Monday, January 18, 2010

Membetulkan Persepsi dan Perspektif

Pertama sekali, saya memohon keampunan dari ALLAH S.W.T serta kepada ibu dan ayah saya. Saya sangat takut andai persepsi yang berlawanan apabila sahabat-sahabat membaca artikel di bawah iaitu - Setitik Madu dan Secawan Gula

1. Kesilapan saya adalah menceritakan perihal hal sebenar dengan meletakkan nama saya yang sebenar dengan situasi yang saya alami.

2. Na'uzubillah, andai ada sahabat-sahabat yang membaca artikel ini bersifat umpatan atau memburukkan ibu dan ayah yang sangat saya sayangi. Na'uzubillah...jangan sekali-kali ada persepsi begitu.

3. Tujuan artikel ini adalah semata-mata untuk menceritakan pengalaman supaya dijadikan pengajaran kepada sahabat-sahabat yang mengalami perkara yang sama. Supaya doa yang dipanjatkan kepada Allah S.W.T jangan sekali-kali terputus dalam melembutkan hati ibu dan ayah agar bersama-sama dengan perjuangan menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini walaupun hanya menyokong.

4. Andai saya mengatakan amanah dan tanggungjawab yang saya pikul adalah banyak sebesar gunung sehingga tidak berupaya untuk pulang ke rumah selalu, itu adalah tidak betul. Sebelum ini, tidak pernah saya menyatakan perihal segala jawatan dan amanah yang saya pikul kepada ibu dan ayah saya. Tetapi entah kenapa, saya telah menceritakan perkara sebenar kepada ibu dan ayah saya pada ahad yang lepas.

5. Saya sangat tidak suka apabila ibu dan ayah saya berkecil hati dengan kelakuan saya. Saya terlalu dan amat memahami sebab keinginan ibu saya yang menginginkan saya sentiasa pulang ke rumah dalam waktu-waktu yang singkat ini. Maka, saya sangat bersedih apabila ibu dan ayah berkecil hati dengan kelakuan saya. Sekali-kali tidak bermaksud melakukannya...

6. Sampai ke saat ini, hati kecil saya sangat terlalu ingin ibu dan ayah saya memahami gerak kerja Islam yang suci ini setelah sekian lama saya memendamkan segala gerak-geri saya bergerak kerja Islam.

7. Sesungguhnya, segala ujian, mehnah dan tribulasi yang dialami sepanjang bergerak kerja Islam adalah sangat manis dan jangan sekali-kali kita mengeluh.

Ini adalah method dan kaedah saya memberi. Harap persepsi dan perspektif sahabat-sahabat yang membacanya tidak negatif. Mungkin ada sebahagian ayat atau perkataan yang salah saya gunakan walaupun sebenarnya saya tidak bermaksud negatif. Segala teguran dan nasihat sahabat-sahabat saya perlukan.

Wa'allahualam

Saturday, January 16, 2010

Setitik madu dan secawan gula

Kehadiran saya dan dua orang sahabat ke program Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor di Hotel Blue Wave, Shah Alam mengundang pelbagai perkara yang mengisi benak fikiran. Emosi sedih menguasai.

Dalam satu slot program semalam pula, saya mendengar Kak Ain sebagai salah seorang fasilitator program bercerita.

"Akak nak supaya semua alert benda ni terutama muslimin supaya faham keadaan muslimat. Akak tahu, semua yang ada kat sini, belum berkahwin lagi. Tapi, akak nak bercerita sedikit. Akak ada 3 orang anak. Umur 3 tahun, 2 tahun dan setahun. Bila akak pergi ke program-program, kadang diri akak rasa masyarakat memandang, leceh dan renyah apabila akak membawa ketiga-tiga puteri kesayangan. Akak takkan tinggalkan anak-anak akak di rumah walaupun ada pembantu. Sebab akak tahu tanggungjawab akak sebagai ibu. Ke mana-mana program pun akak akan bawa anak-anak akak bersama. Akak tahu nawaitu akak sumbangan untuk islam tetap kena jalan. Perkataan paling bahaya apabila adik-adik semua menyatakan "NAK BEREHAT". Tiada istilah rehat dalam kehidupan kita sebagai da'ei dan khalifah Allah walaupun sudah berkahwin dan mempunyai 10 anak sekalipun."

Kak Ain cukup gigih dan cekal ingin melaksanakan sesuatu untuk "Islamic Movement for Ummah". Masa yang diberikan oleh Allah S.W.T sebanyak 24 jam benar-benar dimanfaatkannya sebagai khalifah, da'ei, ibu dan juga isteri.

Kisah 'Asma bt Abu Bakar bermain di fikiran. Dalam keadaan sarat mengandung, beliau memberikan sumbangan yang sangat-sangat besar dalam penghijrahan Rasulullah dan Saidina Abu Bakar ke Madinah hanya dengan membawa bekalan makanan. Malah, turut bijak melakukan tipu helah semasa berhadapan musuh Islam, laknatullah kafir Quraisy.

Lantas, saya teringat, Ustaz Hasrizal pernah menyebut di dalam blognya. Masa yang benar-benar berkualiti semasa bersama keluarga adalah semasa ahli keluarga saling memperingati dan nasihat-menasihati. Masa yang berkualiti juga adalah apabila ahli keluarga benar-benar bersama-sama melakukan sesuatu aktiviti. Bukan bersama-sama di dalam satu rumah, tetapi masing-masing membuat kerja masing-masing.

Pagi tadi, saya terus pulang ke rumah mencium tangan bonda untuk meminta ampun dan maaf serta melakukan sesuatu untuk melihat beliau tersenyum gembira dengan kepulangan anak perempuannya. Namun,.............

"Ummi kecil hati dengan fifah. Hari tu kata dah janji nak balik tiap-tiap minggu sepanjang praktikal ni. Abah pun kecil hati. Dari umur 16 tahun, duduk asrama berjauhan dengan ummi dan abah, nanti nak kahwin akan-akan datang, ummi dah tak boleh kacau. Siapa lagi penting, persatuan dan jawatan tu ke atau ummi dan abah?"tanda ummi sangat marah

"Ummi, fifah sangat nak ummi faham amanah dan tanggungjawab fifah. Hari-hari, fifah doa, muhasabah diri, minta ampun pada Allah dan cari macam-macam cara untuk bahagiakan ummi dan abah."Air mata yang bercucuran menjadi peneman dan penguat tatkala sangat berasa keseorangan.

Pernah ada sahabat yang mempersoalkan:
"Kenapa tak cuba faham orang lain? Kenapa mesti nak orang lain faham diri kita?". Kadang-kala ayat ini perlu disangkal untuk waktu-waktu tertentu.



Dalam diri, hanya mampu berdoa. Kekadang rasa alangkah bagusnya ibu dan ayah saya memahami gerak kerja Islam ini. Maka, nilai masa bersama dengan keluarga walau hanya setitik madu sangat berharga dinikmati bersama dengan pelbagai manfaat. Berbanding dengan secawan gula yang walaupun banyak, namun nilai kalorinya yang tinggi kurang nilai harganya.

Ya Allah! Ampunilah bagiku segala dosaku dan juga dosa dua ibu bapaku dan kasihanilah mereka keduanya sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku di masa kecil.

Anakmu benar-benar mengharapkan keampunan dari ummi dan abah ;-(

Monday, January 11, 2010

Analogi Antara Masa Lalu & Masa Sekarang

Perasaan gian ingin menulis membuatkan saya sanggup untuk memendekkan waktu rehat saya. Sawang-sawang yang ada dibersihkan. Benarlah kata-kata As-Syahid Imam Hassan Al-Banna bahawa amanah yang terpikul di bahu melebihi masa yang ada. Waktu praktikal saya yang bermula seawal jam 8 pagi sehingga 5 petang menterhadkan masa saya mengorek rahsia permasalahan ummah dengan satu klik. Namun, hakikatnya, masa yang Allah berikan pada saya masih lagi banyak sebenarnya dan perlu benar-benar diurus dengan lebih baik.

Bak kata Tok Guru yang seluruh dunia telah menyanjunginya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz b Nik Mat,
"Dalam qiadah,perkara pertama dan terpenting adalah bagaimana hendak memimpin diri kita"

Bukan soal ukuran hebat itu diukur dengan hebatnya seseorang itu memimpin organisasi, persatuan atau lain-lain, tetapi hebatnya seseorang itu memimpin dirinya terlebih dahulu.

Sejarah

Sejarah kadang mengajar kita. Tetapi kadang-kadang sejarah juga diabaikan. Maka, dengan sewenang-wenangnya, sejarah yang buruk diulangnya lagi oleh tangan-tangan manusia yang lupa. Saya tertarik dengan teori yang telah dikemukakan tokoh sejarawan terulung, Ibnu Khaldun.

Pandangan-pandangan revolusi Ibn Khaldun telah menarik perhatian sarjana-sarjana Muslim dan juga ramai pemikir Barat. Dalam kajian sejarah beliau, Ibn Khaldun adalah peneroka dalam mensubjekkan laporan-laporan sejarah kepada dua kategori asas iaitu akal, dan undang-undang sosial dan fizikal. Beliau mengetengahkan empat perkara penting dalam kajian dan analisis laporan sejarah seperti berikut:

(1) mengaitkan peristiwa-peristiwa antara satu sama lain melalui sebab dan akibat
(2) membuat analogi antara masa lalu dan masa sekarang
(3) mengambil kira kesan persekitaran
(4) mengambil kira kesan keadaan yang diwarisi dan ekonomi



Saya suka untuk meng'highlight' perkara yang kedua yang dikemukakan --> Membuat analogi antara masa lalu dan masa sekarang. Sekarang, kita pergi kepada sejarah yang lalu dengan peristiwa 13 Mei 1969. Cukup menakutkan rakyat Malaysia. Di sana, sini, segalanya berdarah. Permusuhan yang ketat berlaku antara kaum-kaum utama di Malaysia.

Itu adalah masa yang lalu. Dan analoginya dapat dilihat apabila kita kaitkan dengan masa sekarang. Pendangan saya, kini, rakyat Malaysia kembali lupa pada sejarah yang dulu. Bibit-bibit rusuhan kian tumbuh kembali. Bukan hanya di luar, malahan juga di dalam kampus.

13 Mei 1969

Berita dari luar kampus melaporkan semalam, sebanyak tiga buah gereja dibom didapati. Antara gereja yang dibom adalah Gereja Metro Tabernacle, Desa Melawati, Kuala Lumpur, Gereja Assumption di Jalan Tepler dan Gereja Life Chapel. Bukan setakat gereja di Kuala Lumpur, malah gereja-gereja yang berada di negeri Perak dan Sarawak turut mengalami nasib yang sama apabila turut dibom.

Kalau sebelum ini, kita didengarkan dengan isu penggunaan kalimah Allah. Pelbagai pihak yang memberikan respon terhadap isu ini. Isunya melibatkan agama Islam yang suci ini. Namun, saya tidak ingin mengulas panjang isu ini kerana ramai yang lebih faqih ilmunya telah memberikan respon yang baik.

Kacau-bilau yang berlaku ini adalah di antara dua agama yang terbesar di Malaysia. Saya melihat perkaitan yang berlaku adakah umat Islam marah dengan penggunaan kalimah Allah dan sebagai merespon keadaan marah yang terbuku, banyak gereja-gereja yang menjadi mangsa telah dibom.

Andai perkara ini berterusan, maka, tidak mustahil peristiwa 13 Mei 1969 bakal menjelma kembali. Kerana peristiwa 13 Mei 1969 bermula apabila parti-parti politik daripada kaum cina menunjukkan rasa tidak puas hati dengan memainkan isu perkauman. Sebagai respon tanda marah, parti-parti politik daripada kaum melayu yang telah melenting akibat dijentik juga turut membalas dengan memainkan isu-isu sensitif melibatkan kaum.

Namun, apa yang lebih penting, saya melihat ada sebahagian pemimpin-pemimpin negara Malaysia telah menghulurkan bantuan terhadap gereja-gereja yang telah dibom seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz b Nik Mat dalam lawatan ziarahnya. Respon daripada para pemimpin kita untuk mengecam tindakan mengebom gereja-gereja ini juga turut dilontarkan.

Seorang penganut Kristian yang juga Presiden Majlis Jaksa Pendamai (JP) Malaysia, Datuk Clarence Bongkos Malakun, telah meminta masyarakat Kristian negara ini menggugurkan tuntutan penggunaan kalimah 'Allah'. Sebabnya telah menyebabkan kemarahan sehingga cubaan membakar dan vandalisme dipercayai mempunyai kaitan dengan kontroversi penggunaan kalimah 'Allah' oleh Herald-The Catholic Weekly.

Nyahkan 'Islam = Terorisme'

Dengan penyataan yang telah dikeluarkan oleh Datuk Clarence Bongkos Malakun seolahnya telah memberikan fitnah bahawa kejadian mengebom gereja-gereja ini telah dilakukan oleh orang Islam sendiri sedangkan siasatan secara terperinci belum dilakukan. Dan ini boleh mengubah persepsi masyarakat bukan Islam bagaimana rupa sebenar agama Islam itu sendiri.

Maka, pakailah pakaian 'ISLAM' dengan cara yang betul untuk di'pamer'kan.