Tuesday, December 29, 2009

The Management of Islamic Movement towards Ummah

Pernah saya mendengar seorang yang tersohor di bumi Malaysia ini iaitu YB Dr Zulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Langat) berkata, “Walaupun kita mahukan Bahasa Malaysia dan Bahasa Arab digunakan benar-benar secara meluas di negara kita, namun, jangan sekali-kali kita sebagai orang Islam tercorot dalam menggunakan Bahasa Inggeris”

Iya, itulah yang sepatutnya terkeluar dari bibir-bibir kita umat Islam di Malaysia. Penguasaan yang jitu dalam tiga bahasa utama iaitu bahasa Kalamullah, bahasa ibunda negara ini dan bahasa dunia. Maka, saya sengaja meletakkan tajuk perkongsian saya hari ini dalam bahasa dunia. Namun, isinya saya masih tidak mampu mengarang secara panjang dalam bahasa dunia. Kepada yang arif, boleh membantu saya. Namun, bukan itulah persoalan utama yang ingin saya kongsikan hari ini.

Dalam beberapa tika dan waktu ini, saya terlalu takjub bersama dengan insan-insan di sekeliling kita yang hebat. Insan-insan yang umpama seekor singa tika siangnya dan seperti seorang rahib tunduk kepada Rabb-nya tika waktu malamnya. Insan-insan yang minda dan benaknya hanya memikirkan masalah masyarakat kini. Insan-insan yang terlalu berhajat kepada penegakan agama fitrah seorang manusia yang diturunkan dari langit supaya tertegak di muka bumi ini.

Saya ingin membuat satu perumpamaan. Pernah makan coklat? Saya pasti tidak ada yang tidak pernah makan kerana rasanya yang sangat lazat dan sedap. Dalam benak setiap manusia yang memakannya, pasti akan terfikir kegemukan dan pelbagai penyakit kronik apabila memakannya. Namun, hakikatnya semua fakta “gemuk” dan “mati cepat” itu hanya tertumpu kepada beberapa jenis coklat sahaja yang dicampurkan dengan susu dalam kuantiti yang banyak. Realitinya coklat sebenarnya mengandungi lemak koko yang mengurangkan paras kolesterol. Siapa yang tahu?? Pasti tidak ramai.

Maka seolah perumpamaan di atas itulah sebenarnya kefahaman kita sebagai orang Islam terhadap agama fitrah yang dihadiahkan khas oleh Allah kepada manusia ini. Agama yang benar-benar padan dengan sifat kita sebagai manusia. Rasa manisnya agama Islam belum sampai ke pangkal hati yang menjadi pokok kepada segala anggota badan. Kerana minda kita didoktrinkan dengan “susah” , “kolot” , “jumud” dan lain-lain pada agama yang suci ini.

Nah, hakikatnya kerana kita belum cukup ilmu mengkaji bagaimana yang dikatakan Islam itu sebagai Ad-Deen. Maka, inilah yang menyebabkan rasa manisnya penghayatan dan pengamalan agama Islam belum cukup sebati dalam diri kita.

Ilmu itu selalunya dimulakan dengan menggarap secara membaca. Namun, kita selalu mendengar, peratusan rakyat Malaysia membaca sangat rendah. Tingkatkan semula bacaan kita sebagai umat Islam di Malaysia. Garaplah segala ilmu dengan membaca. Kerana umat Islam harus memimpin dunia kembali.

Seorang ahli falsafah Barat, Eric Hofald pernah berkata :
“Dalam serba zaman yang terus berubah, hanya mereka yang terus belajar akan bakal memimpin dunia manakala mereka yang rasa terpelajar sudah tidak relevan lagi memimpin dunia.”




Sengaja saya mengemukakan falsafah dari orang Barat memandangkan tajuk entri saya kali ini dalam bahasa dunia. Tidak keterlaluan saya katakan kebanyakan umat Islam di Malaysia ini “bodoh sombong”. Masih merasakan diri sendiri telah terpelajar, namun hakikatnya perlunya kepada terus belajar. Perkataan terus belajar dalam falsafah di atas memberikan maksud terus mencari ilmu. Dan kunci utamanya hanya dengan membaca.

Bacalah apa sahaja yang menambahkan kefahaman kita terhadap agama Ad-Deen ini. Dan apa yang paling penting adalah dengan membaca kalamullah yakni Al-Quran dan hadith-hadith rasulullah SAW. Segala jawapan yang paling tepat akan diperolehi. Rasakanlah kemanisan hidup dalam lingkungan Islam ini.

Kerana Islam yang bersifat lengkap dan syumul ini telah menjaga dan memelihara keseluruhan hidup kita. Pemeliharaannya meliputi nyawa, harta, aqal, keturunan dan tujuan hidup kita di dunia ini. Ulama’-ulama’ fuqaha memberikan pendapat mereka terhadap syariat Islam yang Allah turunkan dari langit ini dengan menyebut:

“Apabila sesuatu perkara itu sempit, maka Allah SWT akan meluaskannya. Dan apabila sesuatu perkara itu terlalu luas, Allah SWT menyempitkannya sedikit”

Saya ingin memberi contoh daripada pendapat yang dikemukakan oleh ulama’-ulama’ fuqaha ini. Perkara yang sempit ini saya ibaratkan seperti ini. Di dalam sebuah hutan, kita kadang biasa melakukan apa yang disebut jungle tracking. Dalam keadaan hutan yang penuh duri, maka mungkin kaki kita tercedera. Waktu solat Zuhur yang datang mewajibkan kita tetap mengadap Allah juga walau dalam keadaan kaki yang cedera. Maka rukhsah yang telah Allah luaskannya adalah dengan boleh bersolat secara duduk. Allah sangat-sangat Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya.

Perkara yang terlalu luas ini saya ibaratkan pergaulan di antara lelaki dan perempuan yang terlalu bebas boleh menjerumus kepada zina. Maka, dengan perkara yang terlalu luas ini, Allah menyempitkannya sedikit dengan beberapa peraturan dan undang-undang agar kehidupan manusia yang diciptakan lelaki dan perempuan dapat dikawal ke arah yang sebaiknya. Supaya dengan ini, keturunan manusia dapat dipelihara sebaiknya daripada terhasilnya anak luar nikah. Cukup cantik dan tersusun segala yang disusun-Nya.

:: IsLaM iTu InDaH ::

Friday, December 18, 2009

Ini Langkahku

Warna sebiji objek berbentuk bola yang berada di ufuk langit menceriakan suasana. Matahari itu terus bersinar, tidak pernah berhenti walau sesaat dengan kehendak dan izin-Nya. Burung-burung terus berterbangan membunyikan kicauan mereka tanda ingin mencari rezeki di pagi hari.

Tahun 1430H telah melabuhkan tirainya. Jendela tahun 1431H telah dibuka. Umat Islam di seluruh dunia pasti meraikannya. Mungkin ada yang bersifat ala kadar atau mungkin ada yang bersemangat dengan segala azam baru. Azam baru yang mungkin diperbaharui dari tahun lepas atau azam yang benar-benar baru untuk tahun ini.

Seorang hamba Allah yang kerdil yang berdiri di tepi jendela turut tidak ketinggalan. Menganyam kembali segala impian dan angan-angan yang ingin dilaksanakan tahun ini. Namun, dia menganyam dalam keadaan matanya berair, dek kerana ada 'duri' yang terkena sewaktu perjalanan kehidupannya akhir tahun 1430H.

Luka yang terkena itu cuba diubati dan dirawatnya, namun darahnya masih lagi mengalir hingga sekarang. Langkahnya menjadi perlahan dan tidak bersemangat gara-gara luka yang hadir itu. Namun hakikatnya, ubat kepada luka tersebut ada di sisi. Tetapi seolahnya tangan dia tidak kuat untuk menggapai ubat dan merawat luka tersebut.

Dia terasa keseorangan, persis seorang musafir yang berkelana keseorangan dalam mencari matlamat hidup sebagai seorang manusia. Impian yang ingin digapainya juga hampir kabur dari pandangan.

Dia benar-benar putus asa dalam saat bekalannya kian habis dan lukanya masih berdarah. Namun, dalam kesamaran dan impiannya yang hampir kabur dari pandangan, ada sesuatu yang menghulurkan pertolongan dan bantuan.

Iya, itulah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dia memberi segala rahmat dan kasih sayang-Nya. Dia memberikan kalamullah sebagai ubat untuk luka tersebut. Segala luka yang hadir itu adalah pelukan kasih sayang-Nya. Tidak ada kesakitan yang didatangkan-Nya tanpa ubat disisi.

Hakikatnya, kesakitan itu adalah nikmat dan kurniaan-Nya kerana tidak semua merasai nikmat kesakitan. Bersyukurlah kerana Allah akan menambah nikmat-Nya selagi mana hamba-Nya itu bersyukur.

Kepada para pejuang agama Allah,

Bangkitlah walau luka tidak henti-henti berdarah
Berpegang teguhlah pada kalamullah
Pasakkan tekad dan niat dalam diri
Kerana Allah sedang menemukan kita dengan hikmah yang tercicir
Teruskanlah langkahmu di jalan-jalan yang penuh duri itu.

ALLAHUAKBAR!!