan persefahaman serta keyakinan agar terus utuh di atas prinsip keadilan untuk semua rakyat. Ini kerana prinsip tersebut adalah sejajar dengan ajaran Islam yang mengutamakan keadilan untuk semua kaum di negara.

Sehubungan dengan itu, demi mengukuhkan lagi Pakatan Rakyat dan bagi mempersiapkan diri mendepani banyak lagi cabaran mendatang, maka pihak PAS sewajarnya mengadakan satu seminar atas isu ”hak-hak bukan Islam di dalam pemerintahan berteraskan Islam” bersempena Muktamar PAS akan datang.

Ada baiknya seminar itu dapat menjadikan tulisan As-Syeikh Dr. Yusoff al-Qaradhawi, bertajuk ”Ghairul muslimin fil mujtama’ul-Islami” sebagai bahan rujukan penting untuk perbincangan. Mungkin dengan penganugerahan tokoh Maal Hijrah 1431 oleh kerajaan Malaysia kepada as-Syeikh Dr. Yusoff adalah suatu titik persetujuan awal kita bagi menerima idea-idea baik daripada beliau untuk difahami dan diamalkan dalam kerajaan. Sekaligus ia boleh diajak bersama para pemimpin politik bukan Islam menyertai seminar tersebut.

Sebenarnya, melalui seminar sedemikian, PAS boleh melakukan pendekatan yang baik dalam menghubungkan kefahaman antara pemimpin Islam dengan bukan Islam. Di samping PAS tidak seharusnya lupa terhadap jasa dan pengorbanan para ulama’ dan pemimpin Islam terdahulu. Dan sesungguhnya, pemimpin PAS sekarang begitu terhutang budi kepada para ulama’ terdahulu, kerana berkat hasil usaha mereka jugalah, sekarang ’orang Kelantan’ sudah berada di mana-mana sahaja dalam pelbagai sektor pembangunan Negeri dan Negara.

Dan, apa yang telah dilaksanakan di Kelantan hari ini adalah suatu simbol kejayaan politik Pakatan Rakyat. Maka, PAS dan kerajaan Kelantan hari ini sudah membuat banyak penambahbaikan kepada kedudukan dan kefahaman Islam itu sendiri. Ia turut merangkumi kehendak politik rakyat pelbagai kaum. Semuga akan datang, akan lahir kalangan pemimpin Islam yang mewakili pelbagai kaum – kalangan orang Cina atau India – layak menyambung sejarah Islam. Ini kerana sejarah awal Islam membuktikan orang Cina dan India terlebih dahulu menerima Islam daripada orang Melayu. Ia bermakna, orang Cina dan India layak dan mustahak turut sama menyebarkan Islam di negara ini.

Apa yang utama, penglibatan semua kaum dalam politik dan dakwah akan menyuburkan lagi nikmat persaudaraan di sebalik Allah Subhanahu wa taala jadikan manusia itu pelbagai kaum. Firman-Nya,

Maksudnya, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).
[al-Hujuraat, 49: 13]

Semuga amalan dan kebajikan yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa taala. Panjang usia Pakatan Rakyat, panjanglah keadilan untuk semua rakyat.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Mursyidul Am PAS,
merangkap Menteri Besar Kelantan.
22 RabiulAwwal 1431 bersamaan 8 Mac 2010.

http://www.blogtokguru.com/